18 September 2020

,

Yamaha MT-25, MT-15 kini di Malaysia

motor yamaha

 


Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini meluaskan segmen street bike MT dengan pengenalan dua varian bawah 250cc iaitu MT-25 dan MT-15 pada satu majlis di Kuala Lumpur.

Kedua-dua model itu dijangka membantu HLYM menguatkan dominasi ke atas pasaran motosikal domestik selepas model hangat FZ150i ditamatkan produksi.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa HLYM mengambil masa lama untuk membawa masuk MT-25 dan MT-15?

Jika dibandingkan dengan konsumer di beberapa negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, pasaran mereka sebenarnya sudah menerima sama ada satu atau kedua-dua model ini.

Negara jiran ada kekuatan pasaran yang membolehkan mereka menerima lebih banyak model baharu, lebih awal berbanding Malaysia.

Satu hakikat yang kita perlu terima ialah Malaysia bukan lagi satu pasaran dominan di Asia Tenggara apatah lagi sekadar menduduki tangga ke-14 di dunia, merujuk data tahun 2018.

Tahun 2019, Malaysia mencatat jumlah jualan sebanyak 546,813 unit motosikal dengan Yamaha mendominasi pasaran menerusi pegangan 36 peratus pasaran (209,403 buah) diikuti Honda sebanyak 187,000 unit.

Ranking jualan motosikal di Asia Tenggara pada 2018 adalah seperti berikut:

    1. Indonesia : 6.4 juta unit
    2. Vietnam    : 3.4 juta unit
    3. Thailand   : 1.78 juta unit
    4. Filipina     : 1.6 juta unit
    5. Malaysia   : 471,782 unit

Biarpun begitu, Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries, Datuk Jim Khor memberitahu beliau sedar ramai pengguna meminta model MT-25 dan MT-15.

“Kami banyak menerima permintaan untuk membawa masuk model motosikal ini. Kami sebenarnya mendengar apa kehendak pengguna,” katanya pada majlis perasmian dua model MT itu.

Model MT-25 dan MT-15 kelihatan sama dengan konsep rekaan agresif khususnya pada bahagian hadapan yang ada sedikit rekaan seakan-akan MT-10.

Set lampu depan dan belakang membabitkan penggunaan lampu jenis LED yang nyata lebih terang dan cerah berbanding mentol halogen.

Instrumen meter MT-15 dan MT-25 adalah jenis digital berbentuk bar memaparkan pelbagai maklumat tunggangan yang dapat dilihat dengan lebih jelas disebabkan aplikasi latar belakang tona hitam.

MT-25 dan MT-15 dipasang sistem fork jenis terbalik dan sistem penyerap hentak tunggal di belakang.

Kerangka MT-25 membabitkan jenis Deltabox manakala Yamaha MT-15 pula mengaplikasi jenis berlian (diamond).

Kedua-dua model disertakan dengan rim aloi lebar bersama balutan tayar berprofil 110/70-17 di depan dan 140/70-17 untuk roda belakang.

Hanya model Yamaha MT-25 didatangkan bersama Sistem Brek Antikunci (ABS) dua saluran untuk daya membrek lebih baik dan stabil.

Harga yang disyorkan untuk Yamaha MT-25 ialah RM21, 500 (tidak termasuk insurans, pendaftaran dan caj lain) akan berada di pasaran bermula esok, 18 September 2020.

HLYM belum mengumumkan harga bagi MT-15 dan motosikal ini akan diperkenalkan ke pasaran pada bulan November ini.

 Sumber : Kosmo!




0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90