7 Mei 2021

,

Jaringan Prihatin bantu B40 miliki telefon pintar, internet

 

Kerajaan melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion bagi membantu golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) memiliki alat peranti telefon pintar serta capaian internet.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 agar mereka tidak tersisih dan ketinggalan dalam arus digitalisasi di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan sedar, selain jurang rangkaian internet, masih terdapat juga jurang kemampuan kewangan untuk kumpulan itu memperoleh capaian internet.

Bahkan, katanya, kos telefon pintar juga menelan sebahagian besar pendapatan bulanan isi rumah yang berpendapatan rendah.

“Bagi mendepani realiti mencabar ini, kerajaan hari ini melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion yang dapat membantu mereka memiliki telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar internet.

“Daripada jumlah keseluruhan RM3.5 bilion ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program itu di Kementerian Kewangan yang turut disiarkan secara maya di laman sosial Facebook Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion.

“Insya-Allah usaha-usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya. 

Sumber : Kosmo!

2 Comments:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90