7 September 2020

, , ,

Penggunaan rakaman 'dashcam' di mahkamah perlu kajian terperinci

penggunaan dashcam



Perlu ada kajian terperinci pelbagai pihak membabitkan penggunaan rakaman kamera perakam video (dashcam) di mahkamah atau dalam sebarang tuntutan serta sebarang kes perundangan jenayah mahupun sivil.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata cadangan penggunaan peralatan itu untuk merekodkan kemalangan dilihat baik dan sudah tentu tujuan akhir mana-mana individu merekodkan sesuatu kemalangan supaya ia boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam sebarang kes.

"Tanpa adanya satu peruntukan perundangan dan peraturan jelas, maka saya khuatir sebarang perlakuan yang direkodkan tidak boleh digunakan dalam tuntutan atau prosiding mahkamah atau perundangan kelak.

"Perkara ini kelak akan menyebabkan orang ramai menyalahkan kerajaan kerana mewajibkan penggunaan satu peralatan yang tidak boleh digunakan di mahkamah.

"Saya juga tidak menolak pandangan yang mengatakan ia sebagai beban kepada rakyat khususnya golongan B40 jika 'dashcam' dijadikan sebagai sesuatu yang wajib. Ia boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah atau sebagainya dan ia juga mungkin boleh dijadikan sebagai pendidikan tetapi ia tidak dianggap sebagai langkah pencegahan daripada sudut keselamatan jalan raya," katanya kepada BH.

Beliau mengulas komentar Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Zaini Osman, yang berpendapat pengeluar kereta tempatan iaitu PROTON dan PERODUA sewajarnya sudah boleh menjadikan kamera perakam video sebagai aksesori asas dalam setiap kenderaan keluarannya selepas ini tanpa mengira segmen.

Ditanya jika kementeriannya akan mengesyorkan pengeluar kenderaan memasang peralatan itu pada kenderaan keluaran masing-masing, Ka Siong berkata, jika semua aspek perundangan dan teknikal disediakan dan diperuntukkan dengan jelas, Kementerian Pengangkutan boleh menguatkuasakan dan mewajibkan penggunaannya di dalam kenderaan, terutama kenderaan pendaftaran baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata, akan ada pertimbangan atau pengecualian pemasangan 'dashcam' ke atas kenderaan sedia ada untuk tidak membebankan rakyat.

Ka Siong berkata, setakat ini belum ada sebarang kajian dijalankan yang menunjukkan penggunaan 'dashcam' mampu mengurangkan masalah kemalangan dan jenayah di jalan raya.

Pada masa sama, beliau berkata, bukti daripada rakaman 'dashcam' boleh dikemukakan oleh pendakwaan mahupun pihak pembelaan sebagai bahan bukti di mahkamah bagi menyokong kes mereka.

Beliau berkata, ia termasuk membabitkan prosiding di mahkamah yang membabitkan kes kemalangan jalan raya.

"Kedua-dua pihak kemudiannya akan membahaskan kesahihan bahan bukti berkenaan sama ada boleh dipertimbangkan termasuk memanggil atau membawa saksi-saksi pakar masing-masing. Perbahasan ini bertujuan meyakinkan mahkamah akan hujah mereka dan apa sahaja bahan bukti yang dimajukan ke mahkamah, tetapi ia bergantung kepada prosiding di dalam mahkamah dan juga bentuk bahan bukti yang diberikan.

"Ini termasuk berkaitan kualiti serta kesahihan video. Tidak mustahil ia perlu pembabitan pelbagai pihak untuk mengesahkan ketulenan sesuatu rakaman dan seumpamanya. Mungkin juga mahkamah tidak boleh menerimanya sebagai bahan bukti berikutan isu teknikal seperti kekaburan sesuatu rakaman serta asas-asas lain yang boleh dipersoalkan," katanya.

Dalam komentar yang disiarkan pada Jumaat lalu, Mohd Zaini berpendapat kesedaran memasang aksesori itu pada kenderaan persendirian semakin bertambah dan positif selepas menyedari kepentingan 'saksi utama' ini apabila berlaku kemalangan selain ia selari dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan MIROS untuk menggalakkan masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa menyalurkan maklumat, termasuk berkaitan kemalangan jalan raya.

Sumber : Berita Harian


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90