30 Januari 2021

Majoriti rakyat tak muat turun antivirus telefon pintar

 

Majoriti rakyat tidak memuat turun aplikasi antivirus menerusi telefon pintar masing-masing bagi mengelak serangan siber.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia (CSM), Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab, berkata tindakan memuat turun aplikasi terbabit sepatutnya menjadi perkara asas dalam melindungi maklumat dan data peribadi.

"Kita semua ada telefon pintar, tetapi berapa ramai antara kita yang memuat turun aplikasi antivirus. Soalan ini yang banyak kita tanya ketika pergi seminar dan program kesedaran.

"Apabila kita tanya, majoriti tidak ada (memuat turun antivirus di telefon pintar) sedangkan jika kita ada komputer riba dan set komputer, kita memuat turun antivirus ini. 

"Sebenarnya ia perkara asas dalam konteks keselamatan siber daripada sudut individu dan teknikal," katanya pada program Bicara Naratif Ancaman Siber yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Md Shah Nuri Md Zain.

Mengulas lanjut, Amiruddin menasihatkan orang awam lebih berhati-hati ketika berkongsi masalah dan maklumat peribadi ketika melayari media sosial terutama Facebook.

"Sekarang orang yang menggunakan Facebook ini akan bercerita aktiviti mereka bermula dari bangun pagi hingga malam disertakan lokasi dan gambar.

"Mereka berkongsi semua perkara, tetapi jika berkongsi terlalu banyak cerita atau masalah, ia mengundang kecuaian sebab terlalu banyak memberi maklumat.

"Nasihat kami ialah selesaikan masalah itu dan jangan paparkannya atau berkongsi di Facebook," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90