4 Mei 2021

, , , , , ,

SOP sambutan Aidilfitri 2021

SOP sambutan Aidilfitri 2021

 

 

Aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tempoh masa dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

"Bagi kawasan PKP, ianya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tidak melebih 15 orang pada satu masa mengikut saiz rumah dan mematuhi penjarakan fizikal.

"Bagi kawasan PKPB dan PKPP, ziarah hari raya dibenarkan iaitu pada 1 sehingga 3 Syawal. 

"Di kawasan PKPB kehadiran terhadap 20 orang bagi satu masa manakala di kawasan PKPP kehadiran tetamu tak melebihi 25 orang mengikut saiz rumah dan ada penjarakan fizikal.

"Jika rumah kecil dan tidak boleh lakukan penjarakan fizikal, jumlah 25 orang terlalu ramai maka kita tidak benarkan," katanya pada sidang media, hari ini.

Bagaimanapun, bagi kawasan PKP Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata kerajaan tidak membenarkan pengunjung luar dan sambutan tertakluk ahli keluarga dalam rumah sahaja.

Mengenai kebenaran solat sunat Aidilfitri, Ismail Sabri berkata ia tertakluk masjid dan surau yang terletak di kawasan PKP, PKPB dan PKPP sahaja.

Beliau bagaimanapun berkata masjid dan surau di kawasan PKPD tidak dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Mengulas lanjut, katanya ketetapan SOP solat sunat Aidilfitri akan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Bagi menentukan siapa boleh hadir sama ada ada wanita atau kanak-kanak, ia terletak di bawah keputusan pihak berkuasa agama negeri akan memaklumkan kepada setiap masjid dan surau di negeri masing-masing," katanya.

Menjelaskan amalan takbir solat sunat Aidilfitri dari rumah ke rumah, Ismail Sabri berkata aktiviti itu juga tidak dibenarkan di semua kawasan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

Bagi penganjuran rumah terbuka sempena Aidilfitri, jelasnya ia tidak dibenarkan di kawasan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

Selain itu, Ismail Sabri berkata jamuan selepas solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di kawasan PKP dan PKPD turut dilarang.

Bagaimanapun katanya, jamuan berkenaan dibenarkan dianjurkan di masjid dan surau membabitkan kawasan PKPB serta PKPP.

"Jamuan hari raya di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan tertakluk pada (ketetapan) pihak berkuasa agama negeri.

"Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan walaupun pihak berkuasa agama negeri boleh tentukan tetapi kita galakkan atau nasihatkan juadah berbungkus diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang," katanya.

Mengulas lanjut aktiviti ziarah kubur sempena sambutan Aidilfitri, Ismail Sabri berkata kerajaan membenarkan aktiviti itu namun hanya di kawasan PKPB dan PKPP dengan pematuhan SOP seperti ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata berkata aktiviti ziarah kubur di kawasan PKP dan PKPD adalah tidak dibenarkan.

"Ziarah tanah kubur bagi kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat. Hadnya tidak melebihi enam orang bagi satu lot atau petak kubur serta tidak melebihi 30 minit," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90