20 April 2021

, , ,

Dakwaan pengambilan 'sekutu' tak berasas - SPA

 

Tuduhan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengamalkan dasar pengambilan 'sekutu' dalam urusan pelantikan ialah tidak berasas.

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman, menyifatkan tohmahan sedemikian berupaya mencetuskan kekeliruan dan bakal menjejaskan reputasi suruhanjaya berkenaan sebagai pihak berkuasa melantik yang bebas serta telus.

Beliau menegaskan bahawa SPA sentiasa mematuhi garis panduan membabitkan pendaftaran dan tapisan melalui peperiksaan secara dalam talian, selain pengendalian ujian fizikal atau penilaian kecekapan serta temu duga.

SPA tidak jelas apa yang dimaksudkan sekutu oleh pegawai berkenaan. Penilaian dibuat secara telus membabitkan panel penilai yang dilantik berdasarkan kriteria tertentu. 

Melalui peperiksaan dalam talian misalnya, calon-calon akan dinilai dari segi kesesuaian dan kebolehan tanpa mengenal sekutu. Sebagai contoh, dalam pengambilan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2019 oleh SPA, calon-calon akan melalui tapisan awal dan seterusnya menduduki peperiksaan secara dalam talian dan ujian fizikal.

Seterusnya, calon melalui penilaian kompetensi dikendalikan pegawai-pegawai SPRM yang kemudiannya diperakukan untuk urusan temu duga oleh panel daripada seorang ahli suruhanjaya dan seorang pegawai SPRM.

"Berdasarkan proses pelantikan yang dibuat ini, tiada ruang untuk mengambil sekutu kerana membabitkan beberapa peringkat penilaian oleh ahli-ahli panel yang berbeza," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, hari ini dilaporkan berkata 'peristiwa hitam' yang melanda agensi itu pada 2016 lalu perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.

Dakwanya, isu sedemikian perlu dirungkai menerusi pindaan perlembagaan dalam melantik ketua suruhanjaya menerusi undang-undang supaya pengambilan 'sekutu' yang mudah berlaku dalam SPA dan badan kerajaan lain tidak terus menular.

Zainal berkata, peristiwa yang berlaku pada 2016 lalu tiada kaitan dengan SPA sebagai pihak berkuasa melantik.

"Susulan itu, SPA dengan ini memohon Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM supaya menarik balik kenyataan yang tidak benar berkenaan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90