27 September 2020

,

Individu balik dari Sabah kena kuarantin

individu balik Sabah perlu kuarantin

 

Individu baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) serta dipakai gelang kuarantin mulai hari ini sehingga 10 Oktober depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan 11 lagi kes positif Covid-19 yang dikesan di Semenanjung setelah kembali dari Sabah.

Menurut beliau, semalam sebanyak 10 kes serupa dikesan melibatkan mereka yang tiba dari Sabah antara 20 hingga 25 September.

Katanya, selain perintah HSO yang suratnya akan diberikan di pintu masuk, mereka juga diwajibkan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan Covid-19.

“Tarikh HSO bermula dari tarikh ketibaan di pintu masuk sehingga keputusan makmal diperoleh dan pelepasan diberi jika ujian makmal menunjukkan negatif Covif-19,” katanya dalam laporan harian Covid-19, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, sekiranya terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut.

Katanya, jika mereka mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19.

“Saringan ke atas individu warganegara dan bukan warganegara yang pulang dari Sabah dikecualikan daripada caj ujian Covid-19.

“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan Covid-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitan yang akan dimaklumkan kepada umum,” katanya.

Sementara itu, perkembangan kes positif Covid-19 mencatatkan 82 kes baharu semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 10,769 kes dengan kebolehjangkitan 851 tetapi tiada kematian direkodkan.

Katanya, daripada kes baharu itu, tiga membabitkan kes import manakala daripada 79 kes penularan dalam negara, 53 kes membabitkan warganegara dan 26 kes adalah bukan warganegara.

Menurut beliau, Sabah terus mencatat kes tertinggi dengan 64 kes iaitu 33 kes daripada Kluster Benteng LD dan 25 kes daripada Kluster Bangau-Bangau.

“Terdapat tiga kes dicatatkan di Negeri Sembilan iaitu melibatkan dua kes saringan pulang dari Sabah melibatkan warganegara termasuk tiga kes yang sama di Kuala Lumpur

“Selain itu, terdapat dua kes di Terengganu dan masing-masing satu kes di Selangor, Pahang, Melaka dan Johor melibatkan saringan pulang juga dari Sabah. Di Sarawak dan Labuan pula adalah melibatkan saringan petugas kesihatan,” katanya. 

Sumber : UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90