3 Mei 2021

, , ,

Siti Nurhaliza jawab tuduhan langgar SOP

 


Datuk Seri Siti Nurhaliza menepis dakwaan majlis tahnik sempena kelahiran anak kedua, Muhammad Afwa di kediamannya di sini, baru-baru ini, melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk larangan rentas negeri membabitkan salah seorang tetamu seperti yang tular dalam media sosial.

Siti, 42, berkata, individu terbabit yang juga seorang pendakwah bebas terkenal, bersetuju untuk hadir kerana kebetulan beliau berada di sini atas urusan kerja.

"Berhubung isu yang sedang tular, sebagai tuan rumah, saya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik yang dianjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut SOP termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

"Kami ingin memaklumkan tiada aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya, individu itu bersetuju hadir kerana kebetulan beliau berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan majlis tahnik itu dianjurkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Siti berkata, atur cara majlis dan bilangan tetamu adalah mengikut syarat yang tertakluk bagi acara yang dianjurkan dalam tempoh berkenaan.

"Majlis terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak mengikut sunnah Rasulullah.

"Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

"Sebaliknya, beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain," katanya.

Sebagai rakyat Malaysia, Siti menegaskan dalam apa juga perkara yang dilakukan, beliau tidak akan sesekali membelakangkan undang-undang.

"Selain perlu peka pada situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini. Selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin," katanya.

Tambah Siti, penjelasan itu dibuat bertujuan untuk menjernihkan keadaan dan menamatkan spekulasi yang boleh menjurus kepada fitnah.

"Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberi pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu," katanya.

Enggan membiarkan kontroversi itu berlanjutan, pasangan ini turut memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang tersinggung dengan insiden itu.

"Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

"Kami memahami dan berlapang dada dengan setiap teguran yang diberi. Kami juga bersedia memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

"Ini adalah kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini. Saya ingin fokus berpantang selepas melahirkan Muhammad Afwa dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan serta difahami dengan baik," katanya.

Kontroversi tercetus selepas tular beberapa foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah bebas terkenal dilihat hadir ke majlis tahnik yang dianjurkan di kediaman Siti.

Susulan daripada itu, netizen mempersoalkan bagaimana salah seorang pendakwah yang dipercayai menetap di Terengganu, dibenarkan merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan.

Malah, ada netizen terkilan dengan penganjuran majlis berkenaan ketika rakyat Malaysia dilarang merentas negeri selain atas tujuan kecemasan.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90