18 Oktober 2020

,

Sekolah tutup: Calon SPM guna e-buku

 

Jabatan Pendidikan Sabah menyediakan modul pembelajaran dalam bentuk e-buku untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persediaan sepanjang penutupan sekolah, berikutan penularan COVID-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Mistirine Radin, berkata modul berkenaan boleh dimuat turun dalam gajet dan diakses secara luar talian untuk memudahkan pembelajaran di rumah.

Katanya, e-buku yang dihasilkan Majlis Guru Cemerlang dan guru berpengalaman dari Sabah itu sebagai antara langkah memastikan calon SPM di Sabah tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Jabatan Pendidikan Sabah dengan kerjasama Majlis Guru Cemerlang dan guru berpengalaman Sabah ada menyediakan modul SPM mengikut subjek," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah yang diambil bagi memastikan calon SPM di Sabah dapat membuat persediaan, walaupun tidak dapat ke sekolah.

Ia termasuk menangani masalah ketiadaan liputan internet di sesetengah kawasan yang menyukarkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Semua sekolah di Sabah ditutup mulai esok sehingga 25 Oktober ini, selaras keputusan Kementerian Pendidikan pada 9 Oktober lalu berhubung penutupan semua sekolah di negeri ini, berikutan peningkatan kes COVID-19.

Mistirine berkata, modul pembelajaran e-buku itu dapat memastikan calon SPM di negeri ini dilengkapi bahan sesuai dan membantu mereka membuat persiapan menduduki peperiksaan berkenaan.

"Saya berharap guru dan pelajar dapat menggunakan sepenuhnya modul terbitan jabatan agar cukup bersedia menghadapi SPM," katanya.

SPM tahun ini dijadualkan semula pada Januari depan, berikutan perubahan jadual persekolahan ekoran sekolah ditutup awal tahun ini kerana penularan COVID-19.

Mistirine berkata, sebanyak 1,296 sekolah rendah dan menengah dengan seramai kira-kira 500,000 murid dan pelajar terbabit dengan penutupan sekolah di Sabah mulai esok.

Sekolah di Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau sudah ditutup sejak akhir bulan lalu, manakala sekolah di sekitar ibu negeri, Penampang dan Putatan ditutup sejak awal minggu ini, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90