7 Februari 2021

, ,

J&T mohon maaf isu pekerja mogok

 

Syarikat kurier, J&T Express (J&T) memohon maaf kepada pelanggannya di seluruh negara berhubung kejadian pekerja mogok dan membaling barang yang tular di media sosial. J&T dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, insiden berlaku disebabkan kakitangan kurang jelas mengenai sistem pengagihan bonus sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu.

"Sebenarnya J&T sudah memberikan pembayaran pekerja akhir tahun selepas membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus serta undang-undang perburuhan.

"Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang bekerja selama tempoh satu tahun dan ia (bonus) dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun," katanya dalam satu kenyataan.

J&T turut memaklumkan, disebabkan masalah itu ada segelintir kakitangan yang kurang jelas berhubung sistem pengagihan bonus, sekali gus menyebabkan pengagihan bungkusan secara kasar, selain menghasut pekerja melakukan gangguan bersama dan menyebarkan rakaman video di media sosial.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan hub di negeri Perak segera menangani dan menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku.

"Pada 5 Februari lalu, pekerja kembali menjalankan tugas seperti biasa untuk menyusun dan memproses bungkusan pelanggan.

"Kami ingin menjelaskan, J&T tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja dan bersedia menerima pengawasan dan pemeriksaan oleh masyarakat, selain institusi yang terbabit," katanya.

Kenyataan itu juga berkata, J&T komited meningkatkan pampasan dan faedah pekerja dari semasa ke semasa serta mempromosikan pembangunan ekonomi sosial dan industri e-dagang Malaysia.

Dalam pada itu, J&T turut memberi maklum balas mengenai aduan pelanggan mengenai pekerja syarikat terbabit yang didakwa mencuri makanan dan minuman daripada bungkusan pelanggan.

"Disebabkan peningkatan pesat jumlah bungkusan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak kami (J&T) mengambil lebih banyak bungkusan daripada masyarakat.

"Dalam tempoh itu, syarikat mengupah lebih ramai pekerja sementara dan hanya memberikan latihan yang asas kepada mereka.

"Ini adalah kesalahan dalam pengurusan dan kami juga sudah merumuskan peraturan dan kaedah pengurusan baharu, khususnya untuk penyelesaian dan pengawasan insiden serupa serta menyelesaikan bungkusan yang hilang dengan cepat," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.

Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan dalam bungkusan.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90