6 Februari 2021

COVID-19: IMR kaji sampel alternatif untuk RTK-Antigen

 


Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengkaji sampel alternatif untuk RTK-Antigen, selain kaedah semasa yang mana kedua-dua ujian RT-PCR dan RTK-Antigen menggunakan sampel yang diambil hasil calitan pada bahagian hidung dan tekak.

Ketua Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit IMR, Dr T Ravindran, berkata pihaknya sudah membuat pemantauan terhadap penggunaan air liur pada awal pagi dan kahak dalaman sebagai sampel alternatif untuk ujian RT-PCR.

"Keputusan ujian mendapati sampel berkenaan sama baik dengan sampel hidung dan tekak yang digunakan ketika ini.

"Penemuan ini bakal mengurangkan penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE). Ketika ini, IMR melihat untuk penggunaan sampel ini bagi ujian RTK-Antigen," katanya pada sesi taklimat pada Libat Urus Darurat COVID-19 bersama media secara maya, hari ini.

Libat urus itu disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) KKM, Dr Hani Mat Hussin; Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Amalan Perubatan, KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail manakala Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim sebagai moderator.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, setiap ujian yang diperkenalkan dengan cara baharu perlu melalui ujian ketepatan oleh IMR.

Mengenai penggunaan kahak dalaman sebagai sampel untuk ujian RT-PCR dan RTK-Antigen, beliau berkata, ia akan dilakukan oleh petugas kesihatan.

"Mereka perlu dilatih untuk mengambil sampel," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90