21 Oktober 2020

, ,

Tertipu urusan beli kenderaan Singapura

Penipuan jaualan kereta SIngapura

 

 

Hasrat seorang kontraktor di Pekan, Pahang hendak memiliki kenderaan terpakai dari Singapura lebur apabila ditipu penjual yang dikenali melalui laman Facebook.

Akibat daripada urusan jual beli berkenaan, mangsa kerugian RM14,412 selepas memasukkan wang ke dalam dua akaun bank dimiliki individu berlainan.

Kejadian bermula selepas lelaki berusia 53 tahun berkenaan terlihat iklan jualan pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor yang ditawarkan dengan harga RM36,000 pada 3 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menghubungi suspek melalui nombor telefon yang tertera dalam iklan untuk memulakan urusan jual beli.

“Penjual tersebut meminta gambar kad pengenalan, lesen memandu, salinan sijil syarikat (SSM) serta penyata bank terkini bagi tujuan membuat pinjaman kenderaan.

“Suspek meminta RM2,500 sebagai deposit pembelian kenderaan. Pada 5 Oktober, mangsa membuat bayaran melalui mesin sebanyak RM6,100 ke dalam dua akaun berlainan,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar beliau lagi, mangsa turut diminta memindahkan wang sebanyak RM5,812 sebagai bayaran cukai jalan serta RM2,500 untuk pendaftaran kenderaan secara sah di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Mohd. Wazir menambah, sesudah semua bayaran dibuat, suspek memaklumkan kenderaan tersebut akan dihantar menggunakan khidmat trak tunda.

“Suspek memberi nombor telefon pemandu trak tunda. Apabila dihubungi, pemandu trak tersebut memberi banyak alasan sehingga menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber : Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90