24 Mac 2021

,

Antibodi kanak-kanak bertindak lebih kuat terhadap COVID-19 - Kajian

 

Kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah menghasilkan lebih banyak antibodi dalam tindak balas kepada jangkitan coronavirus berbanding golongan belia dan dewasa, menurut satu kajian yang didedahkan kelmarin.

Pengarang kertas kajian itu yang diterbitkan JAMA Network Open berkata, dapatan itu membantu menjelaskan mengapa kanak-kanak kurang terjejas oleh jangkitan COVID-19 yang teruk berbanding golongan dewasa - meskipun ia masih sedang dikaji dan pelbagai faktor dipercayai memainkan peranan.

Sebuah pasukan yang dipimpin oleh pengkaji dari Weill Cornell Medicine mengkaji hampir 32,000 ujian antibodi dari New York antara April hingga Ogos 2020.

Pasukan itu mendapati bahawa kadar sama dalam kalangan 1,200 kanak-kanak dan 30,000 orang dewasa menunjukkan tanda-tanda jangkitan lalu - masing-masing 17 peratus dan 19 peratus.

Saintis terbabit kemudian mengkaji sebuah kumpulan lebih kecil pesakit yang diuji positif - 85 kanak-kanak dan 3,648 orang dewasa bagi menentukan tahap antibodi imunoglobulin G (IgG).

Ini adalah jenis utama antibodi 'meneutralkan' yang mengikat protein lonjakan virus, menghalangnya menyerang sel-sel.

Seramai 32 kanak-kanak berusia antara 1 dengan 10 tahun menunjukkan tahap IgG median hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding 127 remaja berusia antara 19 hingga 24 tahun.

Akhir sekali, mereka menumpukan kepada sebuah kumpulan lebih kecil iaitu 126 pesakit antara 1 hingga 24 tahun, yang tidak pernah mengalami penyakit teruk akibat COVID-19 bagi menentukan lebih lanjut ciri tindak balas antibodi.

Dalam kumpulan terakhir ini, kanak-kanak berusia 1 hingga 10 tahun secara purata mempunyai lebih dua kali ganda tahap antibodi IgG berbanding golongan remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun.

Golongan terbabit pula mempunyai dua kali ganda tahap purata antibodi berbanding golongan dewasa muda berusia antara 19 dengan 24 tahun.

Penulis kajian menulis: "Dapatan kami menunjukkan bahawa perbezaan pada manifestasi klinikal COVID-19 dalam kalangan pesakit kanak-kanak berbanding pesakit dewasa antaranya mungkin disebabkan oleh tindak balas daya tahan tubuh berkaitan usia."

Satu kertas kajian yang diterbitkan dalam Nature Communications bulan lalu oleh pengkaji Australia menunjukkan bahawa kanak-kanak mempunyai daya tahan tubuh 'semula jadi' yang lebih aktif - iaitu barisan pertahanan pertama sistem imun yang tercetus sebelum ia mengeluarkan antibodi dan membabitkan sel-sel seperti neutrofil yang mengesan jangkitan dalam tubuh. 

Sumber : AFP

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90