26 Mac 2021

,

Diskaun 50 peratus saman sempena Hari Polis

Diskaun saman hari polis


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi diskaun saman kompaun sebanyak 50 peratus menerusi portal dan aplikasi MyBayar Saman sempena sambutan Hari Polis ke-214.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tawaran itu akan bermula pada Khamis hingga 11 April 2021.

Menurutnya, semua jenis kompaun saman akan diberikan diskaun 50 peratus sehingga 11 April ini kecuali enam kesalahan utama iaitu antaranya memotong garis kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju yang ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak berhenti di lampu isyarat.

"Tawaran ini diberikan kepada mereka menerusi pendaftaran portal dan aplikasi MyBayar Saman bagi memberi kemudahan melunaskan kompaun saman trafik secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Portal dan Aplikasi Mobile MyBayar Saman di Dewan Theatrette Menara 1 Bukit Aman pada Khamis.

Abdul Hamid berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun dalam Apple IOS dan Android.

"Orang ramai boleh membayar saman sekarang menerusi aplikasi ini dengan diskaun 50 peratus tanpa perlu membuang masa beratur panjang di kaunter saman trafik.

"Bagi negeri yang menghadapi masalah penggunaan aplikasi ini, kelulusan akan diberikan supaya bayaran saman boleh dijelaskan dengan diskaun 50 peratus secara manual di kaunter saman trafik sepanjang 18 hari keistimewaan diskaun itu," katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya dalam perancangan menambah cara bayaran secara e-dompet selain tidak terhad kepada pembayaran kompaun saman dan penerimaan lain-lain hasil oleh jabatan PDRM terutama sistem trafik Cops yang diintegrasi dengan sistem Pengurusan Kewangan Kerajaan sebelum akhir tahun ini.

"Aplikasi ini juga akan mengurangkan kebergantungan JSPT kepada kutipan ejen swasta serta meningkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan trafik kepada awam.

"Langkah ini juga membolehkan saman dibayar tanpa had masa dan sempadan tanpa sebarang caj perkhidmatan," katanya.

 

 

 

 

https://blogadha.blogspot.com/2021/03/diskaun-saman-polis.html

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90