24 Mei 2021

, , , , , , ,

Kedudukan Nilai dalam daerah Seremban

 

Kedudukan Nilai, kawasan bersempadan Negeri Sembilan dan Selangor yang hangat diperkatakan terutama di laman sosial berikutan kaitannya dengan kes selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, tidak pernah menjadi isu seperti ditularkan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Nilai secara rasminya di bawah pentadbiran negeri ini dan pernah tidak timbul isu ia di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang lain.

Nama Nilai tular di pelbagai platform media sosial gara-gara kes Neelofa dan suaminya, Mohammad Haris Mohd Ismail berkunjung ke sebuah premis di pusat borong Nilai 3 untuk membeli karpet dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 2 Mei lalu.

Mengakui kebelakangan ini, nama Nilai tular di pelbagai platform media sosial, Aminuddin berkata, kawasan itu bukannya sebuah daerah, sebaliknya ia terletak di dalam daerah Seremban dan di bawah pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

"Sebab itu jika ke Nilai, orang ramai tidak akan menemui Pejabat Daerah dan Tanah Nilai. Sebelum ini, Nilai mempunyai pentadbiran majlis atau pihak berkuasa tempatan (PBT) tersendiri, iaitu Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang diketuai oleh Yang Dipertua.

"Struktur PBT di Nilai mempunyai pelbagai evolusi bermula dari Majlis Tempatan Pajam sehinggalah kini digabungkan bersama Majlis Perbandaran Seremban (MPS), menjadi Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selepas daerah ini mencapai status bandar raya pada 1 Januari 2020," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan, sebelum ini kawasan di bawah pentadiran MPN merangkumi Mukim Setul, Mukim Labu, Mukim Rantau, Mukim Lenggeng, Mukim Pantai, sebahagian Rasah, sebahagian Ampangan, sebahagian Seremban dan Bandar Baru Nilai (BBN).

Di Nilai, katanya, ada Nilai 1 yang merangkumi kawasan Dataran Nilai, KFC Nilai, Gembox Nilai, Masjid Nilai dan pasar raya AEON Nilai, manakala Nilai 2 lebih kepada penempatan kawasan perindustrian dan Nilai 3 lokasi pasar borong yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pasar borong terbesar di negara ini.

"Nilai 3 juga tersenarai dalam kalangan sembilan lokasi di Negeri Sembilan yang wajib dilawati pelancong. Kawasan Nilai juga termasuk dalam kempen pelancongan di bawah Kempen Pesona Seremban kerana mempunyai beberapa tempat menarik yang sesuai untuk dilawati.

"Lokasi itu termasuk Bukit Melati, Kedai Nasi Lemak Lenggeng, Dataran Nilai, Eko-Pelancongan Lenggeng, Cendol Sagu Rumbia Labu, X Park Sendayan, Homestay Labu, Jeram Kedah dan Durian Mantin.

"Justeru, orang ramai terutama dari luar negeri ini tidak perlu pening-pening kerana Nilai termasuk Nilai 3 di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan. Saya galakkan orang ramai membeli-belah di Nilai 3 kerana ia pasti akan memberikan kepuasan kepada setiap pengunjung yang datang ke situ," katanya.

Pada 20 Mei lalu, Neelofa, 32, dan suaminya atau dikenali sebagai PU Riz, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB di sebuah kedai karpet di Nilai.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Haris, 26, gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in' atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Neelofa, 32 pula berdepan satu pertuduhan iaitu tidak membuat imbasan MySejahtera.

Pasangan berkenaan membayar ikat jamin yang ditetapkan selepas mahkamah menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes. 

Sumber : Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90