21 Oktober 2020

,

TNB pasang meter pintar di seluruh negara secara berperingkat

meter pintar tnb

 

Sebanyak 608,976 unit meter pintar Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dipasang di Lembah Klang dan Melaka, sehingga 16 Oktober lalu.

Pemasangan meter pintar di Cheras, Kuala Lumpur, Shah Alam, Putrajaya dan Cyberjaya itu berjalan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Oktober ini.

Pengarah Projek, Advanced Metering Infrastructure (AMI), TNB, Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata, pemasangan itu dibolehkan semasa PKPB de­ngan kerja-kerja dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Proses pemasangan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit. Ia tertakluk kepada pematuhan rapi SOP seperti ditetapkan pihak berkuasa, termasuk berkaitan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Ini bagi memastikan ke­selamatan pemasang meter dan pengguna sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum pemasangan meter pintar, pengguna akan menerima surat pemberitahuan pemasangan meter oleh TNB. Kerja-kerja pemasangan akan dilakukan oleh kontraktor lantikan TNB.

Menurut Mohamed Ghous, pengguna meter pintar mendapat kelebihan untuk me­ngawal corak penggunaan tenaga ha­rian, mengurangkan pembaziran dan jejak karbon serta mengawal perbelanjaan bulanan.

“Meter pintar memboleh­kan pelanggan TNB memantau penggunaan elektrik secara ha­rian menerusi portal www.mytnb.com.my dan aplikasi myTNB yang boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

“Bil elektrik juga boleh dibayar secara dalam talian menerusi portal yang sama. Pengguna juga boleh mendapatkan bacaan bil bulanan mereka melalui portal dan aplikasi myTNB dengan kadar segera pada setiap tarikh kitaran bil,” katanya. 

Sumber : Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90