20 September 2020

,

Kereta remuk dihempap batu konkrit di MRR2

konkrit jatuh

 

Seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM) untuk rawatan.

Insiden menyebabkan wanita berkenaan terperangkap dalam kereta PROTON Saga FLX dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz 1 meter persegi.

Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian, tidak lama selepas itu sebelum dihantar ke PPUKM.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya, berkata identiti wanita terbabit masih belum diperolehi setakat ini.

"Wanita berkenaan cedera pada tangan dan dihantar ke PPUKM untuk rawatan. Tiada mangsa atau kenderaan lain terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kejadian juga menyebabkan gangguan lalu lintas sehingga ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Katanya, kerja mengalihkan kenderaan terbabit mengambil masa kira-kira dua jam sebelum satu lorong di laluan itu yang terjejas akibat kejadian, dapat dibuka semula.

"Siasatan lanjut berhubung punca kejadian masih dijalankan oleh polis," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90