27 Mei 2021

, , , , ,

TH perkenal buka akaun secara maya

 

Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan platform terbaharu iaitu Pembukaan Akaun secara Maya (VAO) menerusi pautan dan aplikasi THiJARI untuk memudahkan orang ramai membuka akaun secara dalam talian.

Ia juga sebahagian daripada inisiatif transformasi digital TH ke arah memperluaskan akses perkhidmatan, menjimatkan masa, mesra alam, selamat dan cekap.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad, berkata VAO bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk membuka akaun TH dengan lebih mudah di mana sahaja mereka berada melalui THiJARI.

"Bakal pendeposit hanya perlu melayari laman web www.thijari.com.my (dan klik - Tiada Akaun TH? BUKA SEKARANG), kemudian isi butiran lengkap secara dalam talian dan seterusnya hadir di mana-mana cawangan TH bagi membuat pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.

"Inisiatif ini sekali gus memudahkan urusan pembukaan akaun baharu dan masa untuk membuka akaun disingkatkan dari 15 minit ke satu minit serta pendeposit akan diberi keutamaan di cawangan TH kerana sudah melengkapkan permohonan terlebih dahulu.

"Bakal pendeposit perlu memenuhi syarat pembukaan akaun dan hanya perlu membawa MyKad dan amaun deposit permulaan. Selain itu, pendeposit yang mempunyai anak kandung bawah umur 18 tahun juga boleh membuka akaun kanak-kanak menerusi THiJARI," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pendeposit boleh meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan TH seluruh negara berikutan penularan COVID-19 yang amat membimbangkan pada masa ini.

"TH terus komited untuk menambah baik mutu dan capaian perkhidmatan kami bagi keselesaan pendeposit serta mewujudkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh, mudah dan fleksibel.

"Kami juga sentiasa peka terhadap keperluan semasa seiring perkembangan digital dan yang paling penting ialah memastikan keselamatan pendeposit terjaga walaupun dalam suasana pandemik COVID-19 sekarang," katanya.

Sejak THiJARI diperkenalkan pada Februari 2020, platform itu berjaya menarik lebih 800,000 pengguna THiJARI Web dan 400,000 pengguna THiJARI App.

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90