26 Mei 2021

,

Ciri baharu aplikasi MySejahtera

 

Ibu hamil dan menyusukan anak kini boleh memaklumkan keadaan mereka melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, berkata ciri baharu aplikasi MySejahtera akan diperkenalkan pada hujung minggu ini.

Beliau berkata, ia adalah untuk mengenalpasti ibu hamil dan ibu menyusu.

"Satu ciri baharu dalam MySejahtera akan diperkenalkan hujung minggu ini.

"Ibu hamil atau ibu menyusukan anak boleh mengenalpasti diri untuk janji temu diberikan kepada mereka bagi menerima vaksin," katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

Khairy berkata, pemberian vaksin untuk golongan itu disyorkan untuk ibu yang hamil antara 14 hingga 33 minggu.

Beliau berkata, vaksin Pfizer disyorkan diberikan kepada ibu hamil dan menyusu manakala setakat ini vaksin keluaran AstraZeneca hanya akan diberikan kepada ibu menyusu saja.

"Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan bermesyuarat pada Khamis ini untuk menentukan jika vaksin jenis AstraZeneca boleh diberikan kepada ibu hamil juga," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, ibu menyusu anak yang sebelum ini tidak dibenarkan mengambil vaksin AstraZeneca akan dihubungi untuk diberikan tarikh janji temu baharu.

Pada masa sama, katanya, individu terbabit juga boleh menghubungi talian PICK untuk mendapatkan janji temu baharu. 

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90