6 Mei 2021

, ,

Ledakan digital: Maybank tidak bercadang kurangkan cawangan

 

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) tidak berhasrat untuk menutup cawangan sedia ada pada masa hadapan, di sebalik ledakan teknologi yang menyaksikan kesan ketara transformasi ke arah perbankan digital.

Sebaliknya, bank terbesar dari segi aset itu berkata, ia akan memperbaiki serta meningkatkan mutu perkhidmatan cawangannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata pihaknya melihat pentingnya mempunyai cawangan bank sebagai saluran penting bagi kumpulan perbankan terbesar di Malaysia itu dari segi aset itu berhubung dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Malah, katanya, pihaknya melihat kepentingan untuk meningkatkan cawangan pada masa depan mengikut keperluan semasa.

"Kita akan membuat banyak perubahan termasuk dari segi reka bentuk dan jenis perkhidmatan ditawarkan, tetapi akan mengambil masa beberapa tahun, bergantung kepada struktur ekonomi dan lokasi cawangan berkenaan.

"Mungkin jumlah cawangan akan ditingkatkan dan bukannya ditutup. Perkhidmatan juga akan diperbaiki dan pekerja dilatih semula bagi memenuhi keperluan semasa," katanya pada sidang media secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Maybank ke-61.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kajian yang dijalankan Roland Berger yang menjangkakan hampir 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia akan ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut kajian syarikat perunding terkemuka Eropah bertajuk Branching out - The future of retail banking networks, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

Ia menjangkakan 18 peratus atau lebih 11,000 cawangan bank ditutup di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang dan penutupan cawangan perbankan runcit itu dijangka berlaku di enam pasaran termasuk Malaysia.

"Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina mengalami fasa pertumbuhan selama 10 tahun terakhir, namun jumlah cawangan dijangka mulai menurun atau terus mengecil di negara yang sudah menyaksikan trajektori penurunan.

"Indonesia, Thailand dan Malaysia akan memperlihatkan penggabungan cawangan yang ketara ketika ekonomi terus berkembang, selain dipacu insentif dan peraturan kerajaan yang menyokong lebih banyak aktiviti perbankan digital," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90