9 Disember 2020

, , , ,

Murid Malaysia catat skor tertinggi Matematik, Sains global

 

Malaysia melakar sejarah apabila buat julung kali meraih skor aras tertinggi dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada 2019.

Kementerian Pendidikan berkata, ia menunjukkan peningkatan murid negara ini bagi mata pelajaran Matematik dengan memperoleh skor lebih 700 iaitu melebihi aras tertinggi 625.

Uniknya TIMSS tahun lalu memperkenalkan pentaksiran berasaskan komputer, eTIMSS dan pentadbiran kajian secara paperTIMSS sebagai sebahagian proses transisi perbandingan.

“Seramai 65 murid eTIMSS dan 25 murid paperTIMSS catat skor lebih 700 malah pencapaian individu tertinggi eTIMSS ialah 764 dan paperTIMSS ialah 799,” katanya menerusi kenyataan.

Murid Malaysia peroleh aras tertinggi paperTIMSS bagi subjek ini ialah enam peratus dan eTIMSS pula empat peratus, naik tiga peratus bagi paperTIMSS dan satu peratus eTIMSS.

TIMSS dikendalikan International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) ditubuhkan pada 1958 berpusat di Amsterdam, Belanda dengan disertai lebih 60 negara.

Ia menilai pencapaian murid tingkatan dua dan pentadbiran itu dilaksanakan dari 16 Oktober hingga 1 November 2018 melibatkan 1,560 murid bagi paperTIMSS dan 8,077 bagi eTIMSS.

“Bagi mata pelajaran Sains, buat julung kali seramai 13 murid paperTIMSS dan 23 murid eTIMSS memperoleh skor lebih 700 sejak Malaysia menyertai kajian TIMSS pada 1999,” katanya.

Dari segi peratusan, murid Malaysia raih aras tertinggi itu ialah tiga peratus bagi eTIMSS dan empat peratus bagi paperTIMSS, peningkatan hampir setara berbanding TIMSS pada 2015.

Hasil dapatan kajian global itu akan jadi panduan rangka strategi penambahbaikan pelbagai program dan inisiatif kementerian tersebut dengan mengambil kira pencapaian semasa murid.

Ia melibatkan pelbagai aras, kaedah dan teknik penyampaian guru dalam bilik darjah malah usaha itu dibuat secara holistik dengan kerjasama semua pihak berkepentingan di negara ini.

Laporan antarabangsa TIMSS itu boleh dimuat turun menerusi https://www.iea.nl/studies/iea/tmss manakala laporan kebangsaan TIMSS melalui laman sesawang rasmi kementerian iaitu https://www.moe.gov.my

Sumber : Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90