24 September 2020

,

Keracunan Karbon Monoksida

 

Oleh PROF. MADYA DR. MOHD. HASNI JA’AfAR

Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

 Punca Keracunan karbon Monoksida

Karbon monoksida adalah gas yang tiada bau dan warna hasil dari pembakaran tidak sempurna.

Ia berpunca daripada pelbagai sumber seperti dapur masak atau ketuhar yang menggunakan gas, generator petrol atau diesel, asap rokok serta enjin kenderaan.

Keracunan berpotensi berlaku terutamanya dalam ruangan yang tertutup rapat tanpa pengudaraan luar yang mencukupi seperti kabin kenderaan meliputi bot, bas, lori, kereta serta dapur rumah.

Namun jarang berlaku keracunan di ruang dapur yang luas berbanding kabin kenderaan yang kecil.

Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negara ini meletakkan paras 10 bahagian per juta (ppm) sebagai had pendedahan seseorang terhadap karbon monoksida dalam ruang tertutup pada setiap masa.

Tindak balas Keracunan

Pencemaran perlahan akan berlaku menyebabkan peningkatan kepekatan karbon monoksida ke paras yang bahaya dan membunuh.

Pendedahan utama adalah melalui sistem pernafasan yang didapati mampu menyerang kestabilan sistem oksigen hemoglobin dalam sel darah merah seseorang.

Keracunan mula berlaku apabila gas karbon monoksida mengambil alih tapak gas oksigen dalam hemoglobin yang menghasilkan karboksihemoglobin.

Ini secara langsung menyebabkan jumlah molekul oksigen dalam setiap hemoglobin dalam sistem darah menjadi kurang lantas menyebabkan jumlah bekalan oksigen secara keseluruhannya tidak mencukupi.

Tindak balas kedua karbon monoksida akan menyebabkan sisa oksigen yang sedikit itu menjadi lebih sukar untuk dilepaskan daripada hemoglobin itu.

Tindak balas lanjut akan menyebabkan keafinan oksigen lemah menyebabkan molekul itu menjadi lebih sukar untuk dilepaskan daripada hemoglobin.

Ini menyebabkan bekalan oksigen kepada tisu utama sistem saraf dan otak terjejas teruk. Akhirnya menyebabkan kegagalan otak dan kematian.

Pada kepekatan 400 ppm atau 0.04 peratus dalam udara, kebanyakan orang tiada mengalami sebarang tanda atau gejala.

Gejala sering berlaku apabila kepekatan karbon monoksida di udara melebihi 600 ppm dengan penghasilan 10 peratus karboksihemoglobin. Paras serendah dua peratus karboksihemoglobin boleh dikesan menggunakan alat khas.

Kesan gejala utama yang berlaku akibat peningkatan kepekatan udara karbon monoksida ini adalah lebih mengganggu kecerdasan otak.

Orang yang terdedah kepada gas ini selalu tidak menyedarinya dan ia seakan letih mengantuk seperti telah memandu jauh.

Sering disalah ertikan antara letih memandu dan keracunan.

Hilang kesedaran diri atau koma berlaku pada paras karboksihemoglobin antara 30 peratus hingga 50 peratus  bergantung kepada sistem badan seseorang.

Kematian berlaku apabila paras karboksihemoglobin mencapai antara 60 peratus hingga  70 peratus.

Kaedah Menangani Keracunan Karbon Monoksida

Kajian mendapati paras karbon monoksida dalam udara kabin kereta yang bagus hanya pada kepekatan 12 ppm.

Ini kerana penggunaan penukar bermangkin pada sistem ekzos kenderaan yang mengurangkan pencemaran karbon termasuk bahan toksik ini dan kesempurnaan kenderaan tanpa sebarang lubang kebocoran.

Oleh itu, amat penting memastikan alat penukar bermangkin kereta yang digunakan itu berfungsi dengan baik atau ditukar sekiranya perlu.

Pemilihan minyak pelincir, aditif dan penyelengaraan enjin kenderaan yang betul juga amat penting bagi memastikan tiada penghasilan karbon monoksida yang berlebihan.

Elakkan mengubah suai sistem ekzos kenderaan kerana risiko pencemaran sekiranya ia tidak dilakukan mengikut spesifikasi yang betul.

Ubah suai sistem ampaian yang merendahkan sistem ekzos yang terlalu rendah ke permukaan jalan atau bonggolan akan boleh merosakkan sistem dan alat penukar bermangkin.

Bonggol jalan untuk mengurangkan kelajuan juga perlu suatu tatacara yang betul mengikut undang-undang tanpa sewenangnya dipasang.

Ia boleh secara langsung menyumbang kepada kejadian keracunan ini.

Pihak berkuasa telah mewajibkan kenderaan terpakai menjalani ujian karbon monoksida pada sistem ekzos.

Mungkin ini boleh dilanjutkan kepada ujian tahap karbon monoksida dalam kabin kenderaan untuk menguji sebarang kebocoran.

Kenderaan sewaan perlu menjalani ujian tersebut secara berkala supaya penyewa tidak mengalami nasib yang malang.

Banyak alat amaran karbon monoksida yang ada dalam pasaran dengan harga yang berpatutan serendah RM200 seunit.

Alat ini boleh dipasang dalam kabin kenderaan untuk memberi amaran sekiranya tahap karbon monoksida adalah tinggi.

Jika ini berlaku, segera buka tingkap dan hentikan kenderaan di tempat yang selamat. Pergi ke bengkel ekzos untuk pemeriksaan rapi.

Golongan Berisiko

Kajian mendapati setiap orang ada menghasilkan karboksihemoglobin secara semulajadi di dalam badan yang selalunya kurang daripada lima peratus.

Penghasilan dikaitkan dengan pemusnahan sel darah merah yang mempunyai jangka hayat normal selama 120 hari.

Antara jantina, wanita dalam peringkat usia reproduktif, mempunyai paras karboksihemoglobin yang naik turun dalam putaran haid mereka.

Mereka yang mengalami putaran sel darah yang lebih pendek seperti kanak–kanak juga mempunyai paras yang sedikit tinggi daripada orang biasa, pesakit talasemia, hemofilia dan sebagainya.

Dengan keadaan sedia ada itu, mereka adalah golongan yang berisiko. Dalam aspek pekerjaan, mereka yang bekerja dalam ruang sempit seperti bilik enjin kapal juga mempunyai risiko tinggi.

 

Tips Berehat Dalam Kenderaan

Cari kawasan yang sesuai untuk berehat atau berhenti seketika.

Kawasan dengan aliran angin yang agak tinggi seperti pantai dan lorong sempit antara bangunan, perlu diberi perhatian kepada risiko olakan asap ekzos yang boleh memasuki dan mencemari kabin kenderaan.

Pastikan kenderaan berkeadaan melintang pada arah angin agar sebarang kebocoran asap enjin atau ekzos dibawa angin jauh daripada memasuki kabin.

Buka sedikit tingkap kenderaan supaya ada aliran pengudaraan yang baik. Gas karbon monoksida adalah ringan, mudah keluar masuk memenuhi ruangan. Kajian ada mendapati aras kepekatan yang hampir sama, sama ada dalam dan luar kenderaan sekiranya ada pengudaraan atau bukaan.

Boleh juga dipastikan butang pilihan aliran luar dipilih daripada aliran tertutup dalaman jika hendak berehat. Namun pastikan depan kenderaan tidak menghala atau rapat kepada ekzos kenderaan lain.

Kematian akibat karbon monoksida adalah suatu keadaan yang mudah dicegah namun dipandang remeh oleh kebanyakan kita.

Sikap prihatin terhadap penyelenggaraan kenderaan terutama kereta kecil amat perlu ditanam dalam setiap pemandu di negara ini agar tiada kes sebegini tidak berulang.

Sumber : Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90