27 Julai 2021

Harga maksimum minyak masak berkuatkuasa 1 Ogos

by

 

Harga runcit maksimum baharu bagi minyak masak sawit tulen dijual dalam botol akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos ini.

Sehubungan dengan itu, harga runcit maksimum minyak masak sawit ditetapkan bagi botol lima kilogram (kg) ialah RM29.70, botol satu kg (RM6.70), dua kg (RM12.70) dan tiga kg (RM18.70).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (CPO).

"Dengan pelaksanaan harga kawalan untuk minyak masak tulen, pengguna dijamin mendapat minyak masak di bawah harga RM30 bagi botol lima kg dan lain-lain kuantiti tanpa mengira kedudukan harga sawit semasa," kata KPDNHEP dalam kenyataan.

KPDNHEP berkata penetapan harga runcit maksimum minyak masak itu dibuat di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2021.

Ia turut mengambil kira pandangan agensi, industri dan trend harga di pasaran.

"Pelaksanaan harga kawalan ini dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai komitmen kerajaan membantu rakyat meringankan kos sara hidup," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred KP29

by

 


  • Kumpulan:Pelaksana
  • Kem/Jab:Pelbagai Kementerian/ Jabatan
  • Jadual Gaji:
    GAJI MINIMUM GAJI MAKSIMUM KADAR KENAIKAN GAJI TAHUNAN
    RM1,493.00 RM5,696.00 RM145.00
  • Syarat Lantikan:
    Calon bagi lantikan hendaklah memiliki kelayakan seperti berikut:
    1. warganegara Malaysia;
    2. berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan; dan
      1. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
        (Gaji permulaan ialah pada Gred KP29:RM1,493.00);atau
      2. Sijil Tinggi Agama Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
        (Gaji permulaan ialah pada Gred KP29:RM1,493.00);atau
      3. Bekas anggota polis atau tentera yang sekurang-kurangnya berpangkat Sarjan atau yang setaraf dengannya dan telah disahkan dalam jawatan tersebut serta menpunyai rekod perkhidmatan yang baik.
        (Gaji permulaan ialah pada Gred KP29:RM1,493.00);
      4. Diploma dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
        (Gaji permulaan ialah pada Gred KP29:RM1,770.95).
      5. Diploma dalam bidang undang-undang yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
        (Gaji permulaan ialah pada Gred KP29:RM1,846.15).
    3. Syarat lantikan untuk kegunaan di Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia:
      1. Sijil Veterinar/Sijil Pertanian yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
        (Gaji permulaan ialah pada Gred KP29:RM1,493.00);atau
      2. Diploma dalam bidang perikanan, pertanian hortikultur, pemakanan, teknologi makanan, kesihatan haiwan, penternakan atau sains veterinary yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
        (Gaji permulaan ialah pada Gred KP29: RM1,846.15).
    4. dan mempunyai syarat-syarat ukuran fizikal dan pacaindera seperti yang berikut:
      1. tinggi sekurang-kurangnya 1.57m bagi lelaki dan 1.53m bagi wanita tanpa bersepatu;
      2. berat badan sekurang-kurangnya 48 kg bagi lelaki dan 46kg bagi wanita;
      3. mempunyai ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26;
      4. mempunyai sekurang-kurangnya 81sm ukuran dada yang biasa dan 86sm semasa menarik nafas (lelaki sahaja);
      5. lulus ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan dengan ketetapan V6/9 tanpa menggunakan cermin mata;
      6. pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat; dan
      7. diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan berdaftar.
  • Syarat Bahasa Melayu
    Calon bagi lantikan hendaklah memiliki Kepujian (sekurang-kurangnya Gred C) dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia/ Sijil Vokasional Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
  • Syarat Peningkatan Secara Lantikan
    Pegawai sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Pembantu Penguatkuasa atau Pemeriksa Kereta Motor Gred AB19, Gred AB22 atau Gred AB26 adalah layak dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Melantik berkenaan untuk Peningkatan Secara Lantikan ke jawatan Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred KP29, tertakluk kepada kekosongan jawatan, apabila telah disahkan dalam perkhidmatan dan:
      1. mempunyai kelayakan di perenggan 1 (c) atau 1(d) ; dan
      2. lulus Peperiksaan Khas; dan
    1. had umur pelantikan:
      1. berumur kurang dari 54 tahun pada tarikh lantikan bagi pegawai yang umur persaraan paksa 55 atau 56 tahun; atau
      2. berumur kurang dari 56 tahun pada tarikh lantikan bagi pegawai yang umur persaraan paksa 58 tahun; atau
      3. berumur kurang dari 58 tahun pada tarikh lantikan bagi pegawai yang umur persaraan paksa 60 tahun.
  • Deskripsi Tugas :
    1. Kementerian Dalam Negeri
      Membuat pemeriksaan ke atas premis-premis yang menjalankan aktiviti menyewa, menjual atau mengedar filem di bawah Akta Filem (Penapisan) 1952 (Pindaan 1980), menjalankan siasatan kes-kes rampasan dan menjalankan tugas-tugas pendakwaan di Mahkamah.
    2. Kementerian Pengangkutan
      Menjalankan tugas-tugas operasi dan penguatkuasaan, pendakwaan mahkamah, perlesenan dan ujian memandu serta pendaftaran kenderaan.
    3. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
      Menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah akta-akta berkaitan, memproses permohonan lesen barang-barang berjadual dan menjalankan tugas-tugas penyerahan/penentuan Akta-akta Timbang dan Sukat.
    4. Kementerian Pertanian (Jabatan Perkhidmatan Haiwan)
      Bertanggungjawab membantu mengurus Pentadbiran am dan Kewangan Bahagian/ Cawangan Penguat Kuasa Negeri, menjalankan pemeriksaan perisikan, serbuan dan kes-kes pendakwaan mahkamah.

     

 

Contoh Soalan Peperiksaan Penolong Penguatkuasa KP29

by

 

Exam PENOLONG PENGUATKUASA KP29 yang dijadualkan pada 3 OGOS 2021. Format peperiksaan hanya 2 Seksyen sahaja. 

Tak Tahu Nak Prepare Apa Untuk EXAM ONLINE PENOLONG PEGAWAI PENGUAT KUASA KP29 Pada 3 OGOS 2021 ini?

Usah risau. Anda berada di tempat yang betul. Ini rujukan untuk bantu persediaan exam anda!

Dapatkan Contoh Soalan Peperiksaan dan Panduan Menjawab di  https://go.infotambahan.com/penguatkuasakp29/28

 

 

DUN Sarawak sudah terbubar

by

 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang tertangguh akibat Proklamasi Darurat, mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Ini bermakna PRN Sarawak Ke-12 perlu diadakan sebelum 18 September depan.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata PRN itu antara kesan utama kepada pembatalan enam Ordinan Darurat yang dibuat oleh Kabinet.

"Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu diisytiharkan terbubar kerana tamat tempoh lima tahun.

"PRN Sarawak Ke-12 perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ordinan tidak lagi berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu, namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg awal bulan ini berkata, kerajaan negeri belum membincangkan tarikh sesuai mengadakan PRN Sarawak Ke-12, walaupun separuh iaitu 1.3 juta rakyatnya sudah mendapat vaksin COVID-19.

Abang Johari berkata, pihaknya mahu memberi tumpuan terhadap usaha melengkapkan vaksinasi kepada 2.08 juta rakyat yang layak.

Sementara itu, Muhammad Fathi berkata, semua kerusi Parlimen dan DUN yang kosong dalam tempoh Proklamasi Darurat seperti DUN Melor di Kelantan perlu diisi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK), juga dalam tempoh 60 hari Ordinan Darurat tidak lagi berkuat kuasa.

"Jika darurat khusus untuk Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik dan DUN Bugaya juga ditamatkan, PRK untuk kerusi-kerusi berkenaan perlu dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, pembatalan Ordinan Darurat juga boleh membuka laluan kepada

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat sokongan untuk kelulusan Belanjawan 2022 atau kalah dalam apa-apa pengundian di Dewan Rakyat yang boleh ditafsirkan sebagai hilang kepercayaan ahli dewan.

Katanya, berdasarkan Perkara 40(3), jika tiada calon lain yang layak dilantik Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen atas kehendak Perdana Menteri.

"Dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, PRU-15 perlu dilaksanakan di seluruh negara," katanya.

Dalam aspek penguatkuasaan, beliau berkata, kadar denda yang tinggi bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dipinda melalui Ordinan Darurat dengan sendirinya terbatal dan kadar denda asal yang lebih rendah perlu berkuat kuasa.

"Kita doakan agar perkembangan yang berlaku ini tidak menjejaskan usaha yang sedang dilaksanakan bagi menghadapi wabak COVID-19.

"Semoga Allah kurniakan jalan keluar yang terbaik kepada kita semua dalam menghadapi dugaan yang besar ini," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini, mengumumkan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Katanya, berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat turut dibatalkan dan kerajaan menarik balik ordinan berkenaan pada 21 Julai lalu.

Sumber : Berita Harian

 

 

25 Julai 2021

Baharuddin Omar atau Anjang Aki meninggal dunia

by

 

Bintang veteran, Datuk Baharuddin Omar, 85, menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang ini.

Berita pemergiannya pelakon yang dikenali dengan watak Anjang Aki itu disahkan oleh isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar kepada BH Online.

Nazariah, 66, berkata, arwah suami meninggal dunia bukan disebabkan pandemik COVID-19, sebaliknya arwah menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.

"Arwah baru selesai makan dan kemudiannya, masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, namun saya mendapati arwah sesak nafas sebaik meninjau keadaannya dalam bilik.

"Selepas itu, arwah tidak sedarkan diri. Saya dan dua anak berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

"Alhamdulillah, arwah pergi dengan tenang dan mudah. Kemudiannya, saya menghubungi anak-anak memaklumkan berita pemergian arwah," katanya kepada BH Online.

Nazariah berkata, seorang cucu yang bertugas sebagai doktor di Klang bergegas pulang ke rumah dan menjalankan ujian calitan COVID-19 pada arwah.

"Cucu mengesahkan arwah bukan meninggal dunia disebabkan pandemik COVID-19," kata Nazariah.

Beliau berkata, arwah suami tidak mempunyai sebarang penyakit lain, selain penyakit pembuluh darah bengkak. Malah, keputusan pemeriksaan yang dilakukan pada Rabu lalu menunjukkan arwah tidak mempunyai penyakit berbahaya seperti kencing manis, kolesterol mahupun buah pinggang.

"Arwah sihat, boleh bergerak seperti biasa. Cuma, beliau banyak terperap di rumah akibat COVID-19. Keadaannya juga seperti tertekan.

"Biasalah jiwa anak seni, beliau biasa bergerak aktif. Jadi, apabila tidak dapat keluar rumah bertemu rakan, kita boleh nampak arwah seperti tertekan.

"Arwah baru sahaja menyambut ulang tahun ke-85 pada 12 Julai lalu. Beliau tidak menunjukkan tanda akan pergi, cuma nampak sedih, pagi tadi.

"Ini disebabkan salah seorang adiknya sedang dirawat di hospital di Klang, keadaannya tidak begitu baik," katanya.

Nazariah berkata, arwah sedih apabila mendapat tahu seorang demi seorang teman seperjuangannya meninggal dunia.

"Semalam, arwah Tawil pergi. Sebelum ini, arwah Datuk Jamali Shadat. Mereka adalah rakan seperjuangannya," kata Nazariah.

Sebelum ini, Allahyarham Baharuddin pernah dimasukkan ke Hospital Shah Alam, tiga tahun lalu selepas terjatuh dalam bilik air dan mengalami kecederaan pada kepala. Menerusi ujian skop dijalankan mendapati terdapat bengkak pada bahagian esofagus.

Bagaimanapun, disebabkan faktor usia, pembedahan tidak dapat dijalankan. Allahyarham hanya perlu bergantung dengan ubat-ubatan.

Pelakon kelahiran Kuang, Selangor itu memulakan kerjaya dalam dunia lakonan menerusi drama Tanah Pusaka pada 1967. Selain itu, beliau juga pernah membintangi drama Perajurit Pulang (1968) dan Bangsawan (1970).

Namun, namanya meninggalkan kesan menerusi drama bersiri, Anjang Aki arahan Aziz Abbas terbitan dan siaran RTM pada pada 1981. Drama yang disiarkan selama beberapa musim itu turut dibintangi Allahyarham Datuk Ismail Hudson dan Dian P Ramlee.

Sebelum berada dalam bidang seni, arwah Baharuddin adalah bekas pesara tentera, selain pernah berkhidmat sebagai Penerbit Radio RTM pada 1970.

Allahyarham membintangi banyak filem hebat seperti Kisah Seorang Biduan, Darah Satria, Dia Ibuku, Irisan-Irisan Hati, Abang, Ali Setan II, selain projek penerbitan filem antarabangsa dari Jepun dan Australia.

Beliau pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Ke-2 selama tiga penggal sejak 1978, selain Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Ahli Lembaga Penapis Filem (LPF).

Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

 Sumber : Berita Harian

 

 

Lapor polis jika terima suntikan kosong

by

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta penerima vaksin yang mengesyaki menerima suntikan kosong vaksin COVID-19 tampil membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya akan membuka kertas inkuiri bagi menyiasat aduan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, PDRM masih menerima banyak pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah oleh penerima vaksin COVID-19.

"Bagi penerima vaksin yang merasa diperdayakan dengan tidak disuntik vaksin, mereka boleh membuat ujian 'COVID Neutralizing Antibody Test' di makmal perubatan yang berlesen.

"Ujian ini boleh dibuat sebulan (30 hari) selepas menerima suntikan dos kedua iaitu mengesahkan keberadaan antibodi di dalam badannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata orang ramai juga boleh membuat laporan polis bagi kejadian berlakunya penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara dalam talian (online) atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Bagi kes ini siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

"Sehingga kini PDRM masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau cuba memasarkan vaksin-vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya," katanya.

 

 

23 Julai 2021

Astro lancar Ultra Plug & Play Box

by

 

Astro melancarkan kotak televisyen baharu, Astro Ultra Plug & Play Box yang membolehkan pelanggan mengakses semua kandungan yang ditawarkan Astro menerusi sambungan internet.

Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad berkata, fungsi dan reka bentuk kotak tersebut hampir sama seperti kotak Ultra dan Ulti yang diperkenalkan hampir dua tahun lalu dan apa yang membezakannya ialah Astro Ultra Plug & Play Box boleh dipasang sendiri secara mudah oleh pengguna.

“Produk ini memberikan anjakan baharu dalam penawaran servis kami kerana selama hampir 25 tahun, pelanggan baharu Astro perlu menunggu kakitangan perkhidmatan kami datang dan memasang peralatan di rumah.

“Namun dengan Astro Ultra Plug & Play Box baharu ini, pengguna hanya memerlukan sekitar 15 minit untuk memasangnya sendiri di kediaman masing-masing dan hal ini lebih menepati persekitaran norma baharu yang mana masyarakat sekarang agak gusar membenarkan orang luar masuk ke rumah,” katanya pada sesi pelancaran yang diadakan secara maya.

Perkhidmatan Astro Ultra Plug & Play Box ditawarkan pada harga bermula dari RM49.06 sebulan menerusi pakej Starter Pack dengan kontrak selama 24 bulan.

Menurut Azlin, pelanggan Astro sedia ada dengan purata pendapatan per unit (ARPU) melebihi RM100 sebulan boleh mendapatkan kotak baharu itu secara percuma.

“Pelanggan hanya perlu memesan kotak ini menerusi laman web Astro atau pelbagai saluran lain dan ia akan dihantar ke kediaman pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier dalam tempoh 72 jam, namun kami cuba sedaya upaya supaya pelanggan dapat menerimanya pada keesokan harinya selepas membuat tempahan.

“Buat masa ini servis ini ditawarkan di Semenanjung namun ia akan diperluaskan tidak lama lagi ke seluruh negara,” katanya.

Maklumat lanjut, layari : https://product.astro.com.my/tv

Sumber : Kosmo!

 

Kontroversi Ebit Lew, Caprice dan Nadir

by

 

 

Konflik melibatkan Ebit Lew dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap, Caprice berhubung misi kemanusiaan di Gaza, Palestin terus memuncak dengan le­bih banyak perkara didedahkan oleh pendakwah itu.

Terbaharu, Ebit dalam satu sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di Instagramnya semalam turut menafikan segala dakwaan oleh Nadir termasuk isu bayaran wang kepada pihak ter­tentu untuk memasuki Gaza.

Penafian itu dibuat hanya sehari selepas Ebit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung dakwaan yang dibuat oleh Caprice dan Nadir.

Menurut Ebit, pihaknya menyangkal dakwaan kononnya telah membayar harga yang tinggi kepada syarikat Hala semata-mata untuk memasuki Gaza.

Katanya, dakwaan itu adalah fitnah yang melampau kerana dia sama sekali tidak tahu mengenai syarikat tersebut, sebaliknya proses memasuki Gaza adalah melalui Kedutaan Malaysia.

“Sebelum ini dalam sebuah Live oleh Nadir bersama Firdaus Wong, mereka ada sebut satu-satunya jalan memasuki Gaza adalah melalui Mile of Smile.

“Saya sudah hubungi pihak Mile of Smile dan mereka minta kami untuk membayar AS$10,000 (RM42,239) seorang. Memandangkan mahal, saya tak mahu bawa semua, jadi saya uruskan beberapa nama untuk masuk, bagaimanapun proses untuk masuk itu gagal,” katanya.

Ebit berkata, pihaknya kemudian cuba memohon kelulusan untuk masuk ke Gaza dengan bantuan Kedutaan Malaysia.

“Kami dapat kelulusan kerajaan Mesir, tetapi kelulusan daripada tentera tidak berjaya. Jadi, kami semua sudah mahu balik ketika itu, sebelum balik saya singgah kedutaan untuk ucapkan terima kasih tetapi dimaklumkan ejen perisikan tentera Mesir mahu bantu kami.

“Kemudian mereka bawa berjumpa dengan Syarikat Lucky Tour yang boleh bantu kami ke Gaza dengan kos AS$2,500 (RM10,559.75) seorang,” jelasnya.

Berhubung dakwaan pihaknya tidak memberi respon sebut harga kotak makanan yang diberikan oleh Nadir, Ebit menjelaskan, tindakan itu adalah kerana mereka telah memperoleh kos yang lebih murah daripada pihak lain.

“Nadir ada sebut mengenai beri kertas kerja kepada Ustaz Zul. Ramai ingat proposal itu tunjuk cara masuk Gaza, tetapi tidak. Itu hanya sebut harga kotak makanan yang mahu diberikan kepada penduduk Gaza.

“Di dalam proposal itu diletak harga makanan satu kotak AS$40 (RM168.96), tetapi saya juga ada dapat sebut harga barang yang lebih kurang sama dengan harga AS$20 (RM84.48). Jadi, kenapa saya kena ambil yang AS$40 kalau ada AS$20,” katanya.

Dalam pada itu, Ebit juga menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai kumpulan misi bantuannya yang dikatakan sempat bersiar-siar, tetapi tidak memberi sebarang perkembangan sepanjang berada di sana.

“Setibanya di Mesir, kami perlu serahkan nama kepada polis, nyatakan tujuan ke sana. Saya tidak boleh letak saya nak ke Gaza kerana belum dapat kebenaran. Jadi, saya ke sana melalui ejen pelancongan.

“Bukan bayar mahal dan hotel kami terletak berhampiran de­ngan tempat Firaun dan ada juga makam Imam Syafi’e,” katanya.

Tidak kenal Syarikat Hala

Pendakwah bebas, Ebit Lew menyangkal dakwaan yang mengatakan pihaknya memasuki Gaza, Palestin dengan membayar harga yang tinggi kepada syarikat yang dikenali sebagai Syarikat Hala.

Ebit berkata, dakwaan itu merupakan satu fitnah yang melampau kerana dia sama sekali tidak tahu mengenai syarikat tersebut dan proses pihaknya memasuki Gaza adalah melalui Kedutaan Malaysia.

“Sebelum ini dalam sebuah Live, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bersama Firdaus Wong mereka ada sebut satu-satunya jalan memasuki Gaza adalah melalui Mile of Smile.

“Sebelum saya datang saya sudah hubungi pihak Mile of Smile, semasa sampai di sana pihak tersebut minta kami untuk membayar ASD10,000 (RM42,239) seorang. Apabila saya dengar mahal, saya tak mahu bawa semua jadi saya uruskan beberapa nama untuk masuk, bagaimanapun proses untuk masuk itu gagal,” katanya.

Ebit berkata, pihaknya kemudian cuba memohon kelulusan untuk masuk ke Gaza dengan bantuan Kedutaan Malaysia.

“Kami dapat kelulusan kerajaan Mesir, tetapi kelulusan daripada tentera tidak berjaya. Jadi, kami semua sudah mahu balik ketika itu, sebelum balik saya singgah kedutaan untuk ucapkan terima kasih tetapi dimaklumkan ejen perisikan tentera Mesir mahu bantu kami.

“Kemudian mereka bawa saya pergi berjumpa dengan ejen Syarikat Lucky Tour yang boleh bantu kami ke Gaza dengan kos ASD2,500 (RM10,559.75) seorang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ebit menidakkan dakwaan dia tidak mahu bertegur atau bersalaman dengan wakil Malaysia di sana, Muhammad Nadir Al-Nuri yang menyambut ketibaannya ketika di Gaza serta tidak membenarkan kumpulan itu membuat siaran langsung.

“Sampai di sana, turun bas dan saya sedar saya belum solat masa itu jadi saya mahu segera Jamak. Sampai-sampai saya kena duduk di kerusi, saya mesti tegur kalau orang tegur saya, tetapi saya betul-betul tak perasan waktu itu kerana saya nak cepat solat.

“Pasal Live, memang kami tidak buat Live semasa misi bantuan kerana kita tidak jangka apa perkara yang berlaku semasa Live. Sebab itu apa-apa misi bantuan saya tidak pernah buat Live sebaliknya akan siarkan gambar atau video,” katanya.

Sumber : Kosmo!

Sistem penghadaman terjejas

by

 

Cirit-birit, sakit perut, darah dalam najis, lendir pada najis dan sakit ketika membuang air besar antara simptom radang usus yang menimbulkan pelbagai komplikasi yang serius.

Penyakit radang usus adalah keradangan sistem penghadaman terutama usus yang terbabit dalam penghadaman makanan, menyerap nutrien, air dan membuang hasil kumuhan (najis).

Namun, ramai keliru antara penyakit radang usus (IBD) dan Sindrom Kerengsaan Usus (IBS).

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Sultanah Aminah, Dr Muhammad Firdaus Md Salleh, berkata radang usus adalah penyakit kronik membabitkan keradangan pada usus secara berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan struktur usus pesakit.

"Walaupun gejala seperti cirit-birit adalah sama, namun punca penyakit radang usus dan sindrom kerengsaan usus berbeza.

"Radang usus juga adalah gangguan fungsi, iaitu sistem penghadaman kelihatan normal tetapi tidak sentiasa berfungsi dengan betul.

"Dalam kes ini ia berlaku kecamukan bahan kimia dalam usus yang dihasilkan oleh saraf usus, ketidakstabilan berlaku itu pada sirotonin dan gastrin terutama menyebabkan rasa tidak selesa seperti sakit perut, hendak cirit dan buang air. Tapi ia tidak ada kaitan dengan keradangan.

"Sindrom kerengsaan usus tidak menyebabkan komplikasi yang serius seperti fistula (pembentukan saluran pada dinding usus), atau usus jadi sempit. Selain rasa tidak selesa, senak, kembung perut dan cirit atau susah buang air.

"Situasi itu boleh berlaku sekejap hilang dan jadi semula kebanyakannya berkaitan dengan stres dan cara menangani stres. Dalam keadaan tertekan badan akan mengeluarkan bahan kimia dan menghantar isyarat ke otak dan otak akan hantar semula kepada bahagian tertentu.

"Kemudian ini dihantar ke bahagian usus yang menyebabkan ketidakseimbangan bahan kimia tertentu pada usus yang menyebabkan tidak selesa," katanya.

Gejala radang usus

Mengenai radang usus, Dr Muhammad Firdaus menjelaskan, ia membabitkan keradangan atau boleh ditafsirkan sebagai bengkak pada dinding usus.

Ia juga boleh merosakkan usus dan sistem pencernaan seperti pengumpulan nanah, terbentuknya fistula atau saluran yang tidak normal pada dinding usus dan boleh mengakibatkan usus menjadi sempit.

"Gejalanya termasuk cirit-birit, sakit perut, darah dalam najis, lendir pada najis, merasa sakit ketika membuang air besar. Pesakit mungkin hilang berat badan, demam, sakit sendi atau tumbesaran terbantut pada kanak kanak dan remaja.

"Tiada spesifikasi umur, pesakit radang usus kebanyakannya dideritai oleh orang dewasa, tapi boleh juga terjadi kepada kanak-kanak dan remaja," katanya.

Punca radang usus

Perubahan epidemiologi radang usus dipercayai disebabkan perubahan diet atau tabiat pemakanan.

Penambahbaikan dalam keupayaan dan kecanggihan perubatan juga menyebabkan lebih banyak penyakit ini dikenal pasti.

"Tiada ujian yang dapat mendiagnosa penyakit ini dengan tepat. Penyakit ini dikenal pasti berdasarkan kombinasi gejala dan tanda klinikal, ujian darah, ujian kamera teropong (endoskopi) dan analisa tisu melalui biopsy," katanya. 

Ujian imbasan seperti X-Ray, imbasan tomografi berkomputer (CT San), Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) juga boleh membantu doktor mengenal pasti tahap keterukan penyakit ini," katanya.

Jenis radang usus

Terdapat dua jenis radang usus, iaitu penyakit Crohn's dan ulcerative colitis. Kedua-duanya disebabkan proses keradangan dan hampir sama, namun mempunyai beberapa perbezaan, termasuk perbezaan rawatan.

Penyakit Crohn's dan ulcerative colitis ialah penyakit Crohn's boleh terjadi pada seluruh sistem pencernaan manakala ulcerative colitis pula hanya boleh terjadi di bahagian usus besar.

Rawatan bagi penyakit radang usus bergantung kepada jenisnya, kawasan pada sistem pencernaan penyakit itu terbabit dan tahap keterukan termasuk komplikasi.

"Bagi tahap keterukan minimum, pesakit boleh mengambil ubat anti radang seperti amino salicylate.

"Jika keadaan teruk, pesakit boleh mengambil ubat antiradang jenis steroid, biasanya diberikan secara suntikan, selain ubatan lain seperti biologics.

"Pembedahan biasanya langkah terakhir jika penyakit itu gagal dikawal dengan ubatan," katanya.

Bagi penyakit ulcerative colitis, pembedahan boleh menyembuhkan memandangkan bahagian usus terbabit dibuang.

Bagaimanapun, bagi penyakit crohn's, pembedahan biasanya dilakukan untuk meredakan komplikasi penyakit itu.

Risiko radang usus

Pesakit radang usus ini juga berisiko mendapat kanser kolorektal atau usus jika berlaku dalam jangka masa panjang.

"Keradangan berpanjangan yang lama akan menyebabkan perubahan dalam sel secara berperingkat.

"Peringkat awal ialah keradangan tanpa dysplasia (tiada perubahan pada sel), lama sikit akan menyebabkan berlaku perubahan sel iaitu dysplasia yang tidak berapa jelas.

"Kemudian akan membawa kepada perubahan sel yang lebih jelas, dan ini akan bertambah seiring dengan proses keradangan yang tidak terkawal dan akhirnya perubahan kepada sel itu kepada sel kanser.

Bagi mengurangkan risiko mendapat kanser kolorektal, pesakit boleh mengamalkan perancangan dengan betul, selain diet bagi mengawal gejala seperti cirit-birit dan senak.

Sesetengah makanan akan menyebabkan masalah kepada pesakit.

"Contohnya, minum susu menyebabkan sakit perut kerana ia mengandungi laktos," katanya.

Tangani radang usus

Radang usus memberi tekanan emosi kepada pesakit sekiranya tidak ditangani dengan betul, selain keperluan mengambil ubatan bagi mengelak kemurungan serta rasa tidak tenteram.

Mengikut kajian, kira-kira 69 peratus pesakit radang usus mengalami gangguan kerja disebabkan gejala sakit semasa bekerja dan lain-lain.

Kajian menunjukkan majoriti wanita yang mempunyai penyakit itu berada dalam jangka umur subur.

Ada antara mereka memilih tidak mahu mengandung kerana bimbang menjejaskan kandungan.

Justeru, pengesanan awal sangat penting untuk bagi menangani atau merawat penyakit itu.

Apabila penyakit menjadi aktif kembali, mereka perlu mendapat rawatan lebih intensif.

Dr Muhammad Firdaus, bagi mengurus tekanan emosi mereka perlu melakukan pelbagai aktiviti seperti senaman.

"Senaman ringan seperti yoga dan berlari antara boleh diamalkan. Namun, senaman berat seperti angkat besi atau berlari pantas tidak digalakkan untuk mengelak kemudaratan.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

22 Julai 2021

Baricitinib berkesan, banyak digunakan di luar negara

by

 

Formulasi ubat baharu iaitu baricitinib bagi mencegah risiko pesakit kategori satu dan dua COVID-19 daripada menghidap radang paru-paru sudah banyak digunakan di luar negara.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata ubat Baricinab bersama-sama dengan remdesivir terbukti berkesan untuk merawat pesakit COVID-19 di hospital, berdasarkan hasil kajian di luar negara.

"Di Jepun, kerajaannya sudah meluluskan penggunaan ubat artritis reumatoid 'baricitinib' dalam rawatan jenis baru COVID-19. Kerajaan Jepun setakat ini juga meluluskan ubat 'remdesivir' dan 'steroid dexamethasone' dalam rawatan COVID-19. Ubat ini juga diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk kegunaan kecemasan.

"Ini ubat yang digunakan untuk penyakit artritis reumatoid yang dihasilkan oleh Amerika Eli Lily. Di AS, ubat baricitinib sudah disetujui untuk digunakan sebagai tambahan kepada ubat anti-virus 'Remdesivir' dalam rawatan pesakit COVID-19 yang memerlukan suplemen oksigen," katanya ketika dihubungi.

Penggunaan formulasi ubat itu berupaya memanfaatkan pesakit bagi kategori tiga supaya tidak terjerumus menjadi kategori empat dan lima yang mungkin boleh membawa maut.

"Baricitinib adalah satu ubat oral yang berfungsi sebagai pencegah atau inhibitor untuk janus kinases satu dan dua (JAK1/2) dan mempunyai aktviti-aktiviti anti-keradangan, 'immunomodulation' dan antineopolastik" katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan formulasi ubat itu berikutan maklumat peningkatan atau peralihan pesakit kategori satu kepada keadaan kesihatan lebih meruncing, iaitu kategori tiga hingga lima adalah sangat dinamik.

Katanya, kadar pemberian kepada individu positif COVID-19 adalah dua hingga empat miligram (mg), dengan KKM sentiasa memantau dan mewajibkan pesakit membuat penilaian kesihatan kendiri menerusi aplikasi MySejahtera.-

Sumber : Berita Harian

 

Dua dos Pfizer, AstraZeneca berkesan terhadap varian Delta

by

 

Dua dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer atau AstraZeneca hampir sama berkesan terhadap varian Delta yang sangat mudah menjangkiti, menurut satu kajian diterbitkan semalam.

Vaksin berkenaan dilaporkan sangat berkesan terhadap varian Delta yang dominan di seluruh dunia walaupun kajian menegaskan bahawa satu suntikan vaksin tidak cukup untuk memberikan perlindungan maksimum.

Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine itu sekali gus mengesahkan penemuan utama oleh Kesihatan Awam England (PHE) pada Mei mengenai keberkesanan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Oxford-AstraZeneca, berdasarkan data nyata.

Kajian mendapati keberkesanan dua dos vaksin Pfizer mencecah 88 peratus bagi jangkitan bergejala daripada varian Delta, berbanding 93.7 peratus terhadap varian Alpha, sama seperti dilaporkan sebelumnya.

Dua dos vaksin AstraZeneca pula berkesan sebanyak 67 peratus terhadap varian Delta, meningkat berbanding laporan sebelum ini, manakala 74.5 peratus berkesan terhadap varian Alpha, juga meningkat berbanding jangkaan keberkesanan 66 peratus.

"Hanya perbezaan sederhana dalam keberkesanan vaksin yang dicatat dengan varian Delta dibandingkan dengan varian Alpha selepas penerimaan dua dos vaksin," menurut catatan penyelidik PHE dalam kajian itu.

PHE sebelum ini mengatakan dos pertama daripada salah satu vaksin adalah sekitar 33 peratus berkesan terhadap jangkitan bergejala varian Delta.

Kajian penuh diterbitkan semalam mendapati satu dos suntikan Pfizer adalah 36 peratus berkesan, manakala 30 peratus berkesan bagi satu dos vaksin AstraZeneca. 

Sumber : AGENSI

 

Cuaca lebih panas dan kering hingga September 2021

by

 

Malaysia kini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September, namun tiada gelombang haba berlaku setakat ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk status gelombang haba di seluruh negara dan menyebarkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk tindakan penguatkuasaan dan persiapan menghadapi bencana.

"Berdasarkan pemantauan MetMalaysia terhadap gelombang haba hingga hari ini, tiada kawasan di negara ini yang terdedah dengan sebarang gelombang haba," katanya menerusi e-emel bagi mengulas cuaca panas yang dialami negara pada masa ini.

MetMalaysia berkata, stesen meteorologinya tidak merekodkan suhu lebih 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, justeru pihaknya tidak menjangka suhu akan melebihi 40 darjah Celsius.

Katanya, suhu 40.1 darjah Celsius adalah yang tertinggi direkodkan di Malaysia ketika fenomena El Nino melanda negara pada 1998.

"Dari segi perubahan cuaca, kami menjangka berlaku hujan lebat, angin kencang dan kelembapan tinggi disebabkan Malaysia sedang beralih monsun khususnya di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, selain pantai barat Sabah dan wilayah tengah dan barat Sarawak," katanya.

Sementara itu, Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, gelombang haba di Malaysia dikaitkan dengan kebolehubahan cuaca iaitu Madden-Julian Oscillation (MJO) dan El Nino.

"Madden-Julian Oscillation adalah fenomena biasa yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20 ke 60 hari.

"Ketika Monsun Barat Daya, ia boleh meningkatkan suhu satu ke dua darjah hingga sekitar bawah 40 darjah Celsius bergantung kepada kawasan. Malah, kita sudah mengalaminya sekarang," katanya.

Beliau berkata, ini kejadian biasa disebabkan pengaruh pusat perolakan MJO yang dipertingkat, membawa ketidakstabilan kelembapan dan cuaca ke Malaysia, selepas itu, pusat perolakan dipertingkat disusuli pusat perolakan dikurangkan yang menyebabkan cuaca panas dan kering di Malaysia.

Katanya, ini bukan gelombang haba yang luar biasa kerana Madden-Julian Oscillation adalah fenomena berulang yang menyederhanakan suhu basah-kering di negara ini.

Seorang lagi pakar perubahan iklim, Dr Renard Siew berkata, gelombang haba ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia berlaku setiap tahun dengan variasi.

"Kesan pulau haba bandar (kawasan bandar mengalami suhu lebih tinggi dari luar bandar), juga satu lagi penyebab peningkatan suhu," katanya.

Beliau berkata, dari sudut pandang perubahan iklim, ia tidak banyak memberi kesan daripada perspektif pemanasan global, namun ia juga menyebabkan kawasan yang biasanya mendapat jumlah air yang banyak tidak lagi mendapat taburan hujan seperti itu.

Katanya, disebabkan ia kejadian biasa, gelombang haba ini perlu dipantau turun naik suhunya. 

Sumber : BERNAMA

 

PROTON perkenal X70 Edisi Khas

by

 


Proton Holdings Bhd (PROTON) hari ini melancarkan varian baharu model X70, Proton X70 Special Edition (X70 SE) untuk mengukuhkan lagi daya tarikan kenderaan utiliti sukan (SUV) terlarisnya di Malaysia.

PROTON dalam satu kenyataan berkata, Proton X70 Edisi Khas itu terhad kepada 2,000 unit, mempunyai spesifikasi yang sama dengan varian Premium 2WD dan ia juga menggunakan enjin 1.8L TGDi dan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan.

"Ia ditawarkan dengan warna baharu iaitu 'ocean blue' dan 'ruby red' dan juga mempunyai atap, spoiler belakang dan cermin pintu yang diwarnakan hitam serta reka bentuk baharu 'sport rim' 19 inci.

"Lambang SE eksklusif juga dipasang pada bahagian belakang sebagai sentuhan terakhir," katanya.

Menurut PROTON, Proton X70 Edisi Khas juga dilengkapi dengan Sistem Penulenan Udara Pintar PROTON (P-IAPS) dan dilengkapi dengan senarai ciri keselamatan termasuk enam beg udara SRS dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), di samping Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Kamera 360.

"Proton X70 Edisi Khas ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans RM123,800 sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan.

"Ia akan dijual dengan insentif cukai jualan PEMERKASA+ bernilai RM7,000. Ia kini boleh ditempah secara dalam talian daripada harga serendah RM99," kata PROTON.

Sumber : Bernama

 

Cara mudah kuasai bahasa Inggeris

by

Oleh Dr Puteri Zarina Megat Khalid dan Dr Mohd Haniff Mohd Tahir

Bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga paling popular dengan sejumlah 1.35 bilion penutur di seluruh dunia. Menariknya, kebanyakan mereka ini bukan dalam kalangan penutur asli bahasa itu. Di Malaysia khasnya, bahasa Inggeris juga diberikan status sebagai bahasa rasmi kedua dengan hampir kesemua penduduk menggunakannya di dalam urusan seharian secara langsung mahupun tidak langsung. Hal ini kerana hampir keseluruhan aspek kehidupan masa kini memerlukan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

Dari sekecil-kecil urusan seperti jual-beli di pasar raya mewah sehingga urusan akademik dan profesional yang membabitkan warga antarabangsa, kepentingan bertutur dalam bahasa itu tidak dapat disangkal lagi. Namun, meskipun capaian kepada pembelajaran bahasa Inggeris sudah meluas dan ia dapat dipelajari dengan mudah, masih terdapat segelintir daripada kita yang berasa ragu-ragu akan keupayaan untuk mempelajari bahasa ini. Sebenarnya, kefasihan di dalam bahasa Inggeris ini tidak mustahil untuk dicapai asalkan kita mendapat pendedahan serta latihan secukupnya.

Bagaimana menguasai bahasa Inggeris?

1. Bacalah

Antara langkah mudah yang boleh dilakukan adalah dengan membaca. Mungkin ini kedengaran klise, namun pupuklah minat membaca terutamanya dalam bahasa sasaran yang ingin kita dipelajari. Sastera klasik, surat khabar, laman web, e-mel, suapan media sosial anda atau kotak bijirin, jika ia ditulis dalam bahasa Inggeris, bacalah. Kenapa? Hal ini kerana umumnya semua itu dipenuhi kosa kata baharu yang menarik dan mungkin tidak pernah kita temui. Ia juga dapat meluaskan bilangan kosa kata yang sudah diketahui. Selain itu kita juga akan memperoleh pendedahan secara semula jadi mengenai bagaimana kosa kata ini digunakan di dalam konteks yang betul, sebelum ia boleh kita gunakan dalam perbualan sehari-hari. Ia juga dapat membantu kita untuk lebih mengingati kosa kata ini untuk jangka masa yang

panjang.

2. Perhati dan pantau kosa kata baharu

Seterusnya, kita juga boleh memerhatikan atau memantau kosa kata baharu ini secara aktif. Ketika mempelajari sesuatu bahasa, kita sentiasa menikmati keindahan bahasa itu terutamanya dengan penemuan kosa kata yang baharu sehingga ia mustahil untuk dilupakan. Bagaimanapun, tidak semua kosa kata ini mampu untuk diingati sekali gus. Justeru, kita perlulah membiasakan diri untuk membawa buku nota atau peranti ke manamana sahaja. Setiap kali kita terdengar atau terbaca satu perkataan atau ungkapan yang baharu, tuliskan catatan mengenai maksud ungkapan itu di dalam buku nota. Kaedah ini juga dapat menjimatkan masa kerana kita tidak perlu lagi tercari-cari makna sesuatu ungkapan itu jika menemuinya lagi pada masa depan.

3. Layari rancangan audio siar maya

Selain membaca, kita juga boleh mendengar audio siar atau 'podcast' dan saluran Youtube yang berbahasa Inggeris. Lawak jenaka, politik, tips memasak, gaya hidup, dan keagamaan adalah antara topik sohor kini yang ditawarkan menerusi medium ini. Langganlah seberapa banyak saluran yang kita mahu dan dengarkanlah pada setiap kesempatan yang ada. Mungkin pada awalnya kita merasakan loghat penutur asli bahasa Inggeris ini sukar untuk diikuti. Namun seiring waktu dan istiqamah yang tinggi, kita akan mula memahami apa yang kita didengari, seterusnya mempelajari banyak ungkapan baharu daripada medium ini.

4. Cari kawan baharu dalam kalangan penutur asal

Seterusnya, kita juga boleh berkomunikasi dengan penutur asli di dalam bahasa Inggeris. Apalah gunanya mempelajari sesuatu bahasa seandainya tidak digunakan untuk berkomunikasi sesama kita? Memang kita boleh menyatakan hasrat dan keinginan tanpa perlu bersuara sedikitpun, terima kasih kepada aplikasi mesej sosial seperti Whatsapp dan Telegram, tetapi di dalam keadaan yang mendesak, kebolehan bertutur dalam sebarang bahasa dapat membantu kita untuk lebih mengingati ungkapan yang dituturkan. Malah salah satu cara mengatasi halangan berkomunikasi dalam bahasa ini adalah dengan berkomunikasi.

5. Ikuti perkembangan selebriti penutur asal

Jika meminati kehidupan selebriti terutamanya selebriti antarabangsa, kita juga boleh

menjadikan mereka sebagai idola atau panduan dalam mempelajari bahasa Inggeris. Layarilah pautan yang mengandungi maklumat berkenaan mereka di dalam bahasa Inggeris. Tontonlah sesi temubual mereka dan pelajarilah lenggok pertuturan. Catatkan ungkapan menarik yang digunakan. Slanga, anekdot, dan humor yang sering kali menjadi perencah utama di dalam sesi seperti ini pasti dapat mendedahkan kita dengan bahasa Inggeris yang dituturkan oleh penutur asli. Lebih menarik lagi, ungkapan atau kosa kata ini boleh pula kita aplikasikan.

6. Tanamkan keyakinan diri

Akhir sekali, raikanlah keupayaan diri untuk menguasai bahasa Inggeris ini walau sekecil apa pun kejayaan itu. Kita semua mampu untuk berbahasa Inggeris, dan tidak perlulah untuk membandingkan tahap penguasaan kita dengan orang lain. Hal ini hanya akan mengaburi keupayaan dan pencapaian sebenar kita.

Tanamkanlah di dalam diri kita setiap hari bahawa "saya boleh berjaya dan mampu menguasai bahasa Inggeris." Keazaman dan keyakinan harus dibina untuk terus menggunakan bahasa ini. Tidak perlulah untuk kita terlalu terkesan dengan stigma mereka yang beranggapan bahawa kebolehan seseorang itu berkomunikasi adalah dinilai daripada kesempurnaan berbahasa semata-mata. Kesempurnaan adalah relatif, dan semestinya lebih afdal untuk kita saling menyempurnakan di antara satu sama lain. Apa yang lebih penting lagi, tetaplah berusaha dan mencuba dengan lebih baik lagi, kerana tidak ada hasil yang akan mengkhianati usaha kita.

SUmber : Berita Harian

 

21 Julai 2021

Brisbane tuan rumah Olimpik 2032

by

 

Brisbane dipilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032 sekali gus bandar ketiga di Australia menjadi penganjur temasya sukan terbesar dunia itu selepas Melbourne dan Sydney.

"Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan ini mengumumkan penganjuran temasya Olimpik ke-35 diberikan kepada Brisbane, Australia," kata Preisden IOC Thomas Bach selepas sesi undian di Tokyo.

Pengumuman itu disambut meriah delegasi Brisbane yang hadir dan diraikan dengan pertunjukan bunga api oleh orang ramai yang menunggu keputusan undian di bandar terbabit.

Kejayaan Brisbane sudah dijangka selepas muncul calon tunggal untuk tuan rumah 2032 dan turut mendapat sokongan padu 15 ahli lembaga eksekutif IOC pada Jun lalu.

Keputusan itu bermakna IOC sudah mengesahkan tuan rumah tiga Sukan Olimpik selepas ini iaitu Paris pada 2024 dan Los Angeles menjadi penganjur temasya 2028.

Australia menjadi tuan rumah Olimpik dua kali iaitu Melbourne pada 1956 dan Sydney 2000.

Sumber : Berita Harian

 

Misi Gaza guna duit sendiri, bukan derma - Ebit Lew

by


 Pendakwah Ebit Lew menjelaskan bahawa segala kos perbelanjaan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin, adalah menggunakan wangnya sendiri bukannya daripada kutipan mana-mana tabung derma.

Beliau menyatakan perkara itu bagi menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia membazirkan kos tertentu hasil sumbangan terhadap misi berkenaan untuk masuk ke Gaza.

"Saya pergi dengan duit saya sendiri dan tak pernah buka satu tabung pun untuk misi berkenaan.

"Bagaimanapun, apabila ada pihak yang menyatakan sebaliknya maka saya anggap ini sebagai ujian dari Allah SWT," katanya.

Beliau yakin perkara untuk memburuk-burukkan niat baik pasukan bantuannya itu tidak akan berkesudahan sampai bila-bila.

"Niat kami bersama sahabat-sahabat saya adalah membantu rakyat di Gaza, Palestin dan tak pernah ada satu tabung pun diwujudkan.

"Segala kos dan perbelanjaan adalah menggunakan duit saya sendiri," katanya. 

Terdahulu beliau membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya berhubung misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini.

"Sebelum ini saya berdiam diri dengan tohmahan dan fitnah terhadap diri saya dari dulu lagi, namun berkaitan isu terbaru ini apabila anak dan isteri saya sendiri menangis dan kecewa mengenai segala tuduhan yang dilemparkan, maka saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis.

"Laporan ini adalah sebagai menyangkal segala dakwaan yang tidak benar berkaitan misi di Semenanjung Gaza, Palestin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Dang Wangi.

Terdahulu rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri tampil membuat penjelasan berhubung isu misi kemanusiaan oleh Ebit.

Nadir yang juga Ketua Pegawai Ekslusif, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia mendakwa pasukan misi Ebit Lew membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gaza.

Ebit berkata beliau sedih dengan laporan tidak berasas yang disebarkan di media sosial sehingga menjatuhkan semangat ahli keluarga dan pasukan misi bantuannya sendiri.

"Apa yang saya boleh katakan laporan ini sememangnya bagi menyangkal dakwaan yang sebelum ini dikeluarkan oleh Nadir Al-Nuri dan selebriti Caprice.

 

Sumber : Berita Harian

 

20 Julai 2021

Contoh Soalan Peperiksaan Online Pembangunan Masyarakat S19

by

Pakej rujukan ini khusus untuk peperiksaan PEMBANGUNAN MASYARAKAT S19 sesi peperiksaan 27 JULAI 2021. https://go.infotambahan.com/s19ppm/28

Ianya bukan soalan bocor atau soalan ramalan. Ianya lebih daripada itu. Soalan bocor ke ramalan tu bukan tahap orang yang nak bekerja di sektor awam. Lebih-lebih lagi untuk jawatan PEMBANGUNAN MASYARAKAT ini. Tinggalkan mereka yang masih ada mentaliti ini. Kita nak masuk zaman pekerjaan. Kalau minda tu masih ada di kepala anda, ertinya anda masih belum cukup layak untuk masuk ke zaman kerjaya kerajaan tahun ini.

Apa yang anda perlukan adalah nota dan contoh yang betul untuk melakukan persediaan. Kita nak bersaing dengan ribuan calon yang lain. Biar mereka semua tu cari soalan ramalan/bocor (ada ke?) Tapi anda fokus kepada persediaan untuk jawat jawatan PEMBANGUNAN MASYARAKAT ini.

Tim Infokerjaya susun nota dan rujukan yang akan bantu anda tahun ini. Rujukan ini telah berjaya bantu calon-calon sejak tahun 2009 hingga sesi exam latest awal JULAI 2021 lalu. 

Dapatkan sekarang sebelum terlambat. https://go.infotambahan.com/s19ppm/28

 

 

 

19 Julai 2021

Durian goreng jadi rebutan ramai

by

 

Dua beradik yang berniaga gerai makan di Arked Mara di sini mendapat idea kreatif apabila menjual durian goreng RM1 seulas memandangkan sekarang musim buah berkenaan.

Usaha Nor Faizatul Shawani Abu Bakar, 31, dan adiknya Nor Farhana Fatihah, 24, berbaloi apabila mendapat sambutan penggemarnya hingga tidak menang tangan.

Menurut Nor Farhana, mereka mulanya menjual goreng pisang pada 1 Julai lalu selepas melihat perniagaan masakan panas mereka berhasil.

“Hari pertama kami jual goreng pisang kemudian esok­nya kami terus jual durian goreng dan tak sangka mendapat sambutan hingga menjadi tular.

“Mulanya 100 ulas durian goreng sehari, kini lebih 300 ulas terjual selepas menjadi tular,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, dia dan kakak­nya tidak sangka cubaan mereka membuahkan hasil dan benar-benar membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas terkesan.

Anak kelahiran Kampung Durian Mas Manir, Kuala Terengganu ini berkata, pada mulanya dia dan kakaknya khuatir durian goreng yang dijual mereka tidak mendapat sambutan ekoran harganya RM1 seulas.

Katanya lagi, mereka menggunakan durian kampung serta resepi bancuhan tepung daripada ibunya untuk menghasilkan durian goreng yang dijual kepada pelanggan.

Gerai mereka dibuka bermula pukul 2 petang dan ditutup pada pukul 5 petang. di Arked Mara, Sungai Siput.

 

 

Azizulhasni terima gelaran Dato'

by

 

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu hari ini yang membawa gelaran Dato'.

Menerusi kenyatan ringkas pada akaun Facebook miliknya, Menteri Belia dan Sukan itu turut berharap anugerah berkenaan dapat menjadi motivasi tambahan buat Azizulhasni di Sukan Olimpik Tokyo.

"Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Dato' Mohd Azizulhasni Awang, pelumba trek berbasikal negara di atas penganugerahan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (DPMT) yang membawa gelaran Dato'.

"Semoga penganugerahan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi di Olimpik #Tokyo2020 ini," katanya.

Terdahulu, pelumba kelahiran Dungun berusia 33 tahun itu mengakui anugerah itu di luar jangkaannya selain tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan gelaran itu.

Namun Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman dan bakal berangkat ke Tokyo pada 25 Julai ini menyifatkan anugerah itu satu pengiktirafan tertinggi buatnya selepas lebih 15 tahun terbabit dalam sukan berbasikal.

"Pertamanya, rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kerajaan negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), serta semua orang kuat yang berada di depan dan belakang tabir termasuk pihak media yang menyokong sejak awal pembabitan saya dalam sukan berbasikal ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

Indonesia catat rekod kematian doktor akibat COVID-19

by

 

Jumlah doktor di Indonesia yang maut akibat COVID-19 meningkat secara mendadak pada separuh pertama Julai, menurut persatuan doktor Indonesia (IDI).

Sebahagian besar kematian berpunca daripada varian Delta yang menyebabkan lonjakan jangkitan di serata negara itu.

Seramai 114 doktor meninggal dunia antara 1 Julai hingga 17 Julai, jumlah tertinggi dilaporkan bagi sebarang tempoh masa yang sama sebelum ini.

Jumlah itu adalah lebih 20 peratus daripada 545 kematian doktor akibat COVID-19 sejak permulaan pandemik, menurut pegawai IDI dalam satu sidang berita secara maya.

Menurut seorang pegawai kanan IDI, Mahesa Paranadipa, persatuan itu bimbang sistem perubatan mungkin tidak dapat menangani ancaman pandemik itu.

"Kami bimbang mungkin berlakunya kelumpuhan sistem sedangkan ini hanya data yang dilaporkan, belum termasuk data yang mungkin tidak dilaporkan kepada kami," katanya.

Jumlah kematian doktor terus meningkat di negara dengan jumlah penduduk keempat tertinggi di dunia itu meskipun 95 peratus pekerja kesihatan sudah divaksinasi.

Ini mendorong pemerintah menggunakan sejumlah vaksin Moderna sebagai suntikan rangsangan dos ketiga bagi vaksin Sinovac dari China untuk kakitangan kesihatan.

Didorong oleh penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit, Indonesia melaporkan lebih banyak kes coronavirus baru berbanding negara lain di dunia sejak beberapa hari lalu.

Menurut purata tujuh hari lalu, Indonesia berada di tempat kedua hanya di belakang Brazil dari segi jumlah korban.

Pakar kesihatan menyifatkan Indonesia sebagai pusat baru pandemik, selepas negara itu melaporkan 44,721 kes baru dengan 1,093 kematian semalam.

Sumber : AGENSI

 

 

Waspada penipuan iklan jawatan kosong Pos Malaysia

by

 

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama Pos Malaysia.

Pos Malaysia dalam kenyataan hari ini, berkata penipuan menjadi semakin tersebar dengan tujuan memperdaya orang ramai dan mendapatkan maklumat seperti butiran kad kredit, kata laluan, maklumat akaun atau data peribadi lain.

"Kami menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat berkenaan dengan tidak membalas apa-apa permintaan melalui telefon atau khidmat pesanan teks (SMS/WhatsApp), e-mel atau kaedah lain. Paling penting, jangan klik pautan yang dihantar bersama mesej penipuan itu.

"Tidak berkongsi atau memasukkan maklumat sensitif di laman web/portal yang tidak dimiliki Pos Malaysia," kata kenyataan itu. 

Pos Malaysia berkata, wujud penipuan melalui e-mel dengan menggunakan nama dan logo Pos Malaysia tanpa kebenaran dan dihantar untuk menuntut pembayaran duti atau cukai Kastam untuk pelepasan bungkusan.

Katanya, e-mel seperti itu harus diabaikan atau dipadam dengan segera.

Selain itu, ia juga meminta orang ramai berwaspada dengan iklan jawatan kosong palsu yang menawarkan kerjaya di Pos Malaysia serta disaran mengesahkan maklumat dengan sumber yang sah.

Menurutnya kekosongan jawatan hanya diiklankan di laman web pekerjaan yang bereputasi dan sah seperti JobStreet atau di platform media sosial rasmi Pos Malaysia.

"Pos Malaysia sentiasa melindungi pelanggan dan komited dalam memastikan semua maklumat peribadi dan transaksi kekal dan terjamin," kata kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan dalam talian, jenis penipuan dan saluran pelaporan dengan melayari https://www.pos.com.my/news-info/online-security-fraud-and-scams.html

Sumber : BERNAMA

 

18 Julai 2021

Tak terima surat MITI rentas negeri sepanjang Aidiladha

by

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang sebarang pergerakan merentas negeri menggunakan surat kebenaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula hari ini hingga Rabu ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu dibuat bagi mengelak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna surat kebenaran MITI untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha Selasa ini.

"Ini berikutan PDRM mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini. Justeru, semua sekatan jalan raya di sempadan negeri diarah meningkatkan penguatkuasaan.

"Semua sekatan jalan raya di sempadan negeri diarahkan supaya tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh bermula hari ini hingga 21 Julai ini (Rabu) bagi pergerakan merentas negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Acryl berkata, larangan itu tidak terpakai untuk urusan kecemasan dengan kebenaran polis serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

"Mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi.

"Masyarakat dinasihat untuk terus bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak COVID-19," katanya.

Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha.

Sumber : Berita Harian

 

Buka Akaun Ambank secara Online melalui AmOnline

by

 

AmBank telah melancarkan ciri yang dinaik taraf bagi aplikasi perbankan secara online, AmOnline, bagi membolehkan pelanggan membuka akaun bank dengan pantas daripada peranti mudah alih, CTOS eKYC (Elect­ro­nic Know-Your-​Customer).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AmBank, Datuk Iswaraan Suppiah berkata, melalui ­penyelesaian tersebut, pelanggan boleh membuka dan mengendalikan akaun bank, mendaftar untuk perbankan secara online dan mengakses pelbagai per­khidmatan perbankan daripada aplikasi itu.

“Aplikasi mudah alih AmOnline membolehkan pelanggan menguruskan pembayaran, menyimpan, melabur, me­minjam, menginsurans dan mengakses pelbagai per­khidmatan kewangan seperti memohon kad kredit baharu dan ­menyekat penggunaan kad yang hilang dengan begitu mudah.

“Pandemik yang berlaku masa ini menyerlahkan betapa setiap keperluan perbankan boleh dilaksanakan secara online dan tanpa sentuhan.

“Kini, pelanggan baharu boleh mengorak langkah memulakan urusan perbankan mereka dengan AmBank, hanya­ dengan memuat turun aplikasi berkenaan tanpa perlu datang ke cawangan bank,” katanya dalam kenyataan yang dikeluar­kan baru-baru ini.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn. Bhd., Eric Chin menerangkan, CTOS eKYC menawarkan penyelesaian yang boleh disesuaikan menurut keperluan, boleh diakses oleh pelbagai perniagaan, menggunakan platform mudah alih atau platform berasaskan web.

Aplikasi AmOnline menawarkan panduan in-app langkah demi langkah untuk melakukan eKYC kendiri de­ngan mengimbas MyKad dan mengambil swafoto (selfie) untuk pengecaman wajah dengan teknologi CTOS.

CTOS eKYC telah menarik minat daripada sektor kewa­ngan tradisional kerana beberapa bank dan juga perniagaan yang bukan bercorak perbankan telah menyempurnakan integrasi penyelesaian sejak pelancarannya tahun lalu.

“Penerimagunaan CTOS eKYC dalam persekitaran perbankan secara berterusan untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang mulus akan memperkukuh lagi pe­ranan utamanya dalam bidang teknologi kewangan,” ujarnya.

Sehingga kini, terdapat le­bih 20 syarikat menggunakan CTOS eKYC.

Sumber : Kosmo!

 

17 Julai 2021

Masih terlalu awal tentukan keperluan beri dos penggalak - Pakar

by

 

Penularan pantas varian Delta di serata dunia menyaksikan prospek untuk pemberian suntikan ketiga vaksin COVID-19 atau dos 'penggalak', semakin menarik minat negara yang sebahagian besar rakyatnya telah memperoleh perlindungan imunisasi.

Namun, pakar menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk menentukan dengan pasti sama ada mana-mana negara perlu memberi dos ketiga menjelang penghujung tahun ini.

Segelintir mencadangkan keutamaan ketika ini harus terarah kepada pembekalan vaksin untuk ratusan juta penduduk di selatan dunia yang masih belum mendapat suntikan pertama hingga kini.

Awal bulan ini, pengeluar vaksin Pfizer/BioNTech dilaporkan berkata, pihaknya akan meminta kebenaran pihak berkuasa Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk menyediakan dos ketiga.

Mereka menjelaskan, matlamatnya ialah bagi memastikan pembentukan sistem ketahanan badan individu yang lebih kuat berbanding dua suntikan vaksin.

Menurut pihak berkenaan, dua dos vaksin keluaran mereka berupaya melindungi daripada gejala COVID-19 yang teruk, untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Bagaimanapun, kemunculan varian berkemungkinan akan menjejaskan keberkesanannya dari semasa ke semasa.

Ketua Penasihat Perubatan Rumah Putih, Anthony Fauci dalam wawancara di CNBC pada Selasa lalu, berkata permohonan dos ketiga oleh Pfizer/BioNTech adalah 'persediaan wajar ke arah keperluan mengambil suntikan penggalak pada akhirnya.'

"Namun apabila ia diterjemahkan kepada: 'Kita akan memerlukan dos penggalak, semua orang bakal menerima dos penggalak', itu adalah tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata, terlalu ramai orang masih belum menerima imunisasi lengkap dua suntikan vaksin, apatah lagi tiga dos.

Setakat ini, belum ada petunjuk bahawa agensi perubatan akan mengesyorkan pengambilan dos ketiga oleh individu yang sudah menerima imunisasi lengkap dua suntikan vaksin.

Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) dan Pusat Kawalan Penyakit Eropah pula memaklumkan, masih awal untuk menentukan keperluan pengambilan dos ketiga.

"Belum ada data mencukupi daripada kempen vaksinasi dan kajian berterusan, untuk memahami berapa lama perlindungan vaksin akan bertahan dengan turut mengambil kira penularan pelbagai varian," kata kedua-dua pihak itu dalam satu kenyataan bersama.

Pengarah Jawatankuasa Kecemasan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Didier Houssin, tidak percaya wujudnya bukti mencukupi untuk menjustifikasi cadangan pengambilan dos ketiga, buat masa ini.

Beliau sekali gus memberi amaran bahawa perbincangan mengenai dos ketiga, boleh 'meningkatkan kebimbangan mengenai akses terhadap vaksin' ketika kebanyakan negara hanya mencatat peratusan kecil penduduk menerima vaksinasi lengkap. 

Sumber : AFP

 

Isu hubungan Caprice dengan Ustaz Ebit Lew

by

 

Penyanyi dan aktivitis, Caprice, 32, mendedahkan konflik yang berlaku antaranya dengan Ustaz Ebit Lew (UEL) bukan disebabkan dia mengalami kemurungan.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, gangguan fikiran itu berlaku susulan terbit kekecewaan kerana usaha jihadnya diganggu pihak luar.

"Ramai cakap saya mengalami kemurungan sehingga terpaksa mengambil ubat tidur sejak tiga bulan lalu. Ini bukan isu kemurungan tetapi berkaitan dengan usaha jihad yang sedang dilakukan.

"Sesiapa yang kenal saya sebelum ini pasti tahu saya akan 'naik gila' apabila ada yang mula mempertikai dan mencabar jihad saya. Semuanya pasti menjadi luar kawalan," katanya.

Caprice yang kini berada di Kaherah, Mesir menegaskan dia terpaksa meluahkan kekecewaan itu akibat hubungan baiknya dengan UEL kini renggang disebabkan campur tangan pihak luar.

Dia juga berharap hubungannya dengan UEL akan kembali pulih kerana dia sangat menyanjungi serta menjadikan aktivis itu sebagai idolanya.

"Saya tidak sangka seorang sahabat yang senyap dan tidak boleh beri kerjasama dengan perkara yang berlaku di Gaza. Saya harap hubungan kami akan kembali pulih tanpa campur tangan pihak lain. Semua ini perlu dilakukan demi Allah SWT dan ummah," katanya.

Dia turut mendedahkan di Instagram Stories bahawa dia mempunyai perancangan bersama UEL untuk melepasi sempadan Gaza, Palestin bersama-sama.

Namun, ia tidak dapat direalisasikan kerana campur tangan pihak lain.

"Ketika tiba di Kaherah, kami mempunyai perancangan untuk masuk ke Gaza bersama-sama tetapi tidak berlaku kerana ada 'pihak lain' yang masuk campur. Saya minta maaf kerana bertindak luar kawalan dan jadi begini kerana terpaksa hadam masalah sekarang seorang diri di sini.

"Kemungkinan besar saya memang tak akan dibenarkan masuk ke Gaza kerana ada 'tangan' dari luar yang tak mahu lihat saya ke sana," katanya.

Disebabkan pendedahan itu, ramai meluahkan rasa bimbang dengan keadaan kesihatan mental Caprice yang dilihat tidak terkawal.

Sejak beberapa hari lalu, namanya jadi bualan hangat netizen selepas dia mendedahkan situasi yang berlaku di Gaza.

Malah, dia turut mendedahkan UEL menyekatnya dalam Instagram serta memberi bayangan bahawa UEL antara punca dia masih tidak dibenarkan memasuki Gaza sehingga hari ini.

Terdahulu, Caprice berkongsi dia pergi seorang diri ke Mesir untuk melaksanakan misi kemanusiaan di Gaza yang sudah lama diimpikannya.

Sumber : Harian Metro

 

Lelaki hamil dan berjabat tangan antara emoji baharu 2022

by

 

Lelaki hamil, individu tanpa jantina memakai mahkota dan individu pelbagai bangsa sedang berjabat tangan merupakan antara emoji baharu yang bakal diluluskan  September ini  dan muncul pada skrin telefon pintar bermula 2022, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Emojipedia yang merupakan sebahagian daripada Unicode iaitu ‘bank pusat’ yang meluluskan semua emoji, mendedahkan draf calon-calon emoji bagi Emoji 14.0.

Menurut Emojipedia, imej lelaki hamil menunjukkan bahawa ‘kehamilan adalah tidak mustahil dalam kalangan individu transgender’.

Sementara itu, imej individu tanpa jantina yang memakai mahkota dan emoji berjabat tangan dihasilkan dalam pelbagai tona kulit yang melambangkan pelbagai bangsa.

Versi 14.0 juga bakal menampilkan emoji tayar motosikal, bola disko, papan gelongsor, batu karang, kacang merah dan bateri lemah.

Syarikat-syarikat termasuk Apple, Google dan Microsoft menerapkan versi reka bentuk konsortium yang bergaya pada sistem operasi mereka sendiri.

Tarikh sebenar pelancaran siri emoji baharu itu belum ditentukan namun ia dijangka boleh dilihat di semua platform bermula Jun 2022. 

 Sumber : Agensi

 

Xiaomi atasi Apple

by

 

Syarikat telekomunikasi China, Xiaomi mengatasi Apple sebagai pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia pada suku kedua 2021.

Menurut perangkaan Canalys, Xiaomi ketika ini menguasai sebanyak 17 peratus pasaran telefon pintar dengan merekodkan peningkatan pertumbuhan tahunan sebanyak 83 peratus.

Canalys turut menyatakan langkah Xiaomi mengubah model perniagaannya serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan seperti penyatuan rakan pengedaran dan pengurusan yang lebih teliti di pasaran terbuka menjadi faktor utama peningkatannya itu.

Xiaomi juga dijangka menggantikan Samsung sebagai pengeluar telefon pintar terbesar di dunia.

Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun berkata, menduduki tempat kedua adalah kejayaan penting dalam sejarah penubuhan Xiaomi.

Beliau berkata, selepas lima tahun berusaha melonjakkan perniagaan dalam keadaan yang sukar, keupayaan produk Xiaomi ditingkatkan dengan ketara.

Katanya, syarikat membuka jalan untuk segmen pasaran premium dan meningkatkan bahagian pasarannya.

Sumber : Harian Metro

 

Premium insurans perubatan naik 10 hingga 15 peratus

by

 

Premium insurans perubatan di negara ini meningkat antara 10 hingga 15 peratus, manakala bagi insurans hayat pula tertakluk pada polisi baharu yang diambil pengguna.

Pengarah Eksekutif Agensi Insurans, Stable Vision Corporation Sdn Bhd, Richard Low, berkata bagi premium perubatan, kenaikan disebabkan produk yang semakin inovatif, termasuk berkaitan COVID-19, kos inflasi dan kos perubatan yang melambung tinggi, selain peningkatan risiko pencarum.

Beliau berkata, bagi premium insurans hayat pula, kadar premium lebih tinggi untuk polisi baharu dengan peningkatan terbabit mengambil kira manfaat dan perlindungan tambahan ditawarkan kepada pelanggan.

"Timbul salah faham masyarakat khususnya pelanggan mengenai kenaikan kadar premium insurans hayat dan perubatan. Untuk premium insurans perubatan, pelanggan dimaklumkan sejak daripada awal lagi mengenai perkara ini.

"Ingin ditegaskan di sini, berlaku kenaikan bagi kedua-dua insurans, termasuk membabitkan produk takaful tetapi pelanggan ada pilihan, bukannya paksaan atau pelanggan dipaksa setuju dengan perubahan polisi sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan rakyat yang mendakwa berlaku kenaikan dalam premium insurans di tengah-tengah keadaan ramai bergelut menampung kehidupan pada era pandemik.

Mengulas lanjut, Low berkata, bagi insurans hayat, polisi sedia ada menggunakan kaedah harga tetap.

Bagaimanapun, katanya, syarikat insurans menawarkan penambahbaikan polisi atau polisi baharu kepada pelanggan pada kadar premium lebih tinggi, tetapi tiada paksaan mengambilnya.

"Begitu juga dengan insurans perubatan, pelanggan tetap ada pilihan untuk tidak mengambil polisi dengan penambahan manfaat jika mereka tidak mampu dari aspek kewangan. Ia bukan mandatori. Syarikat insurans tetap menawarkan polisi ikut kemampuan pelanggan," katanya.

Low berkata, antara contoh kenaikan caruman premium insurans hayat adalah manfaat dua kali ganda akibat kematian disebabkan kemalangan; manfaat tiga kali ganda akibat kemalangan pengangkutan awam dan manfaat enam kali ganda akibat kematian disebabkan bencana alam.

Selain itu, contoh lain, katanya, manfaat tambahan yang akan meningkatkan premium insurans hayat juga membabitkan pertambahan senarai penyakit kritikal, peringkat awal penyakit kritikal, manfaat kepada pasangan serta penambahan kepada manfaat Infaq.

"Bagi insurans perubatan pula, syarikat insurans berhak menaikkan kadar premium dengan kenaikan disebabkan inovasi teknologi perubatan; rawatan dan ubat-ubatan lebih baik; kenaikan inflasi perubatan sebanyak dua angka setahun; pertukaran asing; perbezaan manfaat pelan perubatan seperti bayaran penuh, insurans bersama bagi jumlah atau peratusan tertentu yang ditanggung pemegang polisi.

"Kenaikan memang ada, tetapi ia bukan mandatori kepada pelanggan. Mereka tetap ada pilihan mengikut kemampuan komitmen kewangan.

"Selain itu, pelan takaful atau insurans ketika ini penuh dengan fleksibiliti untuk memenuhi keperluan pelanggan masing-masing. Insurans hayat atau pelan takaful juga menawarkan pelaburan patuh syariah yang membantu pelanggan melabur atau menyimpan untuk masa depan," katanya.

Beliau berkata, kenaikan kadar premium juga bergantung kepada syarikat insurans dan ia perlu mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, katanya, setiap kenaikan kadar premium diluluskan bank pusat, syarikat insurans akan tampil dengan pilihan tawaran lain bagi memastikan pelanggan disantuni seadilnya.

"Peranan agensi insurans selepas syarikat insurans mendapat kelulusan BNM adalah memaklumkan kepada ejen dan ejen maklumkan kepada pelanggan.

"Pelanggan ada pilihan dan boleh mengurangkan perlindungan ikut kemampuan. Dakwaan mengatakan syarikat insurans ambil kesempatan menaikkan kadar premium adalah tidak tepat.

"Syarikat menaikkan kadar selepas mengambil kira pelbagai aspek, tetapi pelanggan tetap ada pilihan," katanya.

Stable Vision adalah agensi insurans hibrid yang memiliki pasukan terbabit dalam takaful dan insurans konvensional.

Pengurus Agensi Prudential BSN Takaful di bawah agensi Muqmeen Group, Siti Nurbaya Ahmad Shadzli pula berkata, kenaikan premium insurans perubatan disebabkan peningkatan inflasi perubatan dengan kos rawatan semakin meningkat.

"Sebagai contoh, 15 tahun lalu, kos pembedahan antara RM8,000 hingga RM9,000, tetapi kini mencecah belasan hingga puluhan ribu ringgit. Sekarang peralatan juga canggih, jadi kos juga akan tinggi," katanya.

Beliau berkata, kenaikan kadar premium juga disebabkan tuntutan semakin melambung berikutan risiko kesihatan rakyat Malaysia yang turut meningkat.

"Ada golongan muda berpenyakit jantung dan kematian mengejut. Rawatan jantung juga boleh mencecah lebih RM50,000. Jadi apabila tuntutan meningkat, Dana Tabarru' akan menyusut kerana perlu membuat bayaran nisbah tuntutan yang sangat banyak.

"Justeru, perlu ada 'repricing' untuk jaga Dana Tabarru' bagi membolehkan tuntutan pelanggan dapat dibayar untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang," katanya.

Tabarru' membawa maksud menyumbang dengan rela atau menyediakan khidmat bakti secara ikhlas.

Dalam konteks takaful, tabarru' merujuk kepada peserta mendermakan sebahagian atau keseluruhan wang sumbangan dibayar ketika menyertai pelan atau skim takaful dengan tujuan membantu rakan peserta dibebani kehilangan atau kerugian berikutan dilanda musibah tertentu.

Memandangkan tabarru' dikategorikan sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas, aplikasi tabarru' dalam takaful menghapuskan unsur gharar, riba dan maisir.

Malah, Siti Nurbaya berkata, kos perubatan dan teknologi perubatan terbaik disediakan pihak hospital untuk keselesaan pesakit menyumbang kepada kenaikan premium.

"Syarikat insurans atau takaful menawarkan produk untuk perlindungan sehingga usia 70 atau 80 tahun. Jadi kenaikan premium akan menjadikan polisi diambil pelanggan lebih kukuh untuk perlindungan jangka panjang," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Sekolah dibuka berperingkat mulai 1 September 2021

by

 

Sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini.

Menurut Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini, berkata sehubungan itu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan," katanya.

Kenyataan itu menambah, Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

Katanya, sehingga semalam seramai 253,366 atau 61.3 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Mengambil kira kadar vaksinasi ini, Kementerian Pendidikan telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September 2021," katanya.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh berkenaan.

Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal dan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

"Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," menurut kenyataan itu.

Sumber : Berita Harian

 

 

Kit ujian kendiri buatan Malaysia dijual minggu depan

by

 

Kit ujian kendiri pantas antigen COVID-19 buatan Malaysia yang pertama, 'Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19', akan mula dijual kepada orang awam pada 19 Julai ini, kata MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD).

Pengurus Projek MeDKAD, Syahriah Razak berkata kit Salixium itu dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.

Kit ujian pantas mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dilakukan dan hasilnya dinilai oleh jalur yang dapat dilihat dengan jelas, ia akan mengesahkan kewujudan antigen.

"Kewujudan atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam persampelan akan ditunjukkan menerusi jalur berwarna merah jambu/ungu di kit itu. 

"Sekiranya sampel berkenaan tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul, menunjukkan hasil ujian adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai pengawalan prosedur, jalur warna kit yang kelihatan itu mengesahkan persampelan yang betul tanpa mengira sama ada wujud atau tiada antigen SARS-CoV-2 dalam sampel terbabit, katanya.

Sebanyak 242 sampel air liur atau calitan hidung diuji dengan Salixium dan keputusan menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus manakala ketepatannya ialah 100 peratus, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob, berkata MeDKAD mempunyai saintis dan pakar perubatannya sendiri yang mempunyai kemampuan untuk bukan sahaja bagi membangunkan kit ujian mereka sendiri tetapi untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan luar negara untuk memastikan keberkesanan produk berkenaan.

Selain Malaysia, MeDKAD merancang untuk menembusi pasaran di negara-negara lain di Asia, Eropah dan Asia Barat kerana Salixium juga digunakan secara meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terutama di Dubai.

Ditubuhkan pada 2016 dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor, MeDKAD adalah syarikat teknologi kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan manfaat perubatan mereka dengan lebih baik.

Sumber : BERNAMA

 

 

Imuniti kelompok, pematuhan SOP jalan keluar pandemik

by

 

Oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Cabaran pandemik COVID-19 dengan kemunculan pelbagai varian baharu seperti varian Delta, memberikan impak lebih serius kerana merebak lebih cepat, selain berisiko melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam dan mampu memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan perkembangan penularan COVID-19 membimbangkan dengan Afrika mencatatkan 16.7 peratus dan Asia Tenggara (8.6 peratus), manakala Eropah merekodkan 33 peratus meskipun mengungguli program vaksinasi global.

Malaysia turut menunjukkan trend sama dengan kes harian dan kematian menunjukkan peningkatan walaupun sekatan pergerakan penuh dijalankan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

WHO menyifatkan peningkatan jangkitan sebagai trend global ketika ini disebabkan peningkatan pergerakan sosial, selain pengedaran vaksin tidak adil. Justeru, program vaksinasi mesti dipercepat bagi mencapai imunisasi kelompok pada kadar segera, selain keberkesanan kandungan vaksin dipertingkatkan bagi mendepani pelbagai varian baharu.

Bagaimanapun, berlaku penurunan mendadak dalam kadar kematian harian di negara yang program vaksinasinya berjaya. Kanada dengan jumlah penduduk hampir sama dengan Malaysia, mencatatkan lebih 26,000 kematian sejak pandemik ini bermula, iaitu empat kali melebihi jumlah kematian di negara ini.

Namun dengan hampir separuh rakyatnya diberi vaksin, jumlah kematian berkurang secara drastik menjadi kurang 10 penduduk sehari. Ini membuktikan imuniti kelompok mampu mengurangkan kadar jangkitan dan kematian akibat pandemik COVID-19.

Justeru Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyasarkan kadar vaksinasi kepada lebih 300,000 dos sehari selepas Jun. Ia diikuti pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan fokus ketiga adalah mempercepatkan program vaksinasi kepada sebanyak mungkin populasi di negara ini.

Kerajaan juga mengkaji pemberian vaksin kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun. Semua usaha ini untuk mencapai imuniti kelompok pada kadar segera, sekali gus membawa rakyat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik.

Bekalan vaksin COVID-19 negara bakal menyaksikan lonjakan ketara apabila Malaysia dijadual menerima menerima sekurang-kurangnya 13.8 juta dos vaksin sepanjang Julai ini. Semua jenis vaksin sama ada Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac selamat serta berkesan dalam menghalang kemasukan ke hospital dan kematian, termasuk varian COVID-19 Delta.

Ini menunjukkan COVID-19 boleh dikawal sekiranya kadar vaksinasi terus dipertingkatkan dengan keutamaan diberikan kepada golongan rentan, kawasan berisiko dan beberapa sektor dibenarkan operasi semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam PPN.

Berdasarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, senarai keutamaan adalah melindungi kumpulan paling berisiko, iaitu petugas barisan hadapan sektor keselamatan dan kesihatan. Ia disusuli warga emas serta individu berpenyakit kronik diikuti populasi dewasa lain bagi membentuk imuniti kelompok.

Terkini, hampir semua petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin, malah lebih 50 peratus golongan berusia 60 tahun ke atas menerima dos pertama. Sehingga 11 Julai, kadar vaksinasi harian di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melepasi kadar purata vaksinasi global, memberi gambaran Malaysia berada di landasan tepat mencapai imuniti kelompok.

Dengan penambahbaikan dan peningkatan keupayaan proses suntikan antara 300,000 hingga 400,000 dos sehari, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan 70 hingga 80 peratus populasi Malaysia divaksin sepenuhnya sekitar September atau awal Oktober depan.

Walaupun Selangor masih jauh ketinggalan dari segi peratusan vaksinasi disebabkan jumlah dan kepadatan penduduk tinggi, usaha dipergiatkan bagi meningkatkan peratusan penerimaan. Dengan penerimaan empat juta dos vaksin untuk Selangor pada bulan ini, kadar vaksinasi dapat dipercepat.

Data Our World in Data dikelolakan Oxford Martin School, Universiti Oxford dan GCDL menunjukkan, setakat 9 Julai lalu, Singapura di tangga pertama dengan purata harian vaksinasi 1.3 bagi setiap 100 orang, diikuti Malaysia (0.96); Taiwan (0.65); United Kingdom (0.38); Thailand (0.36); Indonesia (0.31); Korea Selatan (0.2); Amerika Syarikat (0.18) dan Vietnam (0.02).

Malah, Malaysia konsisten di tempat kedua dan mengatasi United Kingdom sejak 23 Jun lalu. Data Our World in Data juga menunjukkan Malaysia merekodkan purata pemberian vaksin harian ketiga tertinggi pada 9 Julai lalu dengan 309.694 dos, selepas Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kadar pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini turut melepasi purata negara di Asia mengatasi Thailand, Filipina dan Vietnam.

Setakat semalam, negara mencatatkan lebih 12.3 peratus penduduk mendapat vaksinasi penuh dan lebih 26.5 peratus memperoleh sekurang-kurangnya satu dos. Jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 dos pertama ialah 8.6 juta dan dos kedua (4 juta) dengan lima negeri paling terkesan mencatatkan pemberian vaksin tertinggi. Sejumlah 15,366 komuniti Orang Asli juga menerima suntikan vaksin, manakala selebihnya akan menerima berperingkat dalam masa terdekat.

Perkembangan positif ini disifatkan pencapaian baik dan landasan tepat untuk mencapai imunisasi kelompok dalam masa terdekat dan membawa negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

Ini menunjukkan antara jalan keluar terbaik memenangi pertarungan ini adalah dengan mencapai tahap 80 peratus imuniti kelompok dijangka dicapai sebelum akhir tahun ini. Oleh itu, semua pihak sama ada kerajaan, parti politik, penggerak ekonomi seperti industri dan perniagaan serta masyarakat seluruhnya perlu berganding bahu menyokong PICK yang dilihat berada di landasan terbaik.

Kaedah lain adalah melaksanakan kawalan ketat dalam tempoh dua minggu ini bagi membendung penularan virus terutama di Lembah Klang yang mencatatkan kes tertinggi berikutan kepadatan dan pergerakan penduduk tinggi.

Dengan cara ini, kawasan mencatatkan kes tinggi dapat dikenal pasti, saringan dipertingkatkan dan kes kontak rapat dikesan, seterusnya jangkitan dalam komuniti dapat dikurangkan.

Kerajaan turut mempertingkatkan penguatkuasaan menyeluruh ke atas kilang dan premis perniagaan kerana didapati banyak berlaku pelanggaran arahan serta prosedur operasi standard (SOP).

Pelengkapnya adalah masyarakat disaran terus konsisten mematuhi SOP dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri sebagai langkah mendepani peningkatan kes sporadik serta kes COVID-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.

Sumber : Berita Harian

 

Top Ad 728x90