1 April 2021

, ,

Saluran Sukan RTM dilancar, Angkasapuri dinaik taraf ke Bandar Media


 

Bersempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75, sebuah stesen televisyen khusus untuk rancangan sukan dilancarkan iaitu saluran Sukan RTM.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan saluran sukan ini sekali gus dapat mencapai hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang sihat melalui aktiviti sukan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Katanya lagi, ia juga membuka peluang kepada syarikat-syarikat penerbitan tempatan yang berpotensi untuk menghasilkan kandungan program sukan untuk RTM.

“Tidak kurang pentingnya juga ialah saluran ini dapat memainkan peranan sebagai agen perpaduan nasional menerusi semangat kesukanan.

“Promosi kesihatan rakyat melalui aktiviti sukan ini membolehkan golongan muda mengisi masa dengan perkara yang berfaedah,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mendedahkan kompleks penyiaran Angkasapuri kini sedang dinaik taraf kepada sebuah kompleks berkonsepkan Bandar Media atau Media City sejajar dengan kemajuan pesat dalam bidang teknologi penyiaran dan standard penyiaran digital antarabangsa.

Beliau berkata, pembangunan projek ini mengambil contoh beberapa projek pembangunan Media City yang berjaya dilaksanakan di bandaraya seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); di Sydney, Australia dan di Manchester, United Kingdom.

“Projek pembangunan ini dilaksanakan secara kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta, dan apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan dapat menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras, dengan perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

“Kompleks penyiaran Media City ini bukanlah semata-mata projek pembangunan fizikal malah juga merangkumi sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan-bahan penyiaran. Kerajaan berharap projek ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi kreatif serta membuka lebih banyak ruang dalam bidang penerbitan penyiaran,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bersempena ulang tahun ke-75 RTM, saluran TV1 dan TV2 akan disiarkan dalam format definisi tinggi (HD) menerusi platform Astro.

“Siaran ini akan memastikan pengguna perkhidmatan satelit Astro boleh menonton saluran-saluran tersebut dalam HD serta menerima audio dan visual yang tepat dan jelas. Semoga kerjasama strategik di antara RTM dan Astro ini dapat memastikan siaran RTM menjadi lebih luas penerimaannya dalam kalangan penduduk Malaysia,” katanya.

Sumber : Utusan

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90