26 Mac 2021

Sesi persekolahan 4 dan 5 April tidak terjejas - KPM

 

Sesi persekolahan bagi pelajar sekolah menengah pada 4 dan 5 April ini tidak akan terjejas walaupun terdapat 41 kluster jangkitan COVID-19 dikesan membabitkan institusi pendidikan sejak 1 Januari lalu.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pihak kementerian sentiasa berikhtiar supaya pelajar sekolah dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selamat.

"Insya-Allah kita akan teruskan usaha memantau dan melihat SOP dari semasa ke semasa supaya sesi persekolahan itu dapat berjalan dengan baik dan diteruskan," katanya selepas majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Peruntukan Penyelenggaraan Sekolah di Parlimen Batu Pahat.

Mohd Radzi berkata, secara keseluruhan lebih lima juta pelajar akan memulakan sesi persekolahan di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula 4 April.

"Bagi sekolah di negeri lain akan memulakan sekolah pada 5 April ini," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata KKM mengesan 41 kluster membabitkan institusi pendidikan di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu adalah daripada 811 kluster jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di negara ini antara 1 Januari hingga semalam.

"KKM mengesan 15 kluster membabitkan pusat pengajian tinggi, diikuti 11 kluster jangkitan sekolah menengah, prasekolah dan sekolah rendah (10) serta pusat tahfiz dan madrasah (lima) yang dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan ini.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90