13 Februari 2021

,

Bayaran one-off RM500 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan mulai 1 Mac

 

Bayaran one-off sebanyak RM500 kepada anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan wabak Covid-19 akan mula dibayar pada 1 Mac ini. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, mereka boleh membuat tuntutan bayaran itu bermula bulan ini.

Beliau berkata, pemberian bayaran tambahan kepada Elaun Khas Covid-19 diharap dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan kementerian dalam meneruskan perjuangan memerangi wabak Covid-19. 

“Kerajaan melalui Belanjawan 2021 telah mengumumkan pemberian one-off sebanyak RM500 bagi menghargai pengorbanan dan komitmen anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan dalam membendung wabak ini. 

“Pemberian ini merupakan tambahan kepada Elaun Khas Covid-19 sedia ada yang dibayar kepada petugas kesihatan yang diarah untuk melaksanakan skop tugas dalam rantaian pengurusan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Adham, individu yang layak menerima bayaran tersebut termasuk anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung melaksanakan skop tugas dalam rantaian pengurusan wabak Covid-19.

Katanya, ia sebagaimana menurut Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Bilangan 2 Tahun 2020 bertarikh 16 Mac 2020 dan Surat Edaran Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan pada 21 April 2020. 

“Sehubungan itu, Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan akan dikeluarkan bagi menjelaskan pelaksanaan pemberian tersebut,” katanya. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa seramai 100,000 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan bakal menerima bayaran one-off berjumlah RM500 itu. 

Sumber: UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90