17 Mei 2021

,

Tiada kesan sampingan serius vaksin AstraZeneca di Malaysia

 

Malaysia belum merekodkan sebarang kesan sampingan serius daripada pengambilan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca, sejak suntikan imunisasi itu mula diberikan pada 5 Mei lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya masih mengkaji maklumat daripada Indonesia yang menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

Katanya, vaksin itu akan terus digunakan di Malaysia selepas mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini mengesahkan tiada isu serius berbangkit daripada vaksin berkenaan.

"Kita masih mengkaji maklumat daripada Indonesia. Namun di Malaysia, setelah kita mulakan penggunaan vaksin AstraZeneca, tiada kesan sampingan serius dilaporkan.

"Mesyuarat CITF hari ini mengesahkan tiada kesan sampingan serius di Malaysia setakat ini. Jadi, kita teruskan penggunaan vaksin AstraZeneca di Malaysia," katanya pada sidang media mingguan mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara maya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah Indonesia yang menggantung sementara waktu penggunaan kumpulan 450,000 dos vaksin AstraZeneca yang tiba ke negara itu bulan lalu.

Ia selepas seorang lelaki berusia 22 tahun, dilaporkan meninggal dunia sehari selepas menerima vaksin berkenaan di Jakarta, dengan penggantungan itu disifatkan sebagai usaha Kerajaan Indonesia bagi memastikan keselamatan vaksin itu.

Kumpulan yang digantung itu adalah sebahagian daripada lebih 3.85 juta dos vaksin AstraZeneca yang sudah diterima Indonesia menerusi fasiliti COVAX.

Malaysia mula mengagihkan vaksin AstraZeneca sejak 5 Mei lalu, tiga hari selepas selepas pengambilan 260,000 dos vaksin itu ditawarkan secara sukarela pada 2 Mei.

Vaksin AstraZeneca ditawarkan secara sukarela di Malaysia berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac yang diberikan mengikut bekalan yang ada, dengan tarikh pengambilan bergantung kepada fasa dan kumpulan sasaran dalam PICK.

Tawaran secara sukarela itu berikutan kegusaran orang ramai terhadap tahap keselamatan vaksin AstraZeneca, yang dikaitkan dengan beberapa insiden darah beku yang jarang berlaku di beberapa negara.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90