7 Februari 2021

, , ,

Peruntukan besar vaksinasi bolehkan Malaysia capai sasaran imuniti kelompok

Vaksinasi Covid 19

 

Peruntukan besar untuk perolehan vaksin COVID-19 sebanyak RM3 bilion melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) mampu memberi kesan secara langsung dalam usaha mempercepatkan lekuk jangkitan melandai.

Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata sekiranya negara mendapat kerjasama daripada pembekal vaksin mengikut jadual ditetapkan, ia amat membantu rakyat dalam menuju kepada imuniti kelompok dalam tempoh setahun.

"Dari segi kesan langsungnya saya lihat vaksinasi itu amat membantu, dengan peruntukan RM3 bilion itu dan jika ia boleh membantu kelancaran program vaksinasi mengikut jadual, ia akan membantu melandaikan jangkitan COVID-19.

"Namun, apa yang penting, negara perlu mencapai imuniti kelompok dengan memberikan suntikan kepada 80 peratus penduduk yang mana menurut jawatankuasa bebas, ia mengambil masa lebih 300 hari untuk menjayakannya. Kita harap peruntukan besar itu boleh membantu," katanya.

Di bawah matlamat pertama PERMAI iaitu memerangi COVID-19, kerajaan mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi bekalan tambahan barisan hadapan, iaitu RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan RM200 juta bagi Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi lain yang terbabit.

Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan PPE, terutama kepada petugas kesihatan.

Jumlah itu adalah sebagai tambahan kepada peruntukan RM3 bilion yang sudah diumumkan sebelum ini bagi perolehan vaksin COVID-19 dengan vaksinasi seawal Mac ini sepanjang 12 bulan untuk 27 juta rakyat, selain menambah 3,500 anggota kesihatan dengan peruntukan RM150 juta.

Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya Khamis lalu, vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19.

Dengan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini yang dibahagikan kepada tiga fasa. 

Selain itu, dalam usaha untuk memerangi wabak COVID-19, seramai 8,000 petugas kesihatan tambahan untuk Kementerian Kesihatan sudah diluluskan tahun lalu. Mengambil kira situasi semasa, Kerajaan juga menambah lebih 3,500 anggota kesihatan dengan peruntukan tambahan RM150 juta. Mereka terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.

Menyentuh mengenai penambahan kakitangan, Dr Awang Bulgiba berkata, langkah itu disifatkan sebagai keperluan mendesak dan mereka boleh ditempatkan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).

Ini kerana dalam menuju kepada inisiatif untuk melaksanakan program vaksinasi lebih ramai kakitangan kesihatan diperlukan dan penambahan jumlah golongan barisan hadapan itu amat membantu.

Bagi Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Halimatus Sakdiah Minhat, pula dengan peruntukan kerajaan bagi penambahan kakitangan kesihatan berupaya meringankan beban kerja serta tekanan dialami mereka mahupun secara fizikal atau mental. 

Beliau berkata, ia mampu meningkatkan produktiviti golongan barisan hadapan berikutan kakitangan kesihatan sekarang di bawah tekanan yang secara langsung dapat menjejaskan kualiti khidmat dalam usaha mengekang COVID-19 dalam kalangan komuniti.

Namun demikian, katanya, penambahan kakitangan kesihatan itu haruslah membabitkan mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan atau pengalaman dalam bidang berkaitan supaya tidak menjadi beban kepada kakitangan sedia ada.

Sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan, dalam Belanjawan 2021 kerajaan mengumumkan pemberian sekali beri RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, dan RM300 kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini.

Bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan hingga wabak COVID-19 ini berakhir. 

Sumber :  Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90