17 September 2020

,

Zoo Melaka buka Dinosaur World November 2020

Dinasour World di Zoo Melaka

 

Zoo Melaka bakal membuka Taman Tema Dinosaur World, antara yang terbesar di Asia Tenggara bagi menarik kedatangan pengunjung pada November 2020.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman berkata, sebahagian pembinaan taman tema itu yang dibangunkan atas tanah seluas 25.9 hektar telah siap dan kini pihaknya sedang melaksanakan proses mereka bentuk.

“Projek taman tema ini merupakan kolaborasi MPHTJ dengan syarikat swasta bagi mewujudkan pameran pelbagai spesies dinosour berbentuk robotik yang akan memberikan pendidikan dan pengetahuan kepada pengunjung.

“Secara tidak langsung pengunjung yang terdiri daripada dewasa dan kanak-kanak berpeluang mempelajari mengenai makhluk purba yang telah pupus di dunia itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Zoo Treasure Hunt sempena Hari Malaysia 2020 di Zoo Melaka, di Ayer Keroh.

Jelasnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jun lalu sehingga semalam, Zoo Melaka menerima kira-kira 60,000 pengunjung dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 50 peratus dengan pembukaan taman tema tersebut kelak.

“Kita menjangkakan jumlah pengunjung akan meningkat mencecah 100,000 pada November ini, malah selain tema ini kita ada dua lagi tarikan baharu iaitu pameran burung peringkat antarabangsa serta penambahan tiga ekor orang utan.

“Kerja-kerja pembinaan pameran burung juga sedang dilakukan. Kita akan membawa masuk tiga ahli keluarga orang utan dengan dua ekor dari Zoo Taiping dan seekor dari Zoo A’ Famosa Resort,” katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga tarikan baharu itu merupakan persiapan bagi menerima jumlah tinggi pengunjung pada musim cuti sekolah pada November ini.

“Harga tiket sudah pasti akan mengalami sedikit pertambahan kerana pembukaan tiga pameran baharu ini, namun kita masih belum memutuskannya lagi,” katanya.

Harga tiket kemasukan dewasa dijual pada harga RM25 manakala kanak-kanak RM15. Sementara itu bagi pakej keluarga pula berharga RM64 bagi dua dewasa serta dua kanak-kanak.

Sumber : Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90