11 Oktober 2020

Jangkitan seksual ancaman wanita

jangkitan seksual organ wanita

 

Terdapat lebih 30 jenis bakteria, virus dan parasit yang boleh tersebar melalui jangkitan seksual.

Lazimnya penyakit jangkitan seksual adalah seperti sifilis, gonorrhea dan HIV. Namun, terdapat satu lagi jangkitan seksual disebabkan oleh bakteria perlu diberi perhatian, iaitu bakteria Chlamydia Trachomatis. 

Statistik menunjukkan Chlamydia Trachomatis adalah jangkitan seksual yang paling tinggi di seluruh dunia.

Chlamydia Trachomatis ialah sejenis bakteria yang boleh mendiami saluran genital lelaki dan wanita dan menyebabkan jangkitan kelamin yang dipanggil jangkitan Chlamydia.

Wanita pula dikenal pasti lebih berisiko mendapat jangkitan itu. Di Malaysia, kajian dalam kalangan wanita mendapat rawatan di klinik sakit puan mendapati 45 peratus dikesan dijangkiti Chlamydia Trachomatis

Mengancam nyawa

Pensyarah dan Pakar Mikrobiologi Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Umi Kalsom @ Satariah Ali, berkata dianggarkan 30 peratus wanita dijangkiti akan menunjukkan simptom yang pelbagai.

Katanya, radang serviks atau cervicitis adalah simptom paling biasa untuk wanita, iaitu terdapat lelehan faraj bercampur lendir, nanah dan pendarahan.

Radang di bahagian saluran kencing urethra boleh berlaku, pesakit akan kerap membuang air kecil, merasai kesakitan ketika membuang air kecil serta dan kencing bernanah.

Sekiranya tidak dirawat, jangkitan boleh merebak dari serviks ke saluran reproduktif menyebabkan pengumpulan nanah boleh terjadi di bahagian tiub fallopian dan ovari (tubo-ovarian abscess) dan boleh mengancam nyawa.

"Komplikasi serius jangka panjang seperti kandungan luar rahim dan sakit pelvik yang kronik dan kemandulan boleh terjadi. Beberapa kajian lanjut ke atas wanita yang mengalami masalah reproduktif dan kemandulan, di Malaysia dari 2016 hingga 2018 mendapati 22 peratus hingga 50 peratus dijangkiti penyakit itu.

"Lebih membimbangkan, kebanyakan individu dijangkiti tidak menunjukkan sebarang tanda. Hampir 70 peratus jangkitan adalah asymptomatik atau tiada simptom.

"Ini bermakna, majoriti pembawa penyakit ini tidak mengetahui mereka dijangkiti. Ini juga antara faktor menyebabkan ia boleh tersebar dengan meluas," katanya.

Bagaimana Chlamydia tersebar?

Chlamydia tersebar ketika melakukan hubungan seksual melalui alat sulit lelaki dan faraj wanita, mulut atau dubur dengan individu yang dijangkiti.

Mereka dirawat juga masih terdedah kepada jangkitan baru sekiranya terus melakukan hubungan dengan individu yang dijangkiti.

Siapa berisiko dijangkiti

Individu mengamalkan seks rambang, bertukar pasangan, dijangkiti penyakit seksual lain seperti HIV, sifilis dan gonorea, selain lelaki yang mengamalkan hubungan sejenis sangat berisiko tinggi mendapat jangkitan.

Wanita mengandung dijangkiti dan tidak dirawat terdedah kepada risiko keguguran dan kelahiran pra-matang. Oleh kerana bakteria ini mendiami saluran faraj, bayi lahir pula berisiko mendapat jangkitan daripada ibu ketika kelahiran.

Bayi baru lahir berkemungkinan mendapat jangkitan opthalmia neonatarum (sakit mata konjunktivitis) seawal hari ke lima hingga 14 hari selepas kelahiran. Radang paru-paru juga boleh berlaku biasanya pada umur satu hingga tiga bulan.

Pengesanan jangkitan

Boleh dikesan dengan beberapa kaedah ujian makmal, seperti pengesanan antigen Chlamydia Trachomatis dan ujian molekular PCR.

Untuk pengujian, sampel seperti swab serviks, calitan mata dan air kencing boleh digunakan untuk pengesanan jangkitan. Sekiranya dikesan, rawatan boleh diberikan kepada pesakit.

"Penting pasangan seksual pesakit juga diuji untuk mengesan jangkitan dan merawatnya bagi mengelak pesakit dijangkiti semula atau menyebarkannya," katanya.

Chlamydia mudah dirawat

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyasarkan Chlamenmdia antara empat jenis jangkitan seksual yang boleh dirawat, selain sifilis, gonorhea dan trichomoniasis.

Rawatan antibiotik seperti azithromicin, doxycline atau erithromycin amat mudah dijangkiti sekiranya mendapatkan rawatan doktor. Bayi dijangkiti Chlamydia boleh dirawat dan komplikasi boleh dielak dengan diagnosis tepat dan rawatan berkesan.

Cara mencegah jangkitan Chlamydia

Beliau berkata, pencegahan jangkitan Chlamydia adalah dengan mengadakan hubungan kelamin ketika mencapai usia dewasa, elakkan seks rambang dan guna kondom ketika hubungan kelamin, selain wanita disarankan menjalani saringan penyakit kelamin secara berkala.

Untuk mencegah jangkitan ibu mengandung kepada bayi mereka perlu membuat ujian saringan antenatal seperti syphilis, HIV dan hepatitis B.

Setakat ini, di Malaysia ujian antenatal untuk Chlamydia dan penyakit jangkitan seksual yang lain tidak diwajibkan. Namun ia boleh dilakukan terutama kepada ibu yang berisiko tinggi. Dengan pengesanan awal, ibu boleh dirawat dan jangkitan kepada bayi dapat dielakkan.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90