13 Februari 2021

,

1.4 juta peminjam mohon bantuan

 

Pelaksanaan moratorium automatik sepenuhnya bukan jalan penyelesaian terbaik untuk ekonomi dan rakyat.

  Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, moratorium bersasar dilihat lebih bersesuaian kerana ia meletakkan pilihan di tangan peminjam untuk membuat keputusan kewangan mereka.

  Katanya, moratorium automatik sepenuhnya juga menyebabkan individu dan perniagaan lebih sukar mendapatkan pinjaman kerana bank akan memilih untuk menghindari risiko.

  "Bantuan kewangan kepada individu dan perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak pernah berhenti.

  "Justeru, mereka yang berdepan masalah diminta segera berhubung dengan bank masing-masing bagi mendapatkan bantuan kewangan bersesuaian dengan situasi kewangan mereka," katanya pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku keempat 2020 secara maya, semalam.

  Menurutnya, setakat ini, 1.4 juta peminjam memohon bantuan bayaran balik pinjaman, dengan kadar kelulusan 95 peratus.

 Nor Shamsiah berkata, 45 peratus daripada peminjam yang menerima bantuan pembayaran balik pinjaman memilih mengurangkan ansuran bulanan berbanding meminta moratorium, malah ia membabitkan peminjam dan isi rumah dalam kumpulan berpendapatan rendah atau B40.

 Katanya, ini menunjukkan peminjam membuat pilihan tepat menguruskan hutang berdasarkan apa yang mereka mampu dan tidak memohon moratorium.

  Sementara itu, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini dijangka lebih baik berbanding tahun lalu terutama disokong pemulihan permintaan global dan pelaksanaan program vaksin.

  "Ekonomi Malaysia akan pulih disokong permintaan luaran yang lebih baik dan langkah Belanjawan 2021.

  "Walaupun pertumbuhan jangka pendek pada tahun ini dipengaruhi pelaksanaan semula langkah pembendungan lebih ketat, namun kesannya tidak seteruk dialami pada tahun lalu," katanya.

Sumber : Harian Metro

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90