4 Oktober 2020

, ,

Bertenang, kes adalah terkawal - PM

 

Rakyat diminta bertenang menghadapi situasi penularan wabak COVID-19 ketika ini kerana ia terkawal.

Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut memberi jaminan kesiapsiagaan negara adalah pada tahap tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan wabak itu, seperti yang pernah dilalui negara sebelum ini.

"Saya memahami kebimbangan masyarakat berikutan peningkatan kes baharu penularan jangkitan COVID-19.

"Saya ingin memberikan jaminan dan komitmen kerajaan untuk terus mengawal dan menguruskan penularan jangkitan virus ini sebaik mungkin.

"Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita terutama Kementerian Kesihatan dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti serta kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata pagi tadi, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak COVID-19, yang melaporkan mengenai jumlah kes harian dalam negara yang merekodkan 287 kes baharu semalam.

Beliau berkata, berdasarkan pembentangan Kementerian Kesihatan itu, 128 kes dilaporkan di Kedah membabitkan kakitangan dan tahanan di Penjara Alor Setar, manakala selebihnya dilaporkan di Sabah dan beberapa negeri lain di Semenanjung.

Katanya, laporan juga menunjukkan jumlah kes COVID-19 dari Sabah sehingga semalam membabitkan 139 orang iaitu 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan dalam negara.

"Untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan daripada kluster yang sudah pun dikenal pasti serta terkawal.

"Semua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes positif dapat dikesan dan diasingkan, yang mana ia menyebabkan lebih banyak kes positif dapat dikesan serta menyumbang kepada statistik harian dalam negara.

"Saya amat berharap perkara ini dapat difahami. Saya ingin tekankan di sini bahawa keadaan adalah terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat hari ini turut dimaklumkan mengenai kes penularan COVID-19 di Sabah, yang didapati berpunca daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

Susulan itu katanya, kerajaan membuat keputusan semua PATI yang ditahan akan disaring dan ditempatkan di Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) yang disediakan.

"Pada masa ini, PTS di Sabah melebihi kapasiti (PATI). Justeru, kerajaan akan membuka lebih banyak PTS baharu bagi menempatkan PATI yang ditahan sebelum proses pengusiran dilaksanakan.

"Selain itu, petugas Kementerian Kesihatan juga sudah ditambah untuk menjalankan proses saringan ke atas PATI yang ditahan.

"Anggota keselamatan akan turut ditambah bagi mengawal sempadan negara dalam usaha mengekang kemasukan PATI terutama di Sabah. Aset akan diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tahap kesiapsiagaan menghadapi penularan jangkitan, Muhyiddin berkata, ketika ini sebanyak 40 hospital serta 34 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah disediakan untuk merawat kes positif COVID-19 dengan kapasiti 5,674 katil.

Beliau berkata kadar penggunaan katil di hospital COVID-19 ketika ini adalah 24 peratus saja, manakala fasiliti kesihatan juga kini mempunyai 437 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 1,505 alat bantu pernafasan.

"Marilah kita bersama-sama membudayakan norma baharu dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90