25 Februari 2021

,

Vaksin COVID-19 halang penyakit, tetapi adakah ia hentikan jangkitan?

 


Seperti laporan minggu ini dari Scotland dan Israel - di mana ramai atau sebahagian besar penduduk dijangkiti COVID-19 - mengesahkan bahawa vaksin sebahagian besarnya mencegah orang ramai daripada jatuh sakit.

Namun, satu lagi persoalan muncul: Adakah ia juga menyekat jangkitan?

Pakar berkata, vaksin yang dilancarkan di seluruh dunia tidak hanya mencegah gejala tetapi juga virus itu sendiri, justeru ia dapat melambatkan penyebaran patogen dan mempercepat keadaan kembali normal.

"Sekiranya kesan sebenar terhadap jangkitan sangat tinggi, itu akan menjadi berita baik kerana itulah yang kita perlukan untuk mencapai imuniti kelompok," kata Marc Lipsitch, pengarah Pusat Dinamik Penyakit Berjangkit di Harvard T.H. Chan School of Public Health, memberitahu AFP.

Imuniti kelompok dicapai apabila sebahagian besar populasi - anggarannya sekitar antara 60 hingga 80 peratus - telah memperoleh pertahanan terhadap virus, sama ada melalui vaksinasi atau kerana mereka terselamat daripada jangkitan.

Namun, jika vaksin Pfizer, Moderna dan AstraZeneca - dan mungkin vaksin lain yang dibuat di China, Russia dan India - melindungi dengan lemah daripada jangkitan, mungkin mereka yang telah disuntik vaksin sekalipun tetap berpotensi menyebarkan virus, bukan pembawa yang tidak disengaja.

"Kebimbangan besar selain vaksin mencegah penyakit, kemasukan ke hospital dan kematian ialah ia tidak cukup untuk membantu mencegah penularan," kata Peter English, perunding kawalan penyakit berjangkit dan bekas ketua Jawatankuasa Perubatan Kesihatan Awam Persatuan Perubatan Britain yang berpusat di United Kingdom (UK), kepada AFP.

Dalam senario itu, masyarakat dan negara mungkin sudah mulai mengabaikan pemakaian pelitup muka secara meluas, penjarakan fizikal dan perintah sekatan keras sehingga kempen vaksinasi dapat disudahkan.

"Terdapat juga risiko yang lebih besar bahawa varian baharu 'kebal' terhadap vaksin dan virus terus beredar," kata English.

Beberapa varian seperti itu - lebih menular, lebih berbahaya atau kedua-duanya - telah berkembang biak di England, Afrika Selatan dan Brazil kerana virus SARS-CoV-2 mencari 'perumah' baru, fasa yang dapat diramalkan dalam evolusi pandemik.

Namun, kajian baru-baru ini bersama dengan vaksin yang masih diuji memberikan alasan untuk optimis.

Penyelidikan yang merangkumi keseluruhan penduduk Scotland berjumlah 5.4 juta - satu perlima disuntik dengan vaksin Pfizer atau Oxford/AstraZeneca - memberikan pengesahan bahawa vaksin mencegah simptom dan penyakit COVID-19 lebih dari 90 peratus.

Satu kajian yang diterbitkan di New England Journal of Medicine semalam - membandingkan dua kumpulan di Israel masing-masing setiap satu hampir 600,000 orang, satu diberi vaksin dan satu lagi tidak - juga melaporkan penurunan penyakit selaras dengan ujian klinikal.

Penemuan Israel juga menunjukkan jangkitan menurun secara mendadak dalam kalangan yang diberi vaksin - sebanyak 92 peratus di antara mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu selepas mendapat suntikan dos kedua.

Menurut English, tahap perlindungan sebenarnya mungkin tidak begitu tinggi kerana Israel tidak menguji COVID-19 secara sistematik dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai gejala.

"Mereka mungkin gagal mengesan beberapa kes asimtomatik (tidak bergejala), dan kita tahu bahawa orang tanpa gejala masih boleh menyebarkan jangkitan.

"Namun, hasilnya masih memberangsangkan. Penemuan ini memberi kita harapan bahawa vaksinasi sekurang-kurangnya dapat menghalang virus daripada terus menyebar," katanya menjelaskan bahawa jika ia benar-benar berjaya, akhirnya kita tidak lagi perlu mengambil tindakan seperti perintah sekatan atau pemakaian pelitup muka untuk membendung penularan.

"Tetapi walaupun terdapat beratus-ratus kajian, serta ujian klinikal ketat membabitkan puluhan ribu orang dan menghasilkan puluhan vaksin yang berjaya, kita masih belum tahu seberapa bagus ia menyekat jangkitan?

"Apa yang paling dipentingkan oleh masyarakat global, pertanyaan yang mereka inginkan dijawab dengan cepat, adalah seberapa bagus vaksin mencegah penyakit," katanya, sambil memberitahu ujian klinikal dirancang dengan mempertimbangkan hal itu. 

Sumber : AFP

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90