1 Oktober 2020

, , , ,

SUV Citroen C3 Aircross

kereta Citroen C3 Aircross

 

CITROEN C3 Aircross mula diperkenalkan di Malaysia pada bulan April tahun lalu sebagai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Crossover sempena ulang tahun ke-100 Citroen.

Rupa paras yang ranggi dengan rekaan tersendiri mungkin agak pelik bagi sesetengah orang namun, bagi mereka yang meminati hasil sentuhan dari Perancis itu pasti tahun menilainya dari sudut berbeza.

Model ini juga amat sesuai bagi mereka yang meminati suatu kenderaan berbeza, contohnya dengan opsyen pilihan warna berbeza untuk pasaran tempatan.

Pada masa sama, pembeli juga berpeluang memilik pakej warna bumbung dengan trim berbeza. Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh Citroen Malaysia melalui Kumpulan Naza untuk memandu uji model berkenaan selama beberapa hari.

Bukan SUV konvensional

Pada kesempatan yang diberi, saya cuba mendalami dan meneroka apa keistimewaan pada model pertama C3 Aircross ini.

Kita bermula pada bahagian luaran SUV. Bahagian depan termasuk lampu utama terletak di bahagian bampar dengan satu bingkai berwarna oren yang kelihatan sedikit pelik bagi kebanyakan pengguna di Malaysia.

Bagaimanapun, konsep seumpama ini lazimnya dapat disaksikan pada model Jeep Cherokee dan Hyundai Santa Fe.

Rekaan di bahagian belakang pula menyaksikan aplikasi lampu berbentuk tiga dimensi, bampar warna gelap dengan difuser crossover. Model ini juga didatangkan spoiler berwarna gelap.

Beralih ke bahagian sisi, kita mula dari atas rel bumbung berwarna oren, cermin freeglass beserta jalur oren dan rim 4ever sebesar 17 inci.

Sebaik membuka pintu dan melangkah ke dalam kabin, anda akan menyaksikan rekaan yang agak ringkas tetapi cukup teliti lebih-lebih bahagian papan pemukanya tidak sarat dengan susunan butang.

Apa yang saya maksudkan ialah jika pemandu mahu mengawal suhu pendingin hawa, tetapan fungsi itu boleh dibuat dengan menggunakan skrin pelbagai guna berukuran tujuh inci.

Corong pendingin hawa ini juga berkonsep minimalis dengan mengetengahkan reka bentuk bulat selain aplikasi tona oren untuk menceriakan ruang kokpit SUV ini.

Harus diakui, SUV ini tidak sebesar model pesaing lain tetapi kenderaan ini nampaknya tidak memenatkan jika dipandu jauh.

Hal ini disebabkan model C3 Aircross ini didatangkan dengan Citroen Advanced Comfort yang mengutamakan soal keselesaan pemandu mahupun penumpang.

Enjin 1.2 liter turbo

Di bawah hud, enjin tiga silinder 1.2 liter dengan bantuan pengecas turbo yang digunakan sebagai nadi penggerak ternyata agak menakjubkan dan tidak menghampakan penulis.

Jentera SUV ini tidak rasa seperti satu bebanan semasa mendaki kawasan berbukit atau sewaktu menekan pedal untuk memotong kenderaan lain di laluan lurus.

Bebanan kereta ini dikurangkan kerana SUV ini menggunakan bahan binaan ringan untuk membantu mengurangkan berat kasar dan antara komponen dimaksudkan ialah cermin freeglass.

Enjin yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan itu membantu SUV ini mengekstrak kuasa maksimum 112PS pada 5,500rpm dan tork puncak 205Nm pada pusingan enjin seminit serendah 1,500rpm.

Kelajuan maksimum yang tercatat di atas kertas ialah 200 kilometer sejam (kmj) dan pecutan dari keadaan pegun hingga 100 kmj hanya mengambil masa 10.4 saat.

Penggunaan bahan api juga ternyata amat menjimatkan sepanjang sesi pandu uji. Saya mendapati untuk perjalanan 100 km, SUV ini hanya memerlukan bekalan minyak petrol 6.5 liter sahaja.

Sebagai makluman, C3 Aircross didatangkan dengan tangki petrol berkapasiti 45 liter.

Sarat teknologi keselamatan

Ruang simpanan but adalah sebesar 410 liter dan boleh ditingkatkan kepada 520 liter dengan hanya menurunkan kerusi barisan belakang.

Aspek keselamatan SUV ini tidak diabaikan. Citroen memastikan kabin SUV ini dilengkapi enam beg udara dan pemandu dapat menikmati banyak ciri teknologi keselamatan termaju seperti Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem brek antikunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA).

C3 Aircross juga menerima pengiktirafan penarafan lima bintang pada ujian Euro NCAP. Selain pilihan warna Natural White seperti model yang dipandu uji penulis, pelanggan ada tiga warna pilihan lain iaitu Soft Sand (kelabu lembut), Passion Red (merah) dan Breathing Blue (biru).

Citroen C3 Aircross ini ditawarkan pada harga RM110,140.69 tidak termasuk insurans untuk kenderaan persendirian. Fakta menarik bagi model ini ialah sejak dilancarkan, Citroen Malaysia sudah menjual lebih 60 unit. Majoriti pembeli model ini adalah daripada bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Info Citroen C3 Aircross

Enjin : 1.2 liter turbo
Kapasiti enjin: 1,199cc
Transmisi: Enam kelajuan automatik dengan Steptronik
Kuasa maksimum: 112PS @ 5,500 rpm
Tork maksimum: 205Nm @ 1,500 rpm
Harga: RM110,140.69 (tidak termasuk insurans)

 

 

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90