6 April 2021

,

TNB menjadi penyedia gentian optik internet melalui talian elektrik

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo), berjaya melengkapkan pembinaan infrastruktur gentian optik di Melaka.
Pembinaan infrastruktur itu mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman di negeri berkenaan bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Dengan pembinaan infrastruktur tersebut, Allo sebagai penyedia akses terbuka berjaya meluaskan potensi capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) sehingga 1Gbps di Melaka yang kini disediakan oleh pembekal perkhidmatan runcit (SRP) iaitu Maxis, Astro, Digi dan Celcom.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kejayaan itu susulan projek perintis HSBB yang siap dalam tempoh kurang tiga bulan bermula Januari 2019, menghubungkan 1,100 kediaman di Taman Maju, Taman Merbau Perdana dan Felda Kemendor.

“Penyediaan infrastruktur HSBB ini secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.

“Justeru melalui Allo, TNB menawarkan perkhidmatan segmen ini dalam bentuk yang lebih pantas, lagi diyakini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau sebelum itu berucap di majlis pelancaran perasmian rangkaian infrastruktur jalur lebar peringkat Melaka bagi menyokong Jendela. Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri, Dr. Sulaiman Md. Ali.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din; Pengerusi Allo, Lim Fu Yen dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rodzi Ahmad.

Mahdzir berkata, kemudahan infrastruktur gentian optik itu membuka peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka untuk mendapat akses kepada internet jalur lebar pada harga lebih berpatutan, seterusnya capaian kepada pelbagai sumber maklumat selain pendidikan dalam talian.

Tambah beliau, ia juga menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pemerkasaan bidang ekonomi digital, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat wabak Covid-19.

“Penglibatan TNB untuk menjayakan Dasar Digital Negara adalah sesuai dengan peranan TNB selama ini sebagai penggerak kemajuan negara dan kini peranan itu diperkukuhkan bagi menangani cabaran ekonomi digital serta revolusi perindustrian keempat (IR4.0),” katanya.

Dengan memanfaatkan rangkaian gentian optik sepanjang 18,000 kilometer (km) yang melalui pencawang elektrik milik TNB di Semenanjung Malaysia, Allo berjaya menghubungkan 60,000 kediaman dengan rangkaian gentian optik di Melaka, Perak dan Kedah. 

Sumber : Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90