9 Disember 2020

, , , , ,

Maybank Islamic perkenal akaun pelaburan baharu

 

Maybank Islamic Bhd melancarkan akaun pelaburan tertutup Multi-Asset Investment-i (MAIA) dengan sasaran meraih pelaburan RM250 juta menerusi produk yang julung kali seumpamanya ditawarkan bank komersial.

MAIA ditawarkan kepada pelanggan yang bermatlamat memaksimumkan pulangan dengan pelaburan dalam portfolio pelbagai aset pembiayaan bank dan pasaran sekuriti patuh Syariah.

Sebanyak 50 peratus pelaburan MAIA akan dibuat ke dalam aset pembiayaan Maybank Islamic yang menguntungkan dan stabil seperti gadai janji, sewa beli serta pembiayaan unit amanah.

MAIA memberi peluang kepada pelabur yang ingin meneroka peluang pelaburan pada jangka masa sederhana hingga panjang yang baharu dan akaun ini terbuka kepada individu serta pelabur institusi dengan pelaburan minimum sebanyak RM10,000.

Maybank Islamic Asset Management (MIAM) dilantik sebagai Pengurus Pelaburan Luar akan melaburkan baki 50 peratus dalam ekuiti patuh Syariah dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs).

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata bank menyasarkan potensi pulangan yang lebih tinggi sebanyak 4.25 peratus setahun untuk penempatan selama tiga tahun, menjadikan MAIA satu pelaburan yang menarik memandangkan persekitaran kadar faedah agak rendah sekarang.

"Kami percaya MAIA dapat memenuhi keperluan pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh Syariah yang bertujuan untuk mengekalkan modal sambil menghasilkan pulangan yang stabil dan

relatif lebih tinggi," katanya.

Mohamed Rafique berkata, pelancaran MAIA adalah tonggak bagi Maybank Islamic yang menjadi institusi perbankan Islam pertama mewujudkan produk pelaburan yang menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur bukan hanya pada aset pembiayaan bank yang kukuh, tetapi juga sekuriti patuh Syariah.

"Dengan ketidaktentuan ekonomi semasa akibat penyebaran COVID-19, Maybank Islamic menyasarkan untuk membantu pelanggannya untuk mengembangkan pelaburan mereka.

"Ia terutama yang mencari pulangan pendapatan berpotensi dan pertumbuhan modal dengan melabur dalam portfolio pembiayaan bank Islam terbesar di Malaysia serta dana yang terdiri daripada portfolio sekuriti patuh Syariah," katanya.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, institusi kewangan Islam dibenarkan menjadi perantara pelaburan.

Maybank Islamic adalah yang pertama merealisasikannya dengan pelancaran produk Akaun Pelaburannya (IA) pada tahun 2015.

Di bawah produk IA, MAIA adalah inovasi kedua produk pelaburan untuk bank.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90