25 November 2020

,

Statistik Penduduk Malaysia 2019-2020

 


Bilangan kanak-kanak di seluruh negara sepanjang tahun ini dianggarkan berkurangan 78,100 orang kepada 9,247,500 orang daripada 9,325,600 orang pada 2019.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, penurunan itu adalah ketara bagi kumpulan umur 0 hingga empat tahun serta 13 tahun hingga 17 tahun.

Penurunan 1.5 peratus atau 37,800 orang bagi kumpulan usia 0 hingga empat tahun kerana kelahiran hidup 488,000 orang pada 2019 berbanding 502,000 orang pada tahun sebelumnya.

“Manakala bagi kumpulan umur 13 tahun hingga 17 tahun, berlaku pengurangan sebanyak 1.5 peratus iaitu 41,600 orang,” jelasnya menerusi kenyataan Jabatan Perangkaan di sini hari ini.

Agensi itu menerbitkan Statistik Kanak-kanak Malaysia 2020 dan memuatkan banyak indikator terpilih merujuk seseorang bawah umur 18 tahun seperti ditetapkan Akta Kanak-kanak 2001.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, kelompok itu meliputi 28.3 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia pada 2020 dengan 4,774,900 orang (51.6 peratus) adalah lelaki.

Sementara 4,472,600 (48.4 peratus) adalah perempuan dan mengikut perspektif kesihatan pula, kesemua liputan enam jenis pelalian bayi sepanjang 2019 telah melebihi 95 peratus.

Ia mencapai sasaran imunisasi kebangsaan menerusi program suntikan berjadual Bacillus Calmette-Guerin (BCG), Poliomyelitis, Diphtheria, Tetanus & Pertussis, HIB dan Hepatitis B.

Enrolmen di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan juga bertambah 9,500 orang daripada 4,848,100 orang kepada 4,857,600 orang pada 2019 lalu,” tambah Mohd. Uzir lagi.

Ia disumbangkan oleh peringkat pendidikan prasekolah (0.7 peratus) dan peringkat rendah (1.3 peratus) manakala enrolmen peringkat menengah pula menurun sebanyak 3,800 orang.

Bilangan taska berdaftar pula naik 11.2 peratus kepada 4,903 buah pada 2019 dengan kadar tertinggi di Selangor (19.7 peratus) diikuti Perlis (19 peratus) dan Pulau Pinang (16.5 peratus).

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur paling rendah kekurangan nutrisi pada 2019 iaitu 0.5 peratus.

“Ini diikuti Johor (0.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.7 peratus). Statistik ini daripada rekod kehadiran kanak-kanak ke fasiliti Kementerian Kesihatan,” kata Mohd. Uzir.

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, kanak-kanak Orang Kelainan Upaya pada 2019 ialah 20,321 orang dengan komposisi terbesar umur 6 hingga 12 tahun (50.5 peratus).

Manakala situasi jenayah kanak-kanak bawah umur 18 tahun pula bertambah baik pada tahun lalu apabila jatuh 8.7 peratus daripada 5,294 kes pada 2018 kepada 4,833 kes pada 2019.

Apa yang menarik, kanak-kanak lelaki terlibat jenayah turut mencatatkan penurunan 9.2 peratus, sementara perempuan masih kekal sama seperti tahun sebelumnya iaitu 290 kes. 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90