10 Mac 2021

COVID-19 antara punca utama kemahiran 3M murid terjejas

Kemahiran membaca menulis mengira

 

Oleh Hazhari Ismail

Pensyarah, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Antara hala tuju pendidikan prasekolah negara ialah menyasarkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) berada pada tahap yang sepatutnya sebelum murid masuk ke Tahun Satu.

Kemahiran 3M mempunyai proses tertentu untuk dikuasai dengan baik supaya pembelajaran di sekolah rendah menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, sehingga Oktober 2020, murid kehilangan 54 hari atau 3240 jam waktu persekolahan yang menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk meningkatkan kemahiran 3M.

Dua bulan pertama persekolahan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan adalah tempoh kanak-kanak ini hendak menyesuaikan diri dengan keadaan persekolahan yang menyeronokkan, namun ia terhenti. 

Nyanyian lagu kanak-kanak, bacaan buku cerita, contengan bebas di tadika bersama kawan-kawan terpaksa dilupakan dan digantikan dengan gajet yang ada sebahagiannya berebut dengan adik beradik lain atau terputus talian internetnya malah terdapat murid yang tiada sebarang peranti pun.

Secara jelas, penutupan sekolah antara punca utama kenapa pencapaian kemahiran 3M berada di tahap yang membimbangkan jika tiada sokongan dan bimbingan yang baik.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) jumlah keciciran pelajar sedia akan meningkat enam kali ganda jika tiada langkah pencegahan diambil sekali gus meningkatkan jurang sistem sosio ekonomi negara.

Melihat daripada hasil kajian #untukMalaysia, 79.5 peratus atau lapan daripada 10 kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai mereka yang tercicir adalah golongan B40.

Jurang ekonomi yang tinggi, menyebabkan peluang mereka kepada akses pendidikan dipinggirkan. Inilah gangguan pembelajaran atau 'interrupted learning' yang dicanangkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai kesan yang merugikan kepada negara.

Usah bercerita mengenai teknologi untuk pembelajaran dalam talian jika mereka masih berjuang untuk mendapatkan sesuap nasi.

Kesan pada murid luar bandar

Apabila proses kemahiran 3M ini tidak dijadualkan dengan baik kepada kanak-kanak, mereka mempunyai masalah di sekolah rendah. Pada 2018, di daerah Kuantan sahaja 3,677 daripada 8,256 murid Tahun Satu masih lagi tidak tahu mengenal huruf seperti yang dihebahkan sebelum pandemik berlaku. Itu hanya statistik untuk Tahun Satu, bagaimana pula dengan tahun yang berikutnya? Lebih membimbangkan, ia adalah hasil kajian dari kawasan bandar, bagaimana pula dengan luar bandar?

Kanak-kanak ini perlu mendapat akses pendidikan yang sepatutnya kerana ia adalah hak dan bukan pilihan. Hanya dengan pendidikan mampu merubah status kelas sosial mereka dan keluar daripada kemiskinan. Kita tidak mahu kanak-kanak di bandar sedang bermewah dilimpahi teknologi dan kemudahan, sedangkan di satu kawasan yang lain, mereka masih tidak tahu membaca.

Banyak badan bukan kerajaan bersiap siaga untuk membantu kanak-kanak tercicir ini daripada pelbagai aspek kerana masalah kanak-kanak bukan sahaja dari segi kognitif dan sosialnya, malah emosi mereka juga turut perlu dibantu. Pengabaian kanak-kanak boleh menyebabkan kita mendera bukan sahaja secara fizikal, malah mencakupi pengabaian emosi. 

Murid tercicir

Dasar penutupan sekolah ini bagaimanapun diamalkan di seluruh dunia sebagai respons pantas bagi mengurangkan hubungan sosial sebagai usaha menghentikan penularan wabak COVID-19.

Tindakan itu membabitkan sekitar 1.5 bilion kanak-kanak seluruh dunia dari 192 buah negara.

Bagaimanapun, sehingga hari ini keberkesanan tindakan penutupan sekolah masih diragui, dan dalam pada masa yang sama pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berdepan dengan akibat yang buruk.

Kajian menunjukkan antara implikasi negatif yang dihadapi oleh kanak-kanak ialah masalah pengambilan makanan (kurang makan daripada biasa), corak tidur yang tidak tetap, tempoh penggunaan skrin yang lebih lama, kekurangan aktiviti fizikal, peningkatan stres, serta kekurangan interaksi sosial bersama rakan-rakan. Hal ini mampu mengakibatkan risiko masalah kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak pada masa akan datang.

Dalam situasi yang biasa, persekolahan yang formal menyediakan ilmu dan pengetahuan untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak secara optimum.

Namun, hal ini ini tidak dapat disediakan di era pandemik COVID-19 sekali gus menyaksikan 150 juta daripada kanak-kanak seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada pendidikan. Apa yang lebih membimbangkan ialah kanak-kanak ini bukan sahaja berdepan dengan masalah akses pendidikan, malah turut diburukkan dengan tidak mendapat kesihatan dan nutrisi yang baik.

Sekurang-kurangnya pertambahan 140 juta kanak-kanak hidup di dalam keadaan kemiskinan tegar sejak COVID-19 melanda. Sekolah bertukar dalam talian yang mana 463 juta kanak-kanak yang berdepan dengan kemiskinan sebelum era COVID-19 terus keciciran.

Malaysia juga tidak terlepas daripada bencana ini. Hampir 36 peratus atau 1.8 juta kanak-kanak di Malaysia tidak mempunyai akses kepada pembelajaran dalam talian atas pelbagai faktor.

Apa yang menambah kerunsingan ialah jika tiada pembaikan dijalankan, kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah akan tercicir sekali gus mampu meningkatkan kadar buta huruf dalam kalangan rakyat pada masa hadapan. Ketika ini Malaysia berada pada kedudukan ke-53 dengan 94.85 peratus kadar celik huruf.

INFO Langkah menangani impak COVID-19 kepada kemahiran 3M

• Guru perlu mengenal pasti dengan mengumpulkan data dan pengesanan keciciran 3M kanak-kanak

• Menggunakan khidmat agensi bukan kerajaan seperti Untuk Malaysia, Helping Hands, Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia yang menjadi sukarelawan membantu kanak-kanak dari golongan B40 yang tercicir.

• Sistem persekolahan hari ini tidak secara sepenuhnya bergantung kepada guru sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa. Kembali kepada yang asas, kemahiran membaca bermula dari rumah.

• Ibu bapa yang rajin membaca dan menyediakan suasana membaca yang baik membantu memberikan kesediaan 3M kepada kanak-kanak.

• Ibu bapa membaca juga boleh kembali menjadi amalan membaca sebagai sebahagian norma baharu, jika sudah lama tidak berbuat demikian.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90