15 November 2020

,

Hubungi bank jika perlukan moratorium bayaran balik pinjaman

 

Individu atau perniagaan yang berdepan masalah membayar balik pinjaman, perlu berkomunikasi dengan pihak bank untuk mendapatkan moratorium atau bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon, berkata menerusi Belanjawan 2021, individu terkesan, khususnya golongan B40 boleh memilih sama ada mendapatkan moratorium selama tiga bulan, atau membayar 50 peratus daripada bayaran balik pinjaman untuk enam bulan.

Katanya, proses permohonan itu juga sangat mudah dan memberi jaminan pihak bank akan membantu mereka yang bermasalah untuk membayar balik pinjaman masing-masing.

"Bagi mereka yang terjejas, khususnya B40, prosesnya mudah. Cuma beritahu bank sama ada nak tangguh bayaran, iaitu tak perlu bayar apa-apa selama tiga bulan, atau bayar separuh saja untuk tempoh enam bulan.

"Kemudahan ini ditawarkan oleh bank tempatan, cuma mereka kena berkomunikasi dengan pihak bank dan maklumkan jika ada masalah untuk bayar balik atau jika anda kumpulan yang terjejas (dengan pandemik COVID-19).

"Jika anda berkomunikasi dengan pihak bank, bank akan membantu anda dan melihat bagaimana untuk membantu daripada segi moratorium bayaran balik pinjaman," katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

Ditanya mengenai perbezaan pelaksanaan moratorium secara pukal sebelum ini dengan bantuan bayaran balik bersasark ketika ini, Asri berkata, moratorium keseluruhan sebelum ini dinikmati semua kumpulan, sama ada B40, M40 atau T20.

"Untuk Belanjawan 2021, kemudahan moratorium ini kita sasarkan untuk membantu golongan yang mudah terjejas dan mereka yang benar-benar memerlukan.

"Berdasarkan data daripada pihak bank, katanya, sebanyak 650,000 permohonan lanjutan moratorium diterima dan 98 peratus daripadanya diluluskan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90