5 November 2020

, , ,

Suhaimi Saad hidap sakit mata kronik

 

Selepas lama menyepi, bekas penyanyi kumpulan nasyid InTeam, Suhaimi Saad, 40, bakal tampil dengan single terbaharu ciptaannya sendiri yang berunsurkan ketuhanan berjudul Zapin Selawat penghujung tahun ini.

Meskipun lagu itu tinggal proses akhir rakaman, kemunculan semula Suhaimi tidak sama seperti dahulu apabila dia kini menghidap sakit mata yang kronik sejak setahun lalu.

Bapa kepada empat orang cahaya mata itu kini memerlukan bantuan Nordiana Mat Naim, 36, atau Ina Naim dalam urusan harian ekoran masalah kesihatan yang menyebabkan matanya rabun.

Menurut Suhaimi, dia dan keluarga sudah menetap di Kelantan sejak tiga tahun lalu malah tidak pernah melupakan minatnya dalam bidang seni apabila masih mendalat undangan persembahan di negeri ini.

“Saya mengalami masalah mata ini sejak tinggal di ibu negara lagi. Selain isteri, saya juga menggunakan tongkat untuk berjalan.

“Saya masih masih mendapatkan rawatan susulan di hospital selain meneruskan rawatan secara tradisional untuk mengubati mata ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah rakannya di Taman Paduka dekat Kubang Kerian di sini hari ini.

Suhaimi dan Ina Naim dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 12, Sallman El-Khoyri, 10, Phyrosh Elfadwah, 8, dan Nurlayla Elghufrony,6.

Menurut Suhaimi, keempat-empat anaknya bersekolah di rumah (home schooling) dengan isterinya berperanan sebagai guru.

Katanya, Ina Naim juga bergelar peniaga barangan kosmetik dan pakaian secara dalam talian selain menerima tempahan menyediakan makanan bagi membantu menambah pendapatan keluarga.

“Kami sekeluarga bahagia tinggal di Kelantan. Kami mempunyai keluarga angkat yang banyak membantu dan sentiasa memberi sokongan meskipun kami jauh daripada keluarga di Pahang dan Johor,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penggiat Seni Kelantan, Mohamad Afandi Mohamad berkata, pihaknya akan membantu penyanyi itu untuk kembali aktif dalam bidang seni terutamanya di Kelantan.

Katanya, sekiranya ada undangan nyanyian, persatuan akan menjadi jambatan penghubung untuk menjemput Suhaimi dalam persembahan di negeri ini.

- Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90