21 Oktober 2020

Talian Sokongan Psikososial 088 338088

 

Masalah di tempat kerja, hilang pekerjaan dan bimbang dijangkiti wabak adalah antara masalah paling banyak aduan daripada orang ramai kepada Talian Sokongan Psikososial, sejak 25 Mac lalu.

Talian sokongan yang diwujudkan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) itu menerima sebanyak 36,269 panggilan dan 50 peratus daripadanya adalah berkaitan keperluan sokongan emosi dan kaunseling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sokongan emosi itu adalah berkaitan perasaan stres, bimbang, marah dan murung.

"Antara sebab mereka membuat panggilan adalah disebabkan faktor sosial seperti hilang pekerjaan, tiada pendapatan, masalah hubungan, persepsi negatif orang sekeliling, bimbang kepada jangkitan dan masalah tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 14.7 peratus panggilan adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai COVID-19, isu rumah tangga/keganasan rumah tangga (8.8 peratus), keperluan asas/bantuan kewangan/sumbangan (6.8 peratus), aduan (3.3 peratus), masalah psikiatri (2.2 peratus) dan isu kesihatan (1.1 peratus).

Katanya, menyedari situasi semasa di Sabah, KKM mengambil tindakan mempertingkatkan liputan MHPSS khas untuk warga negeri itu terutamanya kepada mereka yang memerlukan sokongan dalam krisis itu.

"Talian boleh diakses melalui nombor 088 338088 untuk membantu mereka yang memerlukan khidmat sokongan emosi dan bantuan awal psikologi.

"KKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada anggota barisan hadapan di lapangan bagi mengenal pasti mereka yang mulai alami kelesuan minda dan membantu dari aspek kesihatan mental," katanya.

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90