21 September 2020

, , , ,

Taman Negeri Endau Rompin dibuka semula

taman negeri endau rompin johor

 

Selepas ditutup selama empat tahun bagi memberi laluan kepada pembinaan Rainforest Discovery Centre (RDC), kini Taman Negeri Rompin, Pahang dibuka kembali kepada pengunjung, bermula 15 September baru-baru ini.

RDC merupakan sebuah projek pembangunan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi mengukuhkan lagi kedudukan taman negeri tersebut sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan mampan.

RDC menempatkan kompleks pengunjung, dewan serbaguna, ruang pameran, pusat penyelidikan dan jambatan gantung yang membolehkan pengunjung melakukan pelbagai aktiviti outdoor di samping menambahkan ilmu pengetahuan.

Di samping itu, terdapat juga menara tinjau berketinggian 15 meter yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan hutan hujan yang menakjubkan.

Pengunjung juga dapat berjalan melintasi Sungai Endau melalui jambatan gantung berketinggian 80 meter, menikmati Air Terjun Mahkota, Ulu Kemampan, Padang Tujuh dan juga dapat memerhati burung-burung, haiwan serta tumbuh-tumbuhan dan bunga tropika. Menarik, bukan?

Untuk pengunjung yang ingin membeli sesuatu sebagai tanda, pusat tersebut juga mempunyai kedai cenderamata yang akan memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjual kraf tangan tradisional setelah ia dibuka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat, di samping mengukuhkan Taman Negeri Rompin sebagai sebuah destinasi utama bagi ekopelancongan, RDC akan menjadi platform untuk kajian pemuliharaan dan pemeliharaan jangka panjang.

"Pelancong dari serata dunia dapat menikmati dan mempelajari mengenai hutan hujan tropika di negara kita. Pusat ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk rakyat, terutama sekali komuniti Orang Asli.

"Mereka boleh menjual kraf tempatan dan menjadi pemandu pelancong, juga memperkenalkan budaya mereka kepada pengunjung semasa perjalanan dan lawatan di sekitar Taman Negeri Rompin," katanya.

Taman Negeri Rompin terletak kira-kira 35 kilometer (km) daripada Rompin, sebuah bandar yang terkenal dengan jolokan bandar udang galah.

Taman negeri ini merupakan komponen utama dalam konsep pembangunan ekopelancongan 'Hutan Hujan ke Terumbu Karang' (R2R) ECERDC.

Ia merupakan salah satu daripada hutan hujan yang tertua di Malaysia dengan ciri geologi unik yang berusia 200 juta tahun dan dikenal pasti sebagai hab biodiversiti dan destinasi ekopelancongan antarabangsa.

Jadi apa kata rehatkan minda seketikan dengan meinkmati salah satu khazanah alam paling berharga di negara kita. Ayuh, tunggu apa lagi!

Sumber : mSTAR

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90