31 Januari 2021

Boleh tamatkan PKP tetapi ketatkan SOP - Pakar perubatan

by

 

"PKP tetapi macam tak PKP." Itulah persepsi dan tanggapan rata-rata masyarakat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Isu itu timbul apabila 'PKP 2.0' dikatakan tidak begitu berjaya melandaikan kes penularan COVID-19 yang mencecah empat angka setiap hari dengan penguatkuasaannya dilihat amat longgar, dan kerana itu ada rasa bimbang jika PKP kali ini ditamatkan, situasi jangkitan COVID-19 dalam negara akan menjadi lebih teruk.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, apa yang lebih penting adalah prosedur operasi standard (SOP) diketatkan agar penularan pandemik itu tidak menjadi lebih parah dan matlamat untuk menurunkan angka kes semaksimum yang mungkin akan dapat dicapai.

"Orang jadi marah sekarang ini kerana walaupun PKP, tetapi SOP tidak tentu hala, seperti tiada PKP. Sebenarnya, kalau tiada PKP tidak apa tetapi SOP dan pematuhannya adalah yang paling penting bagi melandaikan lengkung penularan," katanya kepada Bernama.

Pada 25 Januari lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaannya.

Namun keesokannya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia hanyalah bayangan yang dibuat oleh Dr Noor Hisham, dan keputusan sama ada pelaksanaan PKP lebih ketat atau kembali kepada PKP Bersyarat (PKPB), bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dr Zainal Ariffin berkata, jika PKP ditamatkan dan PKPB diperkenalkan kembali, perlunya larangan menjalankan perjumpaan sosial beramai-ramai atau apa jua perhimpunan yang melibatkan ramai orang, selain larangan rentas negeri.

"Mana-mana majlis tertutup khususnya seperti makan-makan, kenduri-kendara, sambutan hari jadi yang melibatkan ramai orang tidak seharusnya dibenarkan. Buat seperti negara lain contohnya di Singapura, hanya lima orang sahaja maksimum boleh berkumpul untuk majlis sosial.

"Selain itu, jadikan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori iaitu apabila keluar rumah sahaja automatik pakai atau dikenakan tindakan. Penjarakan fizikal juga perlu diutamakan, kalau nampak ramai berkerumun di kedai atau pejabat, ambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap industri perkilangan dengan menutup kilang terbabit apabila terdapat laporan bahawa pekerja mereka positif COVID-19.

"Kilang mencatatkan kes yang sangat tinggi, jadi kerajaan perlu lebih bertegas...kalau dahulu bila kes ribu-ribu baru diarahkan tutup, tetapi sekarang ini jika kilang catatkan satu atau dua kes sahaja ia perlu diarahkan tutup sampailah keadaan bertambah baik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sepatutnya menyedia dan menunjukkan kepada rakyat segala strategi mereka untuk melawan COVID-19, sepertimana Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengeluarkan 200 muka surat strategi untuk memerangi COVID-19 pada hari pertama menjadi presiden.

Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan juga boleh melaksanakan PKP bersasar dengan 'menutup' negeri yang mencatatkan kes tinggi seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Beliau turut mengingatkan, meskipun PKP ditamatkan dan diganti dengan kaedah yang lain, namun angka positif diramal tidak akan menurun untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 14 hari, berikutan tempoh pengeraman COVID-19.

Senada dengan Dr Zainal Ariffin, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata negara lebih memerlukan PKP secara bersasar, berbanding secara menyeluruh, yang boleh dilaksanakan terhadap sektor 'panas' sudah dikenal pasti.

"Kita sedia maklum akan kesan pelaksanaan PKP terhadap masyarakat, terutamanya dari segi sektor ekonomi dan pada masa sama juga, kita perlu menangani wabak COVID-19 dengan bilangan kes empat angka...mengimbangi kedua-dua perkara ini ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

"Pihak berkuasa sudah mengenal pasti beberapa sektor yang menjadi 'hotspot' kepada kes COVID-19, maka mungkin boleh PKP disasarkan kepada sektor-sektor ini," katanya sambil menambah, tempoh 14 hari mungkin boleh dijadikan asas untuk PKP bersasar.

Beliau berkata sama ada PKP, PKPB atau PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan atau SOP diperketatkan sekalipun, jika kesedaran masyarakat adalah rendah, ia juga tidak akan membantu menurunkan bilangan kes dan seterusnya menyekat penularan wabak COVID-19.

Katanya, PKP adalah usaha fizikal dalam menghalang usaha virus untuk mencari 'perumah' (manusia), maka sebab itu ketika PKP kerajaan mengehadkan pergerakan dan interaksi rapat 'perumah' agar jangkitan terhadap 'perumah' baharu dapat dihalang.

"Kesedaran masyarakat sangat penting dalam mematuhi SOP yang ditetapkan dan ini adalah cabaran yang sangat besar.

"Kita perlu mengambil contoh masyarakat New Zealand dalam mematuhi SOP dan kita lihat kepada kejayaan mereka. Majoriti masyarakat faham akan peri pentingnya dalam mematuhi SOP tetapi ada juga sebahagian yang tidak, mereka inilah akan mendatangkan masalah," katanya.

Dr Yahya berkata, oleh itu vaksin adalah cara untuk menghadapi masalah COVID-19 dalam masyarakat iaitu dengan mewujudkan imuniti kelompok, negara akan mempunyai peluang lebih baik dalam menyekat penularan COVID-19. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Nestle tawar hadiah lumayan bernilai RM900,000 sempena Tahun Baru Cina

by

 

Nestle (M) Bhd. (Nestle) menawarkan ha­diah lumayan bernilai lebih daripada RM900,000 melalui peraduan Nestle Niu Year kepada pelanggan bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Sedia Untuk Diminum (RTD), April Wong berkata, peraduan yang bermula dari 8 Januari lalu hingga 8 Mac depan memberi peluang kepada lapan peserta untuk memenangi ha­diah utama Proton X50 serba baharu.

“Terdapat lapan buah kereta yang mana setiap kereta bernilai RM79,000 untuk dimenangi pengguna.

“Syarikat juga akan menawarkan hadiah wang tunai mingguan sebanyak RM2,888 dan RM888 yang akan diberikan kepada 16 pemenang hadiah sagu hati tempat pertama dan 240 pemenang bagi hadiah sagu hati tempat kedua,” katanya dalam kenya­taan di sini baru-baru ini.

Wong menjelaskan, peraduan tersebut dibuka kepada pengguna yang membeli produk RTD Nestle seperti minuman dalam tin, botol dan pek UHT terpilih bernilai RM5 sepanjang tempoh peraduan tersebut berlangsung.

“Untuk membantu meri­ngankan beban rakyat pada masa sukar ini, kami mengalu-alukan ketibaan tahun yang membawa sinar harapan dan berkongsi tuah dengan pengguna.

“Kami berharap peraduan ini sedikit sebanyak dapat membawa keceriaan dan keriangan sempena sambutan Tahun Baru Cina,” jelasnya.

Tambah beliau, penyertaan adalah mudah yang mana pengguna hanya membeli empat jenama Nestle iaitu Milo, Nescafe, Nestle Just Milk dan Nestle Omega Plus.

 

 

Darurat: Keputusan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah

by

 

Sesiapa saja boleh mencabar keputusan berhubung proklamasi darurat di mahkamah kerana ia adalah kebebasan kehakiman dan perundangan di negara ini.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu A Aziz berkata, namun Perkara 150 Fasal 8 menyatakan soal puas hati Yang di-Pertuan Agong berhubung keputusan pengisytiharan darurat itu tidak boleh dipersoalkan dan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Katanya, beliau melihat orang yang memfailkan kes itu tidak mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya mengenai nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada baginda

Justeru, katanya ada ruang undang-undang yang dibincangkan dan persoalan teknikal sama ada boleh atau tidak dicabar di mahkamah.

"Saya melihat ini satu usaha yang baik... pergilah ke mahkamah supaya persoalan ini dapat diperjelaskan

"Dalam hal ini saya nampak ada orang itu terbabit meminda undang-undang tetapi kini beliau yang mempersoalkannya dan ini menyebabkan rakyat keliru dalam situasi ini," katanya pada sesi soal jawab selepas menjadi panel webinar 'Memahami Isu Darurat dan Masa Depan Gerakan Dakwah' anjuran Yayasan Dawah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang dilaksanakan secara dalam talian, hari ini.

 

Beliau ditanya sama ada keputusan Yang di-Pertuan Agong berkaitan darurat itu boleh dicabar di mahkamah.

Baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat Perdana Menteri kepada Yang si-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Peguam Anwar Ramkarpal Singh berkata, apa yang dicabar dalam permohonan itu bukanlah pengisytiharan darurat, sebaliknya keputusan Perdana Menteri melalui Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat berkenaan.

Shamrahayu menjelaskan ada yang menyatakan puas hati Yang di-Pertuan Agong boleh dengan nasihat atau tanpa nasihat kerajaan.

Justeru, katanya ada juga pihak yang memfailkan kes di mahkamah mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat kerajaan untuk mengadakan darurat pada Oktober tahun lalu.

"Apa yang saya fahami kuasa Yang di-Pertua Agong itu tidak boleh dipersoalkan dan tiada semakan undang-undang mengenainya.

"Pada tafsiran saya, kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa budi bicara, sama ada dengan nasihat atau tanpa nasihat. Kalau ia kuasa budi bicara maka nasihat yang diberikan itu (Perdana Menteri) tidak relevan.

"Saya tidak mahu mendahului mahkamah dan tafsiran saya adalah tafsiran akademik semata-mata," katanya.

Pakar perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pula berkata berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, timbul persoalan adakah Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat.

Beliau menjelaskan apa yang penting dalam keputusan berhubung darurat itu, Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan sepakat dan tiada protes untuk ia dilaksanakan begitu juga ketika permintaan darurat pada Oktober lalu apabila baginda menolaknya.

"Dalam hal ini mengikut Perkara 150 berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong, kuasa budi bicara atau prerogatif maka baginda sudah berpuashati atas permintaan Perdana Menteri mengenai darurat, perkara ini yang akan dipertimbangkan dan tidak timbul lagi isu nasihat Perdana Menteri itu," katanya

Sumber : Berita Harian

Saya terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah - Ibu angkat mangsa dera

by

 

"Saya menyesal menyerahkan semula anak angkat kepada ibunya, tetapi apakan daya, saya memahami hak seorang ibu yang mahu anak kembali ke pangkuannya.

"Tetapi saya tidak sangka dia diperlakukan sebegitu hanya selepas empat bulan kami berpisah, sedangkan dia anak yang baik dan tidak pernah membantah kata selama menjaganya sejak bayi lagi," kata Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera.

Kisah perpisahan Norlida dan anak angkatnya pernah tular di Facebook pada Oktober tahun lalu dan mendapat perhatian ramai yang turut bersedih berikutan kanak-kanak terbabit terpaksa diserahkan semula kepada ibu kandungnya.

Norlida yang tinggal di Rawang, Selangor berkata, beliau terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah ketika didera sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

"Saya menjaganya seperti 'menatang minyak yang penuh' dan menganggapnya sebagai anak bongsu. Sejak menjaganya, dia tidak pernah menyusahkan saya, malah arwah memang tidak pernah mendesak jika mahukan sesuatu termasuk barangan permainan.

"Arwah juga berjaya menghafal surah Al-Mulk selepas belajar dengan kakak angkatnya.

"Saya memang terkejut dengan keadaan ini. Kenapa dia diperlakukan seperti itu, saya memang tak sangka," katanya ketika ditemui di rumah kenalannya di Batu Berendam di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, pasangan suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak berkenaan, semalam direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan kes itu.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi hari ini, selepas dipohon polis mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Norlida berkata, dia sekeluarga amat terkejut selepas dihubungi jiran kepada ibu kandung mangsa dari Krubong kira-kira jam 8 malam tadi yang memaklumkan berita sedih itu selepas mengetahui video tular perpisahan mereka sebelum ini.

Katanya, beliau sekeluarga tidak menyangka kematian tragis mengakhiri hidup anak angkatnya itu, sebelum bergegas ke Melaka malam tadi.

"Sebagai ibu, saya faham apabila ibu kandung mangsa selalu mengatakan kerinduannya kepada anak, jadi saya reda melepaskannya kerana ketika ibu kandungnya meminta saya menjaga anaknya, tiada perjanjian hitam putih dibuat antara kami.

"Malah, ketika menyerahkan semula kanak-kanak itu, saya terpaksa akur kerana tidak mahu bergaduh dengan ibunya," katanya.

Norlida berkata, sepanjang menjaga kanak-kanak berkenaan sejak berusia dua bulan hingga Oktober tahun lalu, ibu kandungnya jarang berjumpa, malah langsung tidak mengambil tahu mengenai mangsa.

Katanya, selepas mereka berpisah empat bulan lalu, ibu kandung kanak-kanak itu menghalang mereka daripada terus berhubung.

"Kami mahu bercakap di telefon pun dihalang, malah mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan video juga tidak dibenarkan.

"Bapa tiri mangsa terpaksa membawanya berjumpa saya secara senyap-senyap kerana ibu kandungnya bimbang saya akan mengambilnya semula," katanya.

Berkongsi detik terakhir bertemu mangsa pada awal November tahun lalu, Norlida berkata, bapa tiri arwah yang bekerja sebagai pemandu lori membawa kanak-kanak itu berjumpanya di kedai makan di Rawang tanpa pengetahuan ibunya.

"Hampir satu jam kami menghabiskan masa, malah sempat bergambar bersama dan saya sempat bertanya arwah hendak duduk dengan siapa, namun dia mendiamkan diri.

"Dia tak bercakap tetapi saya bertanya, 'Adik rindu Umi tak?' dan dia menjawab 'Adik rindu Umi, abah, kakak dan abang, tetapi adik tak boleh sebab terpaksa ikut mama (panggilan kepada ibu kandungnya)," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

30 Januari 2021

Majoriti rakyat tak muat turun antivirus telefon pintar

by

 

Majoriti rakyat tidak memuat turun aplikasi antivirus menerusi telefon pintar masing-masing bagi mengelak serangan siber.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia (CSM), Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab, berkata tindakan memuat turun aplikasi terbabit sepatutnya menjadi perkara asas dalam melindungi maklumat dan data peribadi.

"Kita semua ada telefon pintar, tetapi berapa ramai antara kita yang memuat turun aplikasi antivirus. Soalan ini yang banyak kita tanya ketika pergi seminar dan program kesedaran.

"Apabila kita tanya, majoriti tidak ada (memuat turun antivirus di telefon pintar) sedangkan jika kita ada komputer riba dan set komputer, kita memuat turun antivirus ini. 

"Sebenarnya ia perkara asas dalam konteks keselamatan siber daripada sudut individu dan teknikal," katanya pada program Bicara Naratif Ancaman Siber yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Md Shah Nuri Md Zain.

Mengulas lanjut, Amiruddin menasihatkan orang awam lebih berhati-hati ketika berkongsi masalah dan maklumat peribadi ketika melayari media sosial terutama Facebook.

"Sekarang orang yang menggunakan Facebook ini akan bercerita aktiviti mereka bermula dari bangun pagi hingga malam disertakan lokasi dan gambar.

"Mereka berkongsi semua perkara, tetapi jika berkongsi terlalu banyak cerita atau masalah, ia mengundang kecuaian sebab terlalu banyak memberi maklumat.

"Nasihat kami ialah selesaikan masalah itu dan jangan paparkannya atau berkongsi di Facebook," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Geran Khas Prihatin PERMAI (GKP Tambahan) Mac 2021

by

 

GKP Tambahan atau GKP Permai adalah bantuan kewangan tambahan secara one-off yang disediakan oleh Kerajaan kepada Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro yang menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP 1.0 dan GKP 2.0) sebelum ini.

Seperti yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia PERMAI, Kerajaan akan memperluaskan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan kepada 800,000 peniaga kecil dan sederhana (PKS) sehingga RM1,000.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peluasan inisiatif GKP Tambahan ini atau Geran Khas Prihatin Permai ini akan melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.

GKP Tambahan adalah bantuan kewangan tambahan secara one-off yang disediakan oleh Kerajaan kepada Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro yang menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP 1.0 dan GKP 2.0) sebelum ini.

Tarikh Bayaran GKP Permai

Tarikh bayaran bagi Geran Khas Prihatin Tambahan ini adalah pada Mac 2021.

Manakala, bagi kaedah pembayaran adalah sama seperti pelaksanaan GKP 1.0 dan GKP 2.0 iaitu amaun tersebut akan dikreditkan ke akaun bank simpanan atau semasa peribadi penerima yang telah didaftarkan pada permohonan Geran Khas Prihatin sebelum ini.

Pembayaran hanya dikreditkan kepada penerima yang mempunyai akaun bank yang aktif sahaja. 

Apakah itu GKP PERMAI?

  • Geran Khas Prihatin Tambahan di bawah Pakej PERMAI (GKP PERMAI) adalah bantuan kewangan tambahan secara one-off yang disediakan oleh Kerajaan kepada Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) mikro yang telah menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP 1.0 dan GKP 2.0) sebelum ini.
  • Amaun bantuan GKP PERMAI secara one-off adalah seperti berikut:
    1. PKS mikro bagi negeri di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – RM1,000
    2. PKS mikro bagi lain-lain negeri – RM500
  • Pembayaran GKP PERMAI akan dilakukan mulai bulan Mac 2021 melalui akaun bank yang didaftarkan.

Siapakah yang layak untuk memohon GKP PERMAI?

GKP PERMAI akan diberikan kepada penerima yang lulus GKP 1.0 dan GKP 2.0, serta PKS mikro yang lulus rayuan.

Bagaimanakah saya boleh memohon untuk GKP PERMAI?

Initiatif ini adalah untuk penerima GKP dan mereka yang telah diluluskan rayuan GKP 2.0. Oleh itu, permohonan untuk GKP PERMAI tidak diperlukan.

http://belanjawan2021.treasury.gov.my/permai/faq/gkp.html

 

29 Januari 2021

Calitan tekak dan hidung lebih berkesan, tak perlu calitan dubur

by

 


Ujian calitan tekak dan nasopharyngeal melalui saluran hidung sudah memadai untuk melakukan pengesanan COVID-19.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata ia berdasarkan data yang menunjukkan kadar atau peratusan pengecaman virus SARS-CoV-2 dengan menggunakan dua kaedah calitan itu lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tidak perlu ujian pengesanan COVID-19 terhadap najis, dubur atau rektum yang cuma mengundang ketidakselesaan dan kesan negatif dalam kalangan masyarakat.

Mengikut data, kadar pengecaman virus SARS-CoV-2 menerusi calitan nasopharyngeal dan calitan tekak adalah 88 peratus. Calitan najis, dubur atau rektum adalah 70 peratus. Calitan konjunktiva iaitu di selaput lutsinar yang meliputi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata pula satu peratus. Pengecaman melalui air kencing dan calitan vagina masing-masing kosong peratus. 

Berdasarkan kepada kadar (peratus) pengecaman, ujian calitan nasopharyngeal dan tekak sudah memadai untuk tujuan penyaringan COVID-19. Prosedur yang digunakan juga tidak terlalu membebankan. Ujian calitan najis, dubur, rektum boleh digunakan untuk tujuan saringan COVID-19. Bagaimanapun, prosedur yang perlu digunakan itu akan mengundang ketidakselesaan.

"Ini akan memberikan impak negatif kepada masyarakat dalam usaha menggalakkan masyarakat menjalani ujian saringan. Saya berpendapat kita tidak perlu ujian saringan membabitkan calitan najis, dubur atau rektum," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas ujian calitan dubur di China sebagai kaedah lain mengesan individu dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan media, Li Tongzeng, seorang doktor kanan di Hospital You'an Beijing dipetik sebagai kepada CCTV, teknik calitan di dubur boleh meningkatkan kadar pengesanan dalam kalangan mereka yang dijangkiti kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di bahagian itu berbanding saluran pernafasan.

Mengulas hal itu, Dr Yahya menegaskan pertama sekali orang ramai perlu membezakan antara 'infectivity' (jangkitan) dengan 'positivity' (positif).

Jelasnya, seseorang yang melalui pengalaman COVID-19 berkemungkinan masih boleh memberikan keputusan positif tetapi tidak berjangkit.

"Yang perlu diberi perhatian adalah keadaan 'infectiousness period' (tempoh berjangkit) yang merujuk kepada 'viral load' (beban virus) yang tinggi dan virus aktif bereplikasi atau dalam erti kata lain mengakibatkan kuantiti virus yang tinggi. Dalam keadaan ini, kebolehjangkitan adalah sangat tinggi.

"Apabila seseorang sudah pulih, masih terdapat kemungkinan saki baki virus yang telah mengalami degridasi atau bermaksud tidak lagi infectious (berjangkit) dalam badan. Ini akan masih memberikan keputusan positif apabila saringan dibuat tetapi kebolehjangkitan adalah hampir tiada," katanya.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata keputusan positif untuk sampel dari sistem pencernaan sudah lama diketahui.

Kajian berkaitan perkara itu sudah setahun dijalankan dan mendapati sampel yang positif dari najis boleh didapati positif lebih lama berbanding sampel daripada sistem pernafasan.

"Misalnya, sampel dari najis boleh positif hingga berpuluh-puluh hari. Bagaimanapun persoalannya, adakah pesakit yang positif calitan dubur masih boleh menjangkiti orang lain? Yang itu perlu jawapan dahulu kerana setakat ini kita tidak mempunyai pengetahuan lengkap mengenai hal ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

28 Januari 2021

Kerajaan sasar 75,000 orang disuntik vaksin sehari

by

 

Seorang pembantu tadbir amanah mengalami kerugian RM125,498.25 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada 6 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 46 tahun menerima panggilan telefon daripada ‘Noraini Daud’ yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90 dan memaklumkan kesemua akaun bank mangsa akan dibekukan selain akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak membuat pembayaran.

“Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum suspek menyambungkan kepada pihak lain kononnya polis bagi laporan penafian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Elias berkata, mangsa seterusnya dimaklumkan oleh individu menyamar polis itu bahawa akaun mangsa terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 juta.

“Wanita terbabit turut menerima beberapa panggilan berkaitan perkara sama sehingga dia berasa takut dan membuat pinjaman bank sebanyak RM120,000,” jelasnya.

Katanya, mangsa bertindak menghubungi suspek bagi bertanyakan tentang siasatan kes tersebut pada Selasa lalu, namun dia tidak berpuas hati sebelum membuat semakan di sebuah bank di Jitra dekat sini.

“Setelah membuat semakan, mangsa mendapati wang dalam akaun miliknya sebanyak RM125,498.25 telah hilang melibatkan 13 transaksi ke akaun pihak ketiga,” katanya.

Tambahnya, kerugian bagi kes berkenaan adalah yang tertinggi direkodkan di Kedah pada bulan ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : Berita Harian

Pembantu tadbir rugi RM125,498 diperdaya ‘pegawai LHDN’, ‘polis’

by

 

Seorang pembantu tadbir amanah mengalami kerugian RM125,498.25 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada 6 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 46 tahun menerima panggilan telefon daripada ‘Noraini Daud’ yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90 dan memaklumkan kesemua akaun bank mangsa akan dibekukan selain akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak membuat pembayaran.

“Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum suspek menyambungkan kepada pihak lain kononnya polis bagi laporan penafian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Elias berkata, mangsa seterusnya dimaklumkan oleh individu menyamar polis itu bahawa akaun mangsa terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 juta.

“Wanita terbabit turut menerima beberapa panggilan berkaitan perkara sama sehingga dia berasa takut dan membuat pinjaman bank sebanyak RM120,000,” jelasnya.

Katanya, mangsa bertindak menghubungi suspek bagi bertanyakan tentang siasatan kes tersebut pada Selasa lalu, namun dia tidak berpuas hati sebelum membuat semakan di sebuah bank di Jitra dekat sini.

“Setelah membuat semakan, mangsa mendapati wang dalam akaun miliknya sebanyak RM125,498.25 telah hilang melibatkan 13 transaksi ke akaun pihak ketiga,” katanya.

Tambahnya, kerugian bagi kes berkenaan adalah yang tertinggi direkodkan di Kedah pada bulan ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : Utusan

Rakyat Malaysia 'Uncle Hashim' dianugerah Pingat Order of Australia

by

 

Nama 'Uncle Hashim' mungkin tidak begitu dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia di sini namun beliau bukan seperti bapa saudara atau pak cik anda di rumah.

Di Australia, Uncle Hashim atau nama sebenarnya Abdul Rahman Hashim boleh dianggap sebagai individu yang agak terkenal.

Selepas bertahun-tahun menghulurkan khidmat secara sukarela kepada komuniti Islam dan rakyat Malaysia di Canberra, beliau bukan sekadar mendapat tempat di hati komuniti terbabit malah pengiktirafan kerajaan Australia yang menganugerahkannya Pingat Order of Australia (OAM) pada sambutan Hari Australia semalam.

Selepas tiga tahun berhijrah ke Australia pada 1969, Abdul Rahman mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Rakyat Malaysia Australia sebagai usaha menyatukan rakyat negara ini di Canberra.

"Ideanya adalah untuk menjaga mereka. Masalah utama di sana ialah tiada daging halal, jadi saya bersama-sama beberapa rakan memulakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan dan mereka bersetuju menjadikan penyembelihan halal sebagai sesuatu yang sah," katanya dalam temu bual dengan stesen radio ABC yang dikongsi menerusi saluran YouTube Anil Sabah Al Ahmad Masjid.

Sepanjang berada di Canberra, Abdul Rahman turut menjadi sukarelawan di hospital sebagai penjaga kepada pesakit Islam yang bermula ketika isterinya menerima rawatan kerana menghidap penyakit kanser.

Meskipun sudah berusia 79 tahun, beliau masih aktif mengajar komuniti Islam di Canberra membaca Al-Quran secara sukarela dan melakukan upacara pengebumian.

"Kami melatih orang tetapi mereka agak keberatan kerana terpaksa berdepan pelbagai jenis mayat, sama ada normal atau kematian yang disebabkan kemalangan, jadi memerlukan masa untuk menanganinya," kata beliau.

Menurut artikel yang disiarkan Australian Muslim Times, aktivis sosial itu turut diiktiraf oleh Perkhidmatan Awam Australia dan menerima anugerah tertinggi Rotari iaitu Felow Paul Harris pada 1987 ketika beliau menganggotai Kelab Rotari Bandaraya Canberra.

Beliau juga terbabit dalam penubuhan pelbagai persatuan termasuk Majlis Pelajar Luar Negara Canberra, Persatuan Pelajar Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Canberra dan Persatuan Rakyat Malaysia Australia semasa zaman mudanya di Universiti Canberra.

Usaha terkini Uncle Hashim ialah pelancaran Australian Muslim Aged and Respite Care, sebuah platform yang menyalurkan bantuan kepada komuniti Islam di Canberra menggunakan perkhidmatan kebajikan yang dibayar oleh kerajaan dengan matlamat menyediakan tempat yang selesa kepada warga emas beragama Islam dengan penjagaan perubatan penuh.

Akhbar tempatan menjelaskan bahawa anugerah itu diberikan Gabenor Jeneral Australia kepada Uncle Hashim sebagai mengiktiraf semangat dan kerja keras beliau dalam membantu komuniti Islam di negara itu. 

 Sumber : BERNAMA

 

27 Januari 2021

Sirius TV tawar dua saluran percuma kepada KPM

by

 

Stesen televisyen satelit berbayar yang bakal dilancarkan di negara ini, Sirius TV menawarkan dua saluran percuma kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dijadikan saluran televisyen pendidikan bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMART Digital International Sdn Bhd (SMART), Khairuddin Abdul Rahman berkata, tawaran itu sebahagian daripada tanggungjawab SMART sebagai pengendali stesen televisyen Sirius TV bagi meringankan beban masyarakat dalam mendepani pandemik Covid-19.

"Penggunaan dua saluran tersebut akan dapat membantu KPM untuk menyiarkan kandungan pendidikan bagi sekolah rendah dan menengah dengan lebih meluas memandangkan satelit SES-12 yang digunakan Sirius TV mempunyai capaian yang amat baik di seluruh negara termasuklah di kawasan pedalaman.

"Ini sekali gus membolehkan KPM menyediakan medium untuk para pelajar mengakses kandungan pendidikan dalam bentuk rakaman mahu pun siaran langsung tanpa terlalu bergantung kepada capaian Internet," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bagaimanapun, KPM belum memberikan maklum balas kepada tawaran Sirius TV.

Beliau berkata, melalui penggunaan dua saluran percuma yang ditawarkan Sirius TV, pelaksanaan PdPR akan dapat dipertingkatkan lagi keberkesanannya terutama di kawasan capaian internet tidak memuaskan selain membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan peranti.

Khairuddin berkata, tawaran Sirius TV adalah selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia terhadap cadangan mewujudkan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar dari semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar.

Katanya, stesen satelit Sirius TV akan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun ini dengan 30 saluran menawarkan pakej tanpa kontrak dan langganan percuma selama 12 bulan kepada pengguna. 

Sumber : Bernama


25 Januari 2021

Inisiatif pemberian komputer riba, tablet mula Februari 2021

by

 

Inisiatif Cerdik yang akan menyediakan akses digital meliputi komputer riba, tablet dan sambungan data untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan dilaksanakan bermula Februari 2021 ini.

Inisiatif itu membabitkan sumbangan berjumlah RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Petronas.

Yayasan Hasanah dalam kenyataan hari ini berkata, langkah ini dilaksanakan bagi membantu pelajar mengadaptasi norma baharu sesi persekolahan dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran di luar bilik darjah.

Pemilihan pelajar dan sekolah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), yang juga akan meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan yang lebih mampan termasuk sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital masa depan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik oleh GLC dan GLIC.

Katanya, projek itu akan diselia Yayasan Hasanah adalah bagi tujuan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis.

Sumber : Harian Metro

Chicken chop tiga set RM10 dua beradik laris

by

 

Inisiatif dua beradik dari Kampung Teluk Menara di Manir, Kuala Terengganu menjual tiga set chicken chop pada harga mampu milik serendah RM10 membolehkan kira-kira 200 set hidangan barat itu laris di gerainya setiap hari.

Nor Nadia Mohamad, 33, yang mengusahakan perniagaan itu bersama kakaknya, Nurul Asyikin, 38, sejak Julai tahun lalu terpanggil untuk menawarkan harga murah kepada pelanggan sebagai salah satu amal jariah mereka dalam membantu orang ramai yang berdepan cabaran kewangan semasa pandemik Covid-19.

Menurut Nor Nadia, sebelum ini gerai mereka yang terletak di tepi jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Menara itu pernah tular kerana menjual mi/mihun sup dan colek pada harga RM2.

Katanya, bermula Disember lalu, menu baharu ala barat iaitu chicken chop dan bebola daging diperkenalkan kepada pelanggan berharga RM10 untuk tiga set di samping burger RM2

“Pada mulanya ramai yang terkejut dan tidak percaya dengan harga chicken chop itu kerana terlalu murah.

“Kami tidak mencari untung besar dan harapan kami agar semua peringkat umur terutama mereka yang kurang berkemampuan serta mempunyai ramai anak dapat menikmati makanan barat yang harganya mahal di luar sana,” katanya ketika ditemui pemberita di gerainya hari ini.

Nor Nadia berkata, minat berniaga itu tercetus daripada datuk mereka yang juga merupakan seorang peniaga, malah mereka juga suka melihat orang ramai datang makan masakan yang dimasak.

Katanya, sebelum ini mereka sudah berniaga di merata tempat, namun akhirnya memutuskan untuk berniaga di kampung halaman bagi berkongsi rezeki dengan penduduk setempat.

Menurutnya, pelbagai lagi menu lain yang akan dijual dengan harga serendah RM2 di gerai yang beroperasi bermula pukul 3 petang hingga 9 malam itu, bagaimana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tumpuan mereka hanya pada menu sedia ada. 

Sumber : Utusan

23 Januari 2021

Ancaman asap rokok kepada kanak-kanak autisme

by

 

Pendedahan nikotin daripada asap rokok boleh menjejaskan perkembangan saraf otak termasuk berisiko kepada kejadian autisme dalam kalangan kanak-kanak.

Banyak kajian menunjukkan pendedahan kepada asap rokok mempunyai hubung kait dengan risiko kejadian autisme pada bayi dan kanak-kanak.

Pensyarah Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Zaleha Md Isa berkata, autisme merujuk kepada ketidakseimbangan perkembangan saraf kompleks yang mempengaruhi keupayaan interaksi sosial dan komunikasi individu serta mempunyai tingkah laku berulang.

Katanya, keadaan itu berlaku sepanjang hayat dan autisme terjadi dalam bentuk spektrum, iaitu sebahagian individu mengalaminya di peringkat ringan, sederhana dan teruk. 

Bukti saintifik terkini mencadangkan ada pelbagai faktor membuatkan kanak-kanak cenderung mengalami autisme, di mana interaksi di antara faktor persekitaran dan genetik dijangka memainkan peranan utama.

"Faktor persekitaran berkaitan dengan autisme termasuk pendedahan kepada bahan kimia seperti logam plumbum, raksa, cat, dan racun perosak organoklorin. 

"Autisme biasanya muncul di peringkat awal kanak-kanak sebelum mereka mencapai usia tiga tahun dan boleh dikenal pasti seawal umur 18 bulan.

"Ada kajian di Malaysia menunjukkan pendedahan asap rokok menurunkan perkembangan saraf kanak-kanak pada umur dua tahun," katanya.

Pendedahan asap rokok jejas saraf otak

Dr Zaleha berkata, faktor risiko persekitaran, misalnya pendedahan kepada asap rokok menarik minat ramai penyelidik untuk mengkaji lebih lanjut berkaitan hubungannya dengan autisme.

"Pendedahan campuran kompleks gas dan partikel dihembus oleh perokok atau asap daripada pembakaran produk tembakau seperti rokok, cerut, atau paip dikenali sebagai asap rokok sekunder atau asap tembakau persekitaran, umpamanya boleh menjejaskan perkembangan otak golongan itu.

"Asap rokok sekunder boleh berlaku seawal peringkat kehamilan dan di mana-mana saja seperti di rumah atau di tempat awam.

"Kanak-kanak lebih terdedah kepada asap rokok di rumah, iaitu mereka yang tinggal dengan perokok seperti bapa atau anak lelaki dewasa yang merokok.

"Kajian di Malaysia menunjukkan 44.7 peratus kanak-kanak terdedah kepada asap rokok sekunder di rumah," katanya.

Menurunkan skor IQ

Tahukah anda antara ribuan bahan kimia di dalam asap rokok, nikotin adalah bahan kimia paling cenderung memberi kesan buruk kepada perkembangan otak.

Kesannya dijangka berlaku melalui tindakannya pada reseptor asetilkolin nikotinik menjadi perantara kepada perubahan struktur saraf.

"Perubahan boleh menyebabkan ketidakseimbangan kognitif, tingkah laku dan perkembangan, serta menurunkan skor 'Intelligence Quoteint' (IQ)," katanya.

Banyak kajian cuba mengenal pasti hubungan di antara ibu yang merokok semasa hamil dan risiko kejadian autisme pada anak.

Kata, kajian menunjukkan pendedahan awal kepada asap rokok boleh mengakibatkan perkembangan saraf yang teruk kepada kanak-kanak.

"Ini adalah kerana, pendedahan kepada asap rokok lebih berbahaya kepada otak yang sedang berkembang berbanding pendedahan di dalam rahim kerana dos pendedahan kepada asap rokok persekitaran adalah lebih tinggi berbanding dos pendedahan di dalam rahim.

"Pendedahan asap rokok dalam tempoh lama ketika kanak-kanak berbanding ketika janin adalah faktor kritikal yang memberi kesan ke atas perkembangan saraf," katanya.

Risiko kepada autisme

Penerangan biologi ini disokong oleh uji kaji di dalam haiwan dan perkembangan otak tikus berubah sewaktu pendedahan asap rokok selepas lahir tetapi tidak berubah sebelum lahir.

Pendedahan asap dengan kanak-kanak autisme memerlukan kajian lanjut.

Bagaimanakah risiko kejadian autisme boleh dikurangkan dengan mengelak punca pendedahan kanak-kanak dan ibu hamil kepada faktor persekitaran berkaitan dengan kejadian autisme, khususnya asap rokok.

"Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan dua program utama, iaitu aktiviti pencegahan bertujuan mencegah golongan bukan perokok terdedah kepada asap rokok. Selain itu, aktiviti pemulihan dan penguatkuasaan bagi memastikan sekurang-kurangnya 130,000 perokok berhenti merokok setiap tahun," katanya.

Bagi memastikan pengurangan tempoh dan kekerapan pendedahan asap rokok sekunder dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di rumah, strategi yang boleh dilakukan adalah dengan melaksanakan polisi larangan merokok di rumah atau rumah bebas asap rokok.

Polisi larangan merokok boleh dilaksanakan di dalam kenderaan awam, kereta persendirian dan juga tempat awam yang diwartakan.

"Pengurangan pendedahan asap rokok ini bukan sahaja boleh mengurangkan masalah ketidakseimbangan perkembangan otak kanak-kanak, malah ia juga boleh mengurangkan risiko pelbagai penyakit lain seperti penyakit kardiovaskular, pernafasan dan kanser," katanya.

Meskipun kejadian autisme berbeza meskipun tiada data rasmi individu didiagnosa sebagai autisme di negara ini, namun di peringkat global, dianggarkan satu daripada 160 kanak-kanak mengalami autisme.

Punca autisme tidak jelas. Kanak-kanak lelaki empat kali ganda lebih cenderung mengalami autisme berbanding kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata, kadar kejadian autisme di peringkat global meningkat dengan mendadak pada dekad ini.

"Justeru, ia merisaukan orang ramai dan ada peningkatan bilangan kajian serta pemantauan ke atas kejadian autisme," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

12 Januari 2021

Teks Perutusan YAB PM

by

 


1. Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19 pada 24 Oktober 2020 (iaitu sejumlah 1,228 kes). Bermula penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

2. Di dalam gelombang ketiga ini yang bermula pada 20 September 2020, sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga 10 Januari 2021 melibatkan 259 kluster (54.41%) tempat kerja. Data ini menunjukkan peningkatan ketara bilangan kluster baharu di dalam gelombang ketiga berbanding 110 kluster baharu yang direkodkan semasa gelombang kedua dengan 25 kluster (22.72%) melibatkan tempat kerja.

3. Secara keseluruhannya, sebanyak 586 kluster telah direkodkan sehingga 10 Januari 2021 dengan 48.46% daripadanya merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja. Daripada jumlah ini juga, sebanyak 254 kluster masih lagi aktif manakala 332 kluster telah pun diisytiharkan tamat.

4. Sepanjang tempoh gelombang ketiga penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia, trend kes import didapati adalah terkawal tetapi kes-kes penularan tempatan terus meningkat melibatkan golongan bukan warganegara dan warganegara.

5. Pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September 2020, kes-kes lebih tertumpu kepada kumpulan bukan warganegara, iaitu sebanyak 63% dan hanya 37% melibatkan warganegara. Namun perkembangan semasa menunjukkan jangkitan dalam kalangan warganegara semakin meningkat. Sehingga 11 Januari 2021, sebanyak 70% kes positif COVID-19 di Malaysia adalah melibatkan warganegara dan hanya 30% bagi bukan warganegara.

6. Berdasarkan nilai R semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

7. Semakin tinggi nilai R, semakin sukar untuk mengawal penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac telah berjaya menurunkan nilai R kepada 0.335, sekaligus mengurangkan kes jangkitan COVID-19 kepada angka satu (1) hingga dua (2) digit sehari.

8. Trend ini nyata amat membimbangkan dan Kerajaan sedar bahawa pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 ini, sekaligus menurunkan bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh diuruskan dengan lebih berkesan.

9. Kerajaan mendengar keluhan dan cadangan daripada rakyat seluruhnya yang amat bimbang dengan perkembangan peningkatan kes kebelakangan ini. Kerajaan juga sangat memahami beban tugas yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan kita berikutan peningkatan kes yang mendadak. Frontiners kita semakin penat dan kesihatan awam negara semakin tenat.

Saudari saudari yang saya kasihi,

10. Pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari. Our healthcare system is at breaking point. Saya ingin jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang:

I. Lima belas (15) buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

II. Di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus. Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima (5) buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus.

III. Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

IV. Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus. Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua (2) hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.

V. Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).

VI. Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal.

Saudara dan saudari sekalian,

11. Dalam menangani pandemik COVID-19 ini, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

12. Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

13. Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat.

14. The situation today is indeed very alarming. Our healthcare system is under tremendous pressure now than at any other time since the start of the pandemic. As I have said before, unprecedented situations call for unprecedented measures.

15. Justeru berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai Kementerian dan Agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19.

16. Untuk itu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021. Perintah ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan seperti berikut:

a. Pertama, PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

b. Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

c. Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

17. Negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum. KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Saudara dan saudari sekalian,

18. Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali. Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat. Pergerakan rentas negeri adalah TIDAK DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.

19. Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021. Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja. Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, HANYA DUA (2) anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama. Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

20. Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5) sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

21. Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.

22. Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing. Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja. Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.

23. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai essential economic sector. MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

24. Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai essential services, arahan bekerja dari rumah atau work from home akan berkuatkuasa. Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi. Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di tempat kerja.

25. Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi HANYA untuk perkhidmatan take away manakala bagi kawasan PKP-B dan PKP-P, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.

26. Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga. Patuhi SOP ketika berada di tempat-tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer. Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home.

27. Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi. Pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan dilakukan setiap hari.

Saudara dan saudari sekalian,

28. Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021. Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini.

29. Bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum 5 orang. Bagi negeri yang dikenakan PKP-P dan PKP-B, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP. Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan.

30. Saya juga sedar bahawa pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental. Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja. Pastikan jarak anda dari orang lain adalah dua (2) meter setiap masa. Kalau hendak berjogging, jangan lebih daripada dua (2) orang dan kalau berbasikal, janganlah secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja.

Saudara dan saudari yang sangat saya sayangi,

31. Tempoh dua minggu yang akan datang ini amatlah penting untuk bukan sahaja diri kita tetapi juga seluruh Negara. Semua kebebasan yang kita korbankan ini – terputus hubungan dengan rakan-rakan, berada di dalam isolasi di rumah, dan kesukaran untuk melakukan aktiviti social di luar – akan mampu menyelamatkan nyawa kita semua.

32. Virus ini telah pun berada di dalam komuniti dan hidup bersama kita. Janganlah kita merasa terlalu selesa dan akhirnya mengabaikan langkah-langkah pencegahan yang begitu mudah untuk kita amalkan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

33. Saya ingin mengajak pemimpin-pemimpin masyarakat atau community leaders untuk menjaga dan melindungi komuniti masing-masing daripada menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19. Anda semua adalah frontliners di dalam komuniti anda dalam perjuangan melawan virus ini. Jalinkan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, klnik-klinik kesihatan komuniti dan juga majlis daerah untuk mendidik warga komuniti anda supaya mereka juga tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah jangkitan COVID-19 ini.

34. Sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti, satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Menteri Tugas-Tugas Khas telah dibentuk untuk memastikan pelaksanaan langkah pemerkasaan komuniti dengan lebih berkesan.

35. Anggaplah bahawa virus tersebut berada di dalam diri kita agar kita sentiasa berwaspada dan tidak leka dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita bergelak ketawa di luar bersama rakan dan keluarga, tetapi kita sering lupa segala SOP dan petugas-petugas kesihatan kita yang bertungkus-lumus, mengorbankan masa bersama keluarga dan mengeluh bersendirian untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini.

Saudara saudari sekalian,

36. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Januari 2021 di sembilan (9) buah Hospital KKM di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (Clinical Research Centre - CRC) masing-masing.

37. Kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia ini dijangka akan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan dan Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon vaksin inactivated COVID-19 vaccine buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini. Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari Medical Review & Ethics Committee (MREC) dan akhir sekali, Clinical Trial Import License (CTIL) dari NPRA telah diperolehi pada 8 Januari 2021.

38. Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer. Justeru, Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini insya'Allah. Sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat Negara ini berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

39. Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60-70 peratus atau 20-23 juta populasi Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19. Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi. Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

40. Kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia. Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut boleh digunakan di Malaysia.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

41. Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat termasuk diri saya sendiri untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. Ya betul kita akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.

42. Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri melakukan amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap, gunakan hand sanitizer sekiranya tiada punca air yang berdekatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat-tempat awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

43. Bersama, kita berpeluang untuk membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih teruk. Saya sangat berharap agar segala nasihat dan peringatan yang saya sampaikan hari ini akan dipatuhi sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat.

44. Saya beri jaminan bahawa Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk memberi perlindungan kepada seluruh rakyat. Dan saya juga memohon kepada anda semua untuk lakukan yang terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh menang. Insya-Allah.

Sumber : BERNAMA

11 Januari 2021

Kadar pengangguran November 2020 pada paras 4.8 peratus

by

 


Kadar pengangguran meningkat sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding bulan sebelumnya, yang mana jumlah penganggur setakat bulan berkenaan adalah 764,400 individu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berikutan gelombang ketiga pandemik yang berterusan pada November lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan secara berperingkat bagi

membendung peningkatan drastik kes COVID-19 dan seterusnya mengimbangi keperluan di antara sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Katanya, pelaksanaan PKPB yang bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada 14 Oktober 2020 telah diperluaskan ke seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. 

"Semasa PKPB, perjalanan merentas negeri adalah tidak dibenarkan, manakala aktiviti ekonomi terus beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

"Oleh itu, pada November 2020 menyaksikan penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 

"Antara lain, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu," katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, November 2020, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur pada November meningkat sebanyak 2.2 peratus atau bersamaan dengan 16,200 orang, merekodkan 764,400 penganggur (Oktober 2020: 748,200 orang).

Penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3 peratus mencatatkan sejumlah 637,700 orang (Oktober 2020: 623,100 orang), katanya.

"Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 126,700 orang (Oktober 2020: 125,100 orang)."

"Mengenai situasi guna tenaga, pada November, bilangan penduduk bekerja turun sebanyak 11,000 orang kepada 15.2 juta orang (Oktober 2020: 15.21 juta orang) selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.

"Pada bulan berkenaan, kategori pekerja meningkat 0.2 peratus (+19.6 ribu orang) kepada 11.78 juta orang. Sebaliknya, golongan yang bekerja sendiri berkurang sebanyak 0.6 peratus merekodkan 2.41 juta orang. Kumpulan ini sebahagian besar adalah terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai-gerai; freelancers; dan pekebun kecil," katanya.

Merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh, beliau berkata, dalam bulan terakhir tahun 2020, kes baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan di mana secara purata melebihi 1,500 kes sehari.

"Namun, aktiviti ekonomi terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat. Pada bulan itu juga, didapati lebih banyak aktiviti perjalanan domestik berikutan perayaan Krismas, cuti sekolah dan cuti akhir tahun.

"Secara keseluruhannya, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, dijangka permintaan buruh yang lebih perlahan berterusan pada Disember 2020. Sementara itu, penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam situasi yang mencabar ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

6 Januari 2021

Wang i-Sinar sudah mula dikreditkan ke akaun pencarum

by

 

Sebahagian pemohon skim i-Sinar terse­nyum lebar apabila menerima bayaran pertama yang dikreditkan ke akaun bank masing-ma­sing secara berperingkat mulai semalam.

Bayaran melalui akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu dibuat selepas pemohon menerima keputusan permohonan mereka yang boleh di­semak kelmarin menerusi pautan https://isinar.kwsp.gov.my/.

Berkongsi perkara itu, seorang penerima, Ramli Abdul Karim, 48, berkata, dia mengetahui me­ngenai pembayaran i-Sinar itu selepas memeriksa akaun bank miliknya pagi semalam.

“Alhamdulilah, wang berjumlah RM10,000 telah dikreditkan ke akaun saya dan akan menggunakannya bagi melangsaikan hutang tertunggak di bank,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, rata-rata peng­guna laman media sosial berkongsikan kegembiraan me­reka selepas mengetahui status permohonan mereka diluluskan KWSP.

Bagi @puterirajaawan, dia melahirkan rasa syukur selepas permohonannya diluluskan dan meminta orang ramai untuk memeriksa status mereka.

“Alhamdulilah, guys you can now check your i-Sinar application already (kamu semua sudah boleh semak permohonan i-Sinar),” ciapnya.

KWSP sebelum ini menjelaskan pembayaran pertama i-Sinar bagi kategori satu akan dibuat bermula pertengahan Januari 2021.

Bagi kategori dua pula, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Pembayaran selebihnya pula akan dibuat secara bulanan mengikut jumlah dan tempoh permohonan melalui kaedah pengkreditan terus ke dalam akaun bank pemohon.

Sumber :  Kosmo!

Misteri wanita berkebaya di tepi lebuh raya

by

 

Sekitar awal Februari hingga April 2009, kejadian kemalangan di sepanjang laluan Lebuh Raya Utara-Selatan antara Sungai Petani ke Gurun, Kedah kerap dikaitkan dengan gangguan wanita yang memakai kebaya merah.

Kelibat wanita cantik, muda, ramping serta berambut panjang itu dikatakan tiba-tiba muncul di tepi lebuh raya sebelum melintas di hadapan kenderaan.

Pemandu yang terkejut dan ketakutan dikatakan menjadi punca kenderaan dipandu hilang kawalan sehingga terlibat kemalangan.

Difahamkan, kemalangan yang didakwa berlaku selepas melihat sosok tubuh wanita kebaya merah itu tidak pernah mengakibatkan kematian.

Pada 5 Februari 2009, seorang lelaki mendakwa melihat satu ‘lembaga’ menyerupai wanita berkebaya merah berdiri bersebelahan isterinya semasa mereka berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Gurun.

Lelaki itu mendakwa, wanita misteri itu turut dirakam dalam gambar yang diambilnya pada pukul 5.30 pagi, sedangkan ketika itu tiada sesiapa di kawasan berkenaan.

Lebih mengejutkan katanya, selepas melihat semula rakaman itu, didapati tiada wanita cantik berkebaya merah yang dirakam, sebaliknya wajah lembaga itu bertukar mengerikan dengan muka seperti beruk, pipi lebar dan mulut muncung panjang.

Selepas kejadian itu, kisah misteri hantu wanita berkebaya merah itu sudah tidak lagi kedengaran.

Bagaimanapun, dua pengguna laluan itu mendakwa mengalami kejadian pelik di lokasi tersebut, baru-baru ini.

Kejadian pertama dialami seorang jurukimpal dari Taman Ria Jaya, Gurun lebih sebulan lalu semasa dia dalam perjalanan pulang menjenguk ibunya di Perlis.

Menurut Sitanor Salim, 53, sebaik melepasi plaza tol kira-kira pukul 6 petang, dia yang memandu berseorangan berasa seram sejuk sebelum tangan dan dahinya berpeluh secara tiba-tiba.

“Ketika itu hujan renyai dan cuaca sejuk tetapi sebaliknya suasana di dalam kereta saya terasa begitu panas sekali walaupun sistem pendingin hawa kereta berfungsi dengan baik.

“Semasa melalui kawasan sebuah kolej, saya terpandang dari jauh seorang wanita memakai pakaian berwarna merah berdiri berseorangan di bahu jalan,” katanya.

Menurut Sitanor, dia memperlahankan keretanya dengan niat untuk membantu tetapi sebaik menghampiri kawasan berkenaan kelibat wanita muda itu tiba-tiba hilang daripada pandangannya.

“Pada waktu itus seluruh badan saya mula berpeluh dan terasa kereta Proton Perdana yang dipandu menjadi berat dan bergerak perlahan.

“Saya kemudian membaca ayat Kursi berulang kali dan sejurus selepas itu kereta kembali lancar, manakala peluh di badan kering serta-merta.

“Sambil memandu saya menjeling melalui cermin pandang belakang tetapi kelibat wanita itu tidak lagi kelihatan dan apa yang bermain di fikiran ketika itu adalah mungkin ia usikan wanita berkebaya merah,” katanya.

Sementara itu seorang pengguna lebuh raya, Zulkifli Yaakob, 45, pula mengalami gangguan aneh kira-kira sebulan lalu sekitar pukul 1.50 pagi ketika dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani dari rumah bapanya di Pendang.

“Ketika melalui kawasan berdekatan R&R Gurun, saya terkejut selepas melihat seorang wanita berselimut kain putih sedang melintas jalan kira-kira 50 meter di hadapan.

“Bagi melihat lebih jelas saya menggunakan lampu tinggi tetapi lebih mengejutkan sebaik dilimpahi cahaya lampu kereta, selimut yang membaluti tubuh wanita itu bertukar kepada warna merah.

“Dalam keadaan tergamam dengan kejadian itu, saya mula membaca beberapa ayat al-Quran yang pendek dan objek itu kemudian hilang secara perlahan-lahan daripada pandangan.

“Ini merupakan pengalaman aneh kali pertama yang ditempuhi dan pada saya, itu mungkin usikan hantu wanita berkebaya merah seperti yang pernah didengari 11 tahun lalu itu,” katanya.

Sumber : Kosmo!

5 Januari 2021

Pekerja mahir teknologi dapat permintaan tinggi

by

 

Sektor pekerjaan dalam industri yang disokong teknologi seperti e-dagang, teknologi kewangan (fintech), logistik & rantaian bekalan, pembuatan, penyelidikan & pembangunan (R&D) selain teknologi perubatan dan bioteknologi akan terus berkembang kukuh tahun ini.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass, berkata ketersediaan teknologi organisasi yang menjadi aspek tumpuan kritikal pada tahun lalu, dijangka berterusan bagi tahun-tahun akan datang, sekali gus bakal membentuk pekerjaan dan permintaan kepada bakat tempatan tahun ini.

"Akan wujud permintaan terhadap bakat berkemahiran tinggi termasuk dalam aspek internet untuk segalanya (IoT), pembangunan perisian, perkomputeran awam, kecerdasan buatan (AI), teknologi blockchain, robotik, migrasi projek dan perubahan pengurusan.

"COVID-19 dijangka terus memberi impak kepada perniagan serta tahap keyakinan pengguna dan pertumbuhan Malaysia juga akan bergantung kepada kedua-dua faktor iaitu pemulihan global dan prestasi pasaran domestik.

"Dengan perubahan dan inovasi yang berterusan, syarikat perlu kekal berdaya saing dan meneroka pertumbuhan perniagaan baharu pada tahun ini," katanya dalam laporan Unjuran Pasaran dan Penggajian 2021.

Randstad adalah agensi pengambilan pekerja global yang menyediakan perkhidmatan termasuk padanan pekerjaan.

Dass berkata, memandangkan pengambilan agensi bakat global memberi tumpuan kukuh kepada pasaran tempatan, adalah penting bagi Malaysia mula mencipta pekerjaan bagi membolehkan negara mencapai pemulihan dan pertumbuhan bersama.

Katanya, bagi meningkatkan peranan teknologi yang semakin meningkat, wujud keperluan untuk kemahiran digital dalam semua aspek fungsi organisasi termasuk kewangan dan perakaunan, sumber manusia, jualan dan pemasaran, penyelidikan dan pembangunan serta risiko dan pematuhan.

"Pengangguran berstruktur negara dan penstrukturan semula perniagaan domestik menyebabkan peningkatan kadar pengangguran. Bagaimanapun, kita melihat peluang yang penting sering wujud dalam masa-masa penuh mencabar ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata selaras dengan unjuran organisasi itu berhubung pertumbuhan pasaran, bakat berpengalaman dalam keselamatan siber, pengembangan aplikasi dan pemasaran digital adalah sangat diperlukan tahun ini.

"Walaupun objektif pekerjaan sama, caranya berfungsi sangat berbeza dari masa lalu. Sebagai contoh, pegawai pengalaman pelanggan kini diminta untuk merancang aliran sembang dan mengembangkan kandungan untuk 'chatbots' dan bukannya berinteraksi dengan pelanggan sendiri.

"Banyak majikan mencari calon yang memiliki kemahiran komunikasi yang terbaik (dalam semua peranan teknologi). Ini adalah keperluan yang semakin meningkat bagi ahli teknologi untuk menyampaikan kemajuan, keperluan dan hasil yang berkesan terhadap perniagaan, pengurusan kanan serta pelabur," katanya.

Sumber : Berita Harian

4 Januari 2021

Semakan Status Keputusan Permohonan i Sinar KWSP

by

 

Pihak KWSP sudah mengeluarkan Semakan Status Keputusan Permohonan i-Sinar KWSP. Semakan boleh dibuat di : https://isinar.kwsp.gov.my/check-status

 

 

SOALAN LAZIM i SINAR KWSP

1. Apa itu i-Sinar?
i-Sinar merupakan kemudahan untuk Ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.



2. Apakah kriteria untuk saya memohon i-Sinar?

Kriteria kelayakan terbahagi kepada 2 kategori seperti di bawah:

Kategori 1 Kategori 2

Ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, dan:

  • Anda sudah lama tidak mencarum
  • Anda seorang suri rumah
  • Anda bekerja sendiri dan bekerja di sektor ekonomi gig
  • Anda hilang pekerjaan
  • Anda diberi cuti tanpa gaji
  • Anda hilang sumber pendapatan

Tiada dokumen perlu disertakan bersama permohonan. Kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP:

  • Tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya dua (2) bulan berturut-turut semasa permohonan; ATAU
  • Mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas sejak 1 Mac 2020.

Ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas (jumlah gaji, elaun dan elaun kerja lebih masa) sejak 1 Mac 2020.

Permohonan ini perlu disertakan bersama dokumen berikut:

  • Slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; DAN
  • Notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa; DAN/ATAU
  • Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.



3. Bila dan bagaimanakah saya boleh memohon i-Sinar?
  1. Sekiranya anda tergolong dalam Kategori 1, anda boleh mula memohon pada 21 Disember 2020.
  2. Bagi anda yang tergolong dalam Kategori 2 pula, permohonan boleh dibuat bermula 11 Januari 2021.
  3. Permohonan i-Sinar hanya secara online di laman web isinar.kwsp.gov.my



4. Apakah perkara penting yang perlu saya lakukan sebelum memohon i-Sinar?
  1. Bagi melancarkan urusan permohonan nanti, anda digalakkan untuk mendaftar nombor telefon bimbit anda di cawangan atau kios KWSP dan mengemas kini maklumat melalui aplikasi atau portal i-Akaun.
  2. Pastikan akaun bank yang diberikan kepada KWSP semasa pendaftaran:
    1. Masih aktif
    2. Milik anda
    3. Bukan Akaun Bersama (Joint Account)
Nota:
  1. Pastikan urusan pendaftaran nombor telefon bimbit anda di kios atau cawangan KWSP dirancang sebaik mungkin.
  2. KWSP sentiasa mengamalkan SOP yang ketat sepanjang tempoh pandemik ini sebagai langkah-langkah penting untuk menjaga kesihatan dan keselamatan ahli.



5. Bagaimanakah caranya saya boleh menyemak baki simpanan Akaun 1 saya?

Anda boleh menyemak baki simpanan Akaun 1 secara online melalui aplikasi atau portal i-Akaun atau cawangan atau kios KWSP yang terdekat.




6. Bila dan bagaimanakah pembayaran i-Sinar saya akan dibuat?
  1. Bagi kategori 1, pembayaran pertama i-Sinar akan dibuat bermula pertengahan Januari 2021.
  2. Bagi kategori 2, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat. Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.
  3. Pembayaran selebihnya akan dibuat secara bulanan mengikut jumlah dan tempoh permohonan anda.
  4. Pembayaran akan dilakukan melalui kaedah pengkreditan terus (direct credit) ke dalam akaun bank milik anda.



7. Berapakah amaun kelayakan i-Sinar?

Amaun kelayakan i-Sinar adalah berdasarkan baki simpanan Akaun 1 Ahli seperti berikut:

Baki Simpanan Akaun 1: RM100,000 dan ke bawah Baki Simpanan Akaun 1: Lebih dari RM100,000
Pengeluaran sehingga RM10,000 (Tertakluk kepada baki simpanan minimum RM100 dalam Akaun 1). Pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan (Tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000).
Bayaran bulan pertama mengikut pilihan anda sehingga maksimum RM5,000. Bayaran bulan pertama mengikut pilihan anda sehingga maksimum RM10,000.

Bayaran selebihnya adalah minimum RM1,000 sebulan (Tertakluk kepada baki bayaran bulan terakhir dengan amaun bayaran minimum RM50)

Dibayar dalam tempoh sehingga 6 bulan.

Bayaran selebihnya adalah minimum RM1,000 sebulan.

Dibayar dalam tempoh sehingga 6 bulan.

Baki Akaun 1 Amaun pengeluaran maksimum Pembayaran bulan pertama
RM4,500 RM4,400 RM4,400
RM10,000 RM9,900 RM5,000
RM70,000 RM10,000 RM5,000
RM100,000 RM10,000 RM5,000
Baki Akaun 1 Amaun pengeluaran maksimum Pembayaran bulan pertama
RM100,001 RM10,000 RM10,000
RM500,000 RM50,000 RM10,000
RM800,000 RM60,000 RM10,000



8. Adakah saya perlu membayar semula amaun i-Sinar yang dikeluarkan?

Anda tidak perlu membayar semula.




9. Jika saya telah memohon Pengeluaran i-Lestari, bolehkah saya memohon i-Sinar?

Boleh. Anda yang sedang menerima bayaran bulanan Pengeluaran i-Lestari juga boleh memohon i-Sinar.

 

Sumber : KWSP


Adha Zain

 

 

2 Januari 2021

Wajah comel Fatima anak Fattah dan Fazura

by

 

Selepas dua bulan menyambut kelahiran bayi sulung, pasangan selebriti, Fattah Amin dan Nur Fazura buat kali pertama berkongsi wajah puteri tersayang, Nur Fatima Aisya kepada peminat. Foto keluarga itu dikongsi pasangan berkenaan dalam akaun Instagram (IG) rasmi mereka, tepat pada jam 12 tengah malam.

Pada foto itu, Fatima yang didukung Fazura, tampak comel dalam persalinan gaun berenda dan bertopi.

Melalui entri itu, Fattah dan Fazura mengucapkan selamat menyambut tahun baharu 2021 kepada peminat dan pengikut mereka.

"Selamat Tahun Baharu 2021. Salam Sayang. Fattah, Fazura dan Fatima," kata pasangan itu.

 Sumber : Berita Harian

 

 

 

Top Ad 728x90