4 Oktober 2020

,

Ebit Lew perlu ikut prosedur hantar pulang pelajar

ebit lew dan upsi

 


Pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak marah dengan tindakan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew menyediakan bas untuk menghantar pelajar universiti itu pulang ke kampung masing-masing.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, Ebit Lew bagaimanapun perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan universiti terlebih dahulu dan mengikuti prosedur ditetapkan.

“Saya dan pihak pengurusan universiti tidak dimaklumkan. Kami hanya mengetahuinya melalui media sosial. Saya menghubungi Ebit Lew menjelaskan situasi dengan baik dan beliau memohon maaf. Bagaimanapun saya kata jangan minta maaf kepada saya, tetapi minta maaf kepada masyarakat.

“Beliau perlu faham pelajar dibawah tanggungjawab universiti dan jika berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan, dijangkiti penyakit atau tidak sampai ke kampung masing-masing, pihak universiti yang akan dipertanggungjawabkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohammad Shatar berkata, Ebit Lew perlu juga memahami bahawa pihak pengurusan universiti perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan Majlis Keselamatan Negara dalam proses penghantaran pulang pelajar.

Terdahulu, Ebit Lew dalam satu kenyataan di akaun Facebook beliau hari ini memohon maaf kepada UPSI kerana menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi membawa pulang mahasiswa universiti tersebut pulang.

Menurutnya, beliau dihubungi Naib Canselor UPSI secara peribadi dan diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka tersebut.

Sehubungan itu, katanya, beliau menangguhkan penggunaan bas yang disewa untuk menghantar pulang pelajar UPSI sehingga di beri kelulusan oleh pengurusan universiti itu.

Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata, kenyataan Ebit Lew yang mengambarkan seolah-olah pelajar universiti itu terkandas dan tidak mendapat makanan tidak benar kerana pelajar terbabit diberi makanan. 

Sumber : Kosmo!

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90