27 Mei 2021

,

Lapan juta dos vaksin tiba Jun, Julai 2021

 

Bekalan vaksin COVID-19 negara bakal menyaksikan lonjakan ketara apabila Malaysia dijadualkan menerima kira-kira lapan juta dos vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, pada bulan depan dan Julai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yakin penambahan bekalan itu bakal mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan melonjakkan kapasiti pemberian vaksin kepada 150,000 dos sehari bermula bulan depan.

Beliau berkata, kerajaan menambah pembelian vaksin Pfizer sebanyak 12.8 juta dos, menjadikan jumlah dos vaksin Pfizer yang ditempah Malaysia meningkat kepada 44.8 juta yang mencukupi untuk 70 peratus jumlah penduduk Malaysia.

Katanya, perjanjian penambahan dos vaksin itu ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pada 21 Mei lalu.

"Dengan penambahan ini, Malaysia akan menerima penghantaran lebih 25.68 juta dos vaksin Pfizer pada suku ketiga tahun ini.

"Pada bulan depan, Malaysia akan menerima sejumlah 2.22 juta dos vaksin Pfizer, dengan 444,600 dos akan dihantar setiap minggu bagi tempoh lima minggu berturut-turut.

"Sehubungan itu, jumlah keseluruhan vaksin Pfizer yang telah dan akan diterima Malaysia sehingga akhir Jun adalah sebanyak lebih 4.97 juta dos," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Bagi vaksin Sinovac, Khairy memaklumkan, rundingan terkini di antara kerajaan dengan Sinovac dan Pharmaniaga, memutuskan Malaysia akan menerima semua baki daripada 12 juta dos yang ditempah pada Jun dan dan Julai.

"Ia merangkumi lebih 5.09 dos vaksin Sinovac 'fill and finish' daripada kilang Pharmaniaga di Malaysia serta lebih 6.91 juta dos vaksin produk siap guna daripada kilang Sinovac di Beijing, China," katanya.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata Malaysia dijangka menerima lima juta dos vaksin Sinovac bulan depan, iaitu dua juta dos daripada Pharmaniaga dan tiga juga dos dari China.

Mengulas mengenai bekalan vaksin AstraZeneca, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu memaklumkan, Malaysia dijangka menerima 1.02 juta dos pada Jun dan Julai.

"Kita dijangka terima 610,000 dos pada Jun dan 410,000 pada Julai, tertakluk pada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi pengeluaran vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand.

"Dengan semua penghantaran ini, saya meletakkan sasaran pemberian suntikan 150,000 sehari pada Jun, yang turut membabitkan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90