30 Jun 2021

Bank Islam buka permohonan moratorium mulai 7 Julai

by

 

Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menawarkan moratorium selama enam bulan kepada pelanggan segmen B40, M40 atau T20 serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bank Islam dalam satu kenyataan, berkata permohonan bagi penangguhan bayaran balik itu itu akan dibuka bermula 7 Julai ini.

"Bank kini membantu 5,251 pelanggan individu dan PMKS dengan jumlah pembiayaan tertunggak lebih RM888 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

"Jumlah ini termasuk 5,166 pelanggan individu dengan pembiayaan tertunggak bernilai lebih RM603 juta, manakala 85 permohonan membabitkan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM285 juta adalah di bawah segmen PMKS.

"Peka dengan cabaran yang dihadapi pelanggan, bank akan meneruskan bantuan bayaran balik pembiayaan bagi mengurangkan impak pandemik kepada kelangsungan hidup," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata bank itu sentiasa komited memastikan pelanggan kekal berdaya tahan dalam tempoh yang tidak menentu ini.

"Kami telah memperkenalkan pelbagai bentuk pakej bantuan bayaran balik pembiayaan sejak pandemik ini bermula. Ia bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan yang amat diperlukan dalam tempoh mencabar ini.

"Di bawah program bantuan bayaran balik yang bermula pada Ogos tahun lalu, bank telah membantu hampir 30,000 pelanggan individu dengan jumlah tertunggak sebanyak RM3.74 bilion sehingga 18 Jun 2021, serta lebih 200 PMKS, membabitkan lebih RM670 juta," katanya.

Mohd Muazzam berkata, industri perbankan Islam juga turut giat meningkatkan usaha menyokong segmen terkesan bagi menjamin kemampanan mereka sejak PKP mula diperkenalkan pada Mac 2020.

"Kami sedar akan kesan sekatan pergerakan yang berterusan ke atas perniagaan pelanggan kami, terutamanya MPKS. Keutamaan kami kekal untuk mengurangkan kekangan kewangan pelanggan, terutama sektor yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP.

"Langkah signifikan diambil Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Bantuan Bayaran Balik Bersasar (TRA) bagi membantu pelanggan dalam segmen terjejas adalah penting bagi meminimumkan kesan berikutan arahan sekatan pergerakan dan menjamin kebolehsampaian bantuan yang diperlukan kepada mereka," katanya.

Beliau menjelaskan, menerusi bantuan moratorium, pelanggan terkesan akan mempunyai tempoh enam bulan untuk memulihkan keadaan kewangan masing-masing.

"Bank Islam sentiasa bersedia membantu menasihati pelanggan kami untuk membuat keputusan bermaklumat terbaik setiap masa serta untuk lebih berhati-hati dalam membuat komitmen kewangan yang tidak perlu, lebih-lebih lagi dalam situasi tidak menentu kini," katanya.

Selain TRA, Bank Islam turut menawarkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) kepada pelanggan yang terbabit dalam sektor perkhidmatan; dan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) bagi pelanggan dalam sektor pelancongan.

Sumber : Berita Harian

 

Bantuan tambahan BPR

by

 

 

Bayaran tambahan untuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada 8.4 juta penerima akan dibayar secara berperingkat mulai hari ini membabitkan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembayaran BPR Tambahan berkenaan membabitkan 3.6 juta isi rumah, satu juta warga emas yang bujang atau tiada pasangan dan 3.8 juta individu bujang.

Katanya, bayaran itu akan diagihkan kepada penerima kategori Isi Rumah, Warga Emas dan Individu Bujang mulai hari ini hingga 2 Julai yang akan terus dikreditkan dalam akaun bank masing-masing.

"Penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah & Sarawak), bayaran akan mula dibuat mulai hari ini melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). 

"Pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengambil kira pembayaran Fasa 1, Fasa 2 dan BPR Tambahan, bantuan tunai yang disediakan sehingga kini kepada hampir 8.4 juta penerima adalah sebanyak RM6.78 bilion.

Jangkaan pembayaran Fasa 3 pula pada September 2021 dianggarkan berjumlah RM2.32 bilion.

Secara keseluruhannya, peruntukan berjumlah RM9.1 bilion telah disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan BPR yang telah dan akan disalurkan kepada golongan B40.

Sumber : Berita Harian

 

 

Miskin Tegar mesti kemas kini data untuk rebat elektrik RM40

by

 

Golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah diminta supaya mengemas kini data dengan pihak utiliti agar mereka layak mendaftar dalam sistem e-Kasih bagi menikmati rebat bil elektrik sebanyak RM40.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak mendaftar dalam sistem itu adalah seramai 282,182.

“Bagaimanapun, hanya 113,745 iaitu 40.31 peratus daripada KIR yang layak telah mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka.

“Oleh itu, saya menyeru agar mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sumber : Kosmo!

Bantuan Psikologi Kemurungan

by

 

Para penyelidik percaya bahawa kemurungan boleh berpunca daripada gabungan faktor genetik, biologi, persekitaran dan psikologi.

Kemurungan adalah sejenis gangguan mental paling lazim di dunia. Di Malaysia, kira-kira 2.3 juta orang mengalami kemurungan pada satu tempoh dalam hidup mereka. Kelaziman kemurungan di Malaysia dianggarkan pada tahap 8%-12% secara keseluruhan dan dialami oleh kira-kira 20% dalam kalangan orang dewasa berusia 13 hingga 17 tahun.1-3
  
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Selain itu, ada pelbagai pihak yang turut  memberi bantuan seperti:

1. Talian sokongan psikososial COVID-19 (Kementerian Kesihatan Malaysia & Mercy Malaysia)
 
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Medical Relief Society (MERCY Malaysia) menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat Malaysia.
Semua petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi akibat COVID-19 boleh hubungi di talian 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935.
 
Waktu operasi perkhidmatan ini bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.
 
2. Talian Khas Perkhidmatan Kaunseling COVID-19 (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
 
Talian Kasih 15999 dan talian Whatsapp 0192615999 dibuka kepada mangsa dan waris mangsa COVID-19, petugas pusat kuarantin, hospital dan lain-lain serta individu yang terkesan dengan PKP.
Selain itu, khidmat talian ini juga bersedia menerima aduan isu-isu wanita, keluarga dan masyarakat, khususnya menangani kejadian kecemasan berkaitan kebajikan dan kemasyarakatan.
 
3. KSK Care Centre, Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) Jakim
 
KSK Care Centre melalui Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan perkhidmatan atas talian bagi membantu memberi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan yang bertugas dan juga kepada ahli keluarga mangsa COVID-19.
 
Perkhidmatan ini dikendalikan oleh kaunselor berdaftar, pakar terapi psikospiritual Islam dan kaunselor syarie. Klik disini untuk mendapatkan perkhidmatan KSK Care Centre. 
 
4. Malaysian Relief Agency
 
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Relief Agency turut menawarkan perkhidmatan talian bagi membantu mereka yang mengalami masalah tekanan psikologi khususnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
 
Sepanjang tempoh PKP, perkhidmatan ini dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang menerusi senarai nombor telefon pakar psikologi dan kaunselor seperti yang tertera.
 
5. Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Bagi kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Psikiatri turut menawarkan perkhidmatan e-sokongan psikologi.
 
Perkhidmatan beroperasi bermula oukul 9 pagi sehingga 6 petang dan boleh dihubungi di nombor 03-8600 9800 atau 0103424861 (Whatsapp).
 
6. Befrienders
 
Pertubuhan Befrienders Kuala Lumpur turut memberi peluang kepada individu yang berdepan dengan masalah kemurungan dan memerlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah.
 
Befrienders boleh dihubungi melalui Skype (BefKL Skype 1) atau pada talian 03-76272929 bermula 10 April lalu.
 
7. Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO)
 
Memberi fokus kepada kes penderaan dan masalah keganasan rumahtangga, WAO bersedia menerima sebarang aduan berhubung gejala tersebut. 
 
Aduan boleh dibuat menerusi pada nombor talian tertera.
 
8. Khidmat kaunseling dalam talian di Institut Pengajian Tinggi (IPTA)
Bagi penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPTA), unit kaunseling kampus juga beroperasi secara dalam talian sepanjang tempoh PKP.
 
Antara IPTA yang dilihat melaksanakan inisiatif ini adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
 
Justeru, penuntut dinasihatkan agar merujuk kepada pihak pengurusan kampus masing-masing bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.
 
9. Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA)
 
Pertubuhan bukan kerajaan ini turut mensasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan perkhidmatan atas talian secara percuma. Klik di sini untuk maklumat lanjut. 
 
10. Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS), CPRC, KKM   
 
Sebuah pasukan khas yang ditubuhkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), KKM juga menawarkan sesi sokongan emosi dalam talian secara percuma.
 
 
 
 

 

Nampak ‘hantu jerangkung’ di bangunan terbengkalai

by

 

Rakaman entiti seram dipercayai hantu yang muncul semasa proses meruntuhkan sebuah bangunan terbengkalai di Hull, England  hampir sedekad lalu terus menimbulkan tanda tanya penduduk tempatan, lapor akhbar Daily Star kelmarin. 

Milldane Tower Blocks (Milldane) adalah salah satu daripada dua buah bangunan di Orchard Park Estate yang diruntuhkan menggunakan bahan letupan pada 11 Ogos 2013 dalam usaha untuk membangunkan semula kawasan tersebut.

Ketika ledakan berlaku di sekitar Milldane, seorang pekerja merakam kelibat entiti itu di tingkat 18 yang mendorong orang ramai tertanya-tanya sama ada blok tersebut berhantu.

Rakaman itu jelas memaparkan entiti tersebut tergantung di tepi balkoni bangunan itu.

Ramai menyangka mereka telah melihat hantu jerangkung, manakala rakaman itu menjadi tular di media sosial pada ketika itu.

Menurut sejarah, pada tahun 1997, satu blok menara Milldane mengalami dua kebakaran serius yang dipercayai dicetuskan dengan sengaja.

Menerusi laporan berita, Milldane adalah blok pangsapuri yang tidak mendapat sambutan masyarakat dan pemilik-pemilik apartmen sangat terdesak untuk mencari penyewa. 

Sumber : Agensi

 

DBP perjelas makna citra

by

 

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui laman Facebook rasminya menyiarkan poster menjelaskan maksud perkataan citra hari ini.

Menurut DBP, citra bererti gambaran keperibadian seseorang atau sesuatu pihak secara umum menurut tanggapan orang lain atau pihak lain.

Perkataan citra turut mendukung makna gambar, lukisan atau citra dalam bahasa klasik.

Perkongsian itu disukai lebih 1,500 pengguna media sosial itu dan mendapat lebih 100 komen serta dikongsi lebih 400 kali dalam tempoh dua jam selepas hantaran tersebut dimuat naik.

“Dulu-dulu kelas Bahasa Melayu mesti ada perkataan ini dalam soalan karangan atau ketika diminta mengarang esei sastera. Perihalkan, gambarkan dan citrakan,” komen Fareedz Henrique.

“Hendak tanya, ada kaitan dengan Lestari sebelum ini tak? gurau seorang netizen yang turut meletakkan foto penyanyi kelahiran Indonesia, Bunga Citra Lestari di ruangan komen.

“Mohon mencadangkan kepada KWSP bantuan seterusnya i-Puspa,” ujar Abu Muaz

“Pandainya admin. Bagus betul DBP. Laju kemas kini. Seronok baca komen,” puji seseorang lagi netizen.  

Sumber : Kosmo!

 

Jangan pakai inai ketika hamil

by

 

Perkongsian seorang jururawat yang menjelaskan mengapa wanita hamil dinasihati supaya tidak memakai inai atau sebarang pewarna kuku tular di laman Facebook sejak semalam.

Pemilik akaun Facebook bernama Bel Nawhen atau nama sebenarnya Nur Nabiila Masfuzah Abdullah berkata, warna kuku yang pelbagai akan menyukarkan perawat untuk melihat kadar kekurangan oksigen melalui pemerhatian kuku seseorang individu.

“Kalau sudah pakai inai jangan tambah lagi inai sebelum melahirkan bayi. Tetapi kalau sudah terpakai kita tidak boleh buat apa-apa.

“Kalau pakai pewarna kuku, memang kita pesan suruh cuci atau tanggalkan pewarna kuku,” tulis Nur Nabiila.

Perkongsian itu mendapat lebih 200 komen dan dikongsi lebih 800 kali dengan segelintir netizen berpendapat golongan ibu muda pada masa kini dilihat gemar memakai inai dan kurang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.

“Kuku tak apa kan, tetapi yang ukir-ukir (inai) jururawat tegur sebab susah hendak suntik jarum takut tidak nampak,” soal Kiela Shqla.

“Ukir ke kuku ke kalau boleh elak, elak kerana untuk ukir susah hendak suntik jarum kalau tiba-tiba perlu jalani pembedahan Caesarean,” balas Nur Nabiila.

“Emak emak muda sekarang ramai ratu TikTok dan Instagram. Jual inai celup,” komen seorang pengguna media sosial tersebut.

“Saya setuju sangat-sangat apa yang misi Bel beritahu. Macam mereka yang memiliki tekanan darah rendah memang pantang pakai inai semasa mengandung. Jadi kalau nak melaram tunggu lepas bayi keluar ya,” ulas Ruzana.

“Teringat lepas bersalin tiga tahun lepas. Jururawat tanya ada rasa nak pitam tak? Saya pula rasa tubuh bergoyang dengan tiada selera makan. Terus jururawat periksa kuku,” komen Hajar Yahaya.

- Kosmo!

 

 

29 Jun 2021

Kombinasi vaksin AstraZeneca dan Pfizer beri perlindungan lebih baik

by

 

Satu kajian mendapati gabungan vaksin AstraZeneca dan Pfizer mampu memberikan perlindungan lebih baik dalam bagi melawan jangkitan Covid-19, lapor portal berita MailOnline.

Kajian yang disokong kerajaan Britain itu turut mendapati individu yang menerima vaksin Pfizer sebagai suntikan kedua selepas dos AstraZeneca menghasilkan antibodi sembilan kali lebih banyak berbanding sekiranya menerima satu jenis vaksin sahaja.

Menerusi kajian terhadap 830 sukarelawan berumur 50 tahun ke atas itu, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang menerima dua dos vaksin Pfizer, dua dos AstraZeneca dan kombinasi antara kedua-duanya.

Menurut Ketua Penyelidik kajian tersebut, Profesor Matthew Snape, beliau tidak mencadangkan bahawa lebih baik untuk menggabungkan dua vaksin tersebut kerana bimbang melambatkan kempen vaksinasi yang sedang berjalan.

“Pemberian satu jenis vaksin, sama ada Pfizer atau AstraZeneca ternyata berkesan untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19 serta varian Delta.

“Jadi, adalah lebih baik untuk kerajaan Britain kekal kepada vaksinasi standard yang dilaksanakan pada ketika ini kerana ia terbukti berkesan dalam kes sebenar,” katanya.

Sumber : Agensi

 

Pelajar ke luar negara boleh mohon vaksinasi awal

by

 

Pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di luar negara boleh membuat permohonan bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19 lebih awal.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam ciapan di Twitter, berkata permohonan vaksinasi awal boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera.

"Bagi pelajar yang sudah memohon melalui laman vaksincovid.gov.my sebelum ini, permohonan anda juga sah dan akan disemak," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut ciapan itu, pelajar yang ingin membuat permohonan vaksinasi awal melalui aplikasi MySejahtera boleh berbuat demikian dengan memilih ikon Helpdesk.

Selepas menu Mula, pemohon akan dibawa ke halaman Janji Temu Vaksinasi serta perlu mengambil pilihan A khusus bagi pelajar yang perlu ke luar negara untuk pengajian.

"Isi maklumat bersama dokumen MySJ ID, nombor kad pengenalan atau pasport dan pilih serta hantar dokumen berkaitan.

"Pastikan maklumat yang dimasukkan adalah betul semasa penghantaran permohonan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Semua pinjaman layak moratorium kecuali kad kredit

by

 

Bank-bank akan menawarkan moratorium enam bulan untuk bayaran ansuran semua kemudahan kredit kecuali kad kredit kepada peminjam dan pelanggan yang boleh dibuat secara permohonan.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dalam kenyataan bersama berkata, golongan yang layak ialah semua peminjam individu termasuk golongan B40, M40 dan T20.

Selain itu katanya, semua perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

"Untuk kad kredit, bank akan menawarkan untuk menukarkan baki tunggakan kepada pinjaman atau pembiayaan selama tiga tahun dengan kadar keuntungan atau faedah dikurangkan bagi membantu peminjam menguruskan hutang mereka dengan lebih baik.

"Di bawah skim ini, peminjam hanya perlu menghubungi bank mereka untuk memilih moratorium ini dan kelulusan akan diberi secara automatik kepada semua peminjam yang termasuk dalam kategori dinyatakan.

"Bank komited untuk menjadikan prosesnya semudah dan selancar yang boleh tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan bagi tujuan kelulusan," katanya.

Kenyataan itu menambah, moratorium automatik itu terpakai untuk pinjaman atau pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tiada tunggakan lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada bank.

Katanya, peminjam atau pelanggan yang ingin mengambil moratorium ini perlu menghubungi bank mereka bermula 7 Julai ini dan seterusnya.

"Oleh kerana sekatan pergerakan masih diteruskan, peminjam atau pelanggan amat digalakkan untuk menghubungi bank mereka melalui saluran digital rasmi seperti laman web bank, e-mel atau melalui telefon.

"Sekiranya tidak dapat menggunakan saluran digital bank, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk mengemukakan permohonan untuk moratorium.

"Namun, mereka disarankan untuk memeriksa terlebih dulu di laman web bank masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai perubahan waktu operasi atau pengaturan untuk perkhidmatan di kaunter berikutan sekatan pergerakan yang masih berjalan," katanya.

Bank, kata ABM dan AIBIM, akan berusaha untuk memproses semua permintaan moratorium secepat mungkin.

Namun, ia berkata, memandangkan jumlah permintaan yang besar dan kekangan akibat sekatan pergerakan terhadap protokol kerja di mana semua bank anggota beroperasi, mungkin terdapat beberapa cabaran operasi pada permulaannya.

"Peminjam atau pelanggan tidak perlu bimbang dengan komitmen penuh oleh ahli bank untuk memastikan semua masalah akan ditangani tepat pada waktunya.

"Selain itu, seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam atau pelanggan akan kekal tidak terjejas dengan pemilihan moratorium ini.

"Justeru, mereka tidak perlu bimbang dengan kesan terhadap profil kredit masa depan mereka," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Moratorium: Tiada faedah terkompaun, penalti lewat bayar

by

 

Bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium automatik yang ditawarkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkara itu telah dipersetujui oleh bank dalam satu perbincangan baru-baru ini, selepas kerajaan membangkitkan perkara terbabit.

"Fokus utama pemberian moratorium ini adalah untuk membantu rakyat dan perniagaan yang kini dalam kesusahan akibat COVID-19 dalam menguruskan aliran tunai," katanya pada sidang media maya mengenai PEMULIH, hari ini.

Perbezaan secara umumnya, kadar faedah adalah kos ke atas pinjaman yang mana peminjam menjelaskan fi kepada bank bagi pinjaman yang dibuat, manakala kadar faedah terkompaun pula adalah ke atas jumlah prinsipal serta juga faedah terkumpul dalam setiap tempoh pinjaman.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, konsep pelaksanaan moratorium automatik yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam adalah sama seperti mana dilaksanakan tahun lalu.

Katanya, pelanggan terdiri daripada individu, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan melalui proses dan kaedah sama seperti mana moratorium sebelumnya.

"Penawaran moratorium automatik terbaharu kepada rakyat dan perniagaan ini juga bukan sifar kadar faedah sepanjang tempoh penangguhan. Kadar faedah bergantung kepada bank masing-masing termasuk jenis produk pinjaman yang ditawarkan kepada pelanggan.

"Kaedah adalah sama dengan moratorium automatik sebelum ini. Bukan sifar kadar faedah. Perlu difahami adalah moratorium ialah bantuan penangguhan bayaran balik yang mana bank bersetuju bantu mereka terkesan secara automatik.

"Pelanggan perlu rujuk dan berbincang dengan bank untuk mengetahui kadar faedah kerana semua bank adalah berbeza ," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan peka dengan kesusahan yang dialami rakyat dan perniagaan, namun mungkin ada yang tidak memerlukan moratorium automatik terbabit.

"Bantuan moratorium ini adalah terjamin untuk golongan B40, M40, T40, perusahaan mikro dan PKS," katanya.

Ditanya sama ada pemberi moratorium automatik itu akan memberi impak kewangan kepada bank, beliau menjelaskan, kerajaan percaya institusi perbankan mampu menyerap implikasi terbabit.

"Berdasarkan perbincangan dengan bank sebelum ini, mereka memiliki kemampuan untuk menawarkan moratorium selama enam bulan kepada pelanggan berdasarkan keupayaan dari aspek penampan kewangan yang kukuh," katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan PEMULIH dengan pemberian maratorium menjadi antara aspek penting yang ditekankan dalam pakej rangsangan terbaharu kerajaan.

Moratorium selama enam bulan yang akan ditawarkan bermula 7 Julai ini akan membabitkan nilai keseluruhan pakej RM80 bilion.

Sumber : Berita Harian

 

 


Pengguna TNB nikmati diskaun bil elektrik 40 peratus

by

 

 

Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) memperincikan pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik di Semenanjung dan Sabah yang diumumkan kerajaan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan, seramai 2.9 juta pengguna domestik di Semenanjung yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200 kilowatt jam (kWj) akan menikmati diskaun bil elektrik sebanyak 40 peratus.

Katanya, bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan antara 201 hingga 300kWj pula akan mendapat diskaun sebanyak 15 peratus, penggunaan elektrik di antara 301 hingga 600kWj (diskaun 10 peratus) dan penggunaan elektrik di antara 601 hingga 900kWj (lima peratus).

"Diskaun ini akan diberikan bagi bil elektrik bulan Julai, Ogos dan September ini," katanya dalam kenyataan.

Diskaun itu antara inisiatif bantuan menerusi pakej Pemulih yang bernilai RM150 billion diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, untuk meringankan beban rakyat berikutan pendemik Covid-19.

Shamsul Anuar berkata, bagi pengguna elektrik bukan domestik di Semenanjung pula, diskaun diberikan lima peratus bagi kategori tarif komersial, industri dan pertanian di bawah voltan rendah, manakala pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih dalam inisiatif PEMERKASA Plus akan terus menerima diskaun 10 peratus bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, pengguna elektrik di Sabah akan menikmati diskaun bil elektrik secara bersasar bagi tempoh tiga bulan bermula Julai melibatkan diskaun 40 peratus bagi penggunaan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah.

"Pengguna elektrik bulanan di antara 201 hingga 300kWj terima diskaun 15 peratus; 301 hingga 500kWj (diskaun 10 peratus) dan 501 hingga 1000kWj (diskaun lima peratus).

"Bagi pengguna bukan domestik di Sabah di bawah kategori komersial, industri dan pertanian bervoltan rendah akan menikmati diskaun bil elektrik sebanyak lima peratus, sama seperti di Semenanjung," katanya.

Sepanjang tempoh kawalan pergerakan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara, beliau berkata, tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna, penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi enam bulan sehingga 30 September dan Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember.

Sumber : Harian Metro

 

Kibar bendera putih jika perlu bantuan

by

 

Kempen mengajak orang ramai mengibar bendera berwarna putih tular dalam pelbagai platform media sosial, hari ini.

Tinjuan Kosmo! mendapati carian kata kunci bendera putih dalam medium Facebook, Instagram dan Twitter mendapati saranan mengibarkan bendera putih disyorkan kepada mereka yang menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan terutamanya dalam berdepan cabaran musim pandemik.

“Saya nasihatkan kepada semua yang susah, tiada makanan, naikkan bendera putih di rumah anda. Biar orang di sekeliling memberi sedikit sebanyak yang termampu.

“Jangan ambil tindakan merugikan diri-sendiri dan keluarga. Elakkan stres, berkongsilah masalah dengan orang ramai. Tidak perlu merayu.

“Tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih. Semoga ada yg datang membantu,” tulis seorang pemilik akaun Facebook bernama Jah yang dipercayai antara individu terawal memulakan kempen tersebut kira-kira 11 jam lalu.

Seorang pemilik akaun Twitter bernama Jassa Li berkata, dia ternampak hantaran gambar di laman Facebook yang memaparkan tindakan meletak bendera putih seperti itu telah dilakukan jiran di rumah keluarganya di Johor Bahru semalam.

“Saya bertanya kepada kakak saya adakah perkara itu benar. Katanya betul. Keluarga tersebut terputus bekalan makanan. Ada anak kecil dan isteri sedang tunggu hari untuk bersalin,” kongsinya.

Rata-rata netizen menulis kata-kata sokongan dan menyatakan kesediaan untuk menghulur bantuan kepada individu yang berbuat demikian dan menyifatkannya idea tersebut amat bijak.

“Jiran adalah orang yang paling dekat dengan kita kerana jiran juga adalah keluarga. Kibarkan bendera putih supaya kami tahu. Kibarkan untuk kami bantu. Kibarkan untuk kami berganding bahu,” tulis Akmal Masduki di Instagram.

“Kempen ini begitu indah dan sekali lagi mengingatkan kita betapa kuatnya ikatan antara rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Alhamdulillah, walau apa yang terjadi sekalipun, kita masih mempunyai ruang untuk kemanusiaan,” ciap pengguna Twitter bernama Hamizahani.

“Idea yang amat bernas, kita mesti bantu rakyat Malaysia yang susah sampai tidak ada makanan. Jangan sesekali fikir untuk bunuh diri. Rakyat menolong rakyat,” komen seorang netizen bernama Sana Balakrishnan.

“Betul idea yang terbaik. Zaman Covid-19 ini jangan malu. Jangan banyak pendam. Kita tolong sesama kita. Kasihan anak-anak kecil. Siapa yang pernah mengalami kesusahan dan kelaparan saja yang tahu betapa azabnya. teruskan,” sokong Iena Azlin. 

Sumber : Kosmo!

 

Akhirnya ‘Mamat’ berjaya ditangkap

by

 

Seekor buaya tembaga digelar ‘Mamat’ yang dikatakan berkeliaran di lombong tinggal di Kampung Tepoh di sini sejak beberapa tahun lalu akhirnya berjaya ditangkap petang Isnin, 28 Jun 2021.

Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusuf berkata, buaya jantan berukuran 3.86 meter panjang dengan berat kira-kira 250 kilogram itu ditangkap pada pukul 5.45 petang.

Katanya, operasi menangkap haiwan liar berusia lapan tahun itu bermula pada pukul 4.30 petang dengan kaedah menjerat membabitkan kekuatan seramai 17 kakitangan.

“Sebelum ini kita memasang tiga perangkap di lokasi berkenaan sejak pertengahan Mei lalu, tetapi tidak berjaya menangkap Mamat.

“Operasi di lapangan selesai tanpa sebarang kemalangan dan buaya itu akan dibawa ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mamat yang dikatakan tersesat di lombong tinggal itu sejak 2016 mula menjadi perhatian ramai kerana sering diberi makan oleh penduduk kampung.

Pada 2019, Perhilitan Terengganu pernah memasang perangkap untuk menangkap buaya tembaga berkenaan, namun gagal sehingga ia muncul semula bulan lalu.

Sumber : Kosmo!

28 Jun 2021

Moratorium automatik 6 bulan tanpa syarat

by

 

Moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan akan diberi kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, pemberian moratorium itu tidak memperuntukkan sebarang syarat seperti pengurangan pendapatan, selain tiada semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon hilang pekerjaan.

Beliau turut memaklumkan tiada lagi dokumentasi perlu dikemukakan untuk permohonan bayaran balik pinjaman berkenaan.

"Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik, malah kemudahan ini ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

"Ini tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini.

"Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat pinjaman berkaitan," katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan dengan kerjasama Bank Negara dan pihak bank melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman, menerusi pengumuman PEMERKASA Tambahan sebelum ini secara bersasar.

Setakat ini, katanya, lebih 250,000 peminjam yang layak mendapat kelulusan secara automatik, namun hanya perlu memilih sama ada untuk mendapatkan moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

"Kerajaan faham keresahan rakyat pada masa ini. Ramai yang terjejas dan ini bukan membabitkan golongan B40 sahaja.

"Saya banyak mendengar dan membaca rintihan yang sama daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara-mara yang terjejas akibat COVID-19.

"Saya berharap inisiatif moratorium ini sedikit sebanyak dapat membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka sepanjang tempoh mencabar ini.

"Bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

PEMULIH: Bantuan tunai untuk miskin tegar

by

 

Isi rumah miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM500 tiga bulan berturut bermula Ogos ini, dalam pemberian khas Bantuan Khas COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mereka akan menerima bantuan RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 pada Disember.

"Individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.

"Isi rumah kategori B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) pula akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember, manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.

"Isi rumah kategori M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan) turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti," katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Muhyiddin berkata, bantuan itu dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.

Sumber : Berita Harian

 

Kerajaan umum PEMULIH bantu rakyat

by

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri ketika membentangkan PEMULIH berkata, pakej itu merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Walaupun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Muhyiddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat.

"Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19," katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, hari ini.

Menerusi PEMULIH, kerajaan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, dengan pengeluaran sehingga RM5,000, yang akan memberi manfaat kepada 12.6 juta ahli KWSP.

Pelaksanaan i-Citra akan menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian, yang mana permohonannya akan dibuka pada 15 Julai ini, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini.

Selain itu, moratorium automatik selama enam bulan akan turut diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro, yang mana permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini.

Permohonan moratorium berkenaan tidak mengenakan syarat seperti pemohon mesti mengalami pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan dan mengemukakan dokumentasi untuk permohonan.

Melalui fokus Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, kerajaan antara lain akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini, merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 (BKC) danBantuan Kehilangan Pendapatan.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Selain itu, sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu kerajaan menangani isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Di bawah fokus Menyokong Perniagaan, beberapa pendekatan akan ditambah baik termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Kerajaan akan menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, membabitkan bayaran RM500 kepada penerima yang layak, masing-masing pada September dan November ini yang diharap akan memanfaatkan satu juta usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Selain itu, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 akan dilaksanakan dengan peruntukan RM3.8 bilion, yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar RM600 setiap pekerja selama empat bulan tanpa syarat had gaji ditetapkan.

Di bawah fokus Meningkatkan Vaksinasi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa, antara lain melalui tambahan bekalan vaksin dengan peruntukan RM400 juta bagi menampung 130 peratus populasi rakyat, berbanding 120 peratus sebelum ini.

Kerajaan juga akan membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, tambahan kepada 341 PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-toHome dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta.

Sumber : Berita Harian

 

 

Teks ucapan penuh Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)

by

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

1. Izinkan saya memulakan bicara pada hari ini, dengan mengangkat setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah Subhanahu wa Taala bahawa Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui atas segala-galanya, serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

2. Mengambil ibrah petikan doa yang sering diungkapkan dalam ayat ke-10, Surah al-Kahfi,

رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَٓ رَحۡمَة وَهَيِّئٓۡ لَنَا مِنۡٓ أَمۡرِنَا رَشَ دا

"Sesungguhnya kami memohon rahmat dari sisi-Mu Ya Allah, kami memohon dipermudahkan atas segala urusan dan kami memohon keselamatan atas segalanya".

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

3. Pada 15 Jun yang lalu, saya telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara atau PPN sebagai suatu panduan atau roadmap peralihan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan secara berfasa. Pelan ini membolehkan saudara dan saudari membuat perancangan yang sejajar dengan langkah-langkah Kerajaan untuk melawan COVID-19 dan memulihkan negara.

4. Peralihan secara berperingkat ini merangkumi empat fasa dan bersandarkan kepada tiga indikator: pertamanya bilangan kes harian COVID-19, kedua, kadar penggunaan katil di wad ICU, dan ketiga, peratusan rakyat yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

5. Sehingga kini, ketiga-tiga indikator ini masih belum mencapai nilai ambang untuk kita beralih daripada fasa pertama ke fasa kedua. Kes harian COVID-19 masih berada pada paras melebihi 4 ribu kes sehari atau bersamaan dengan 12 kes bagi setiap 100 ribu penduduk.

6. Namun begitu, walaupun secara keseluruhan nilai ambang nasional belum tercapai, pelaksanaan PPN fasa pertama telah menunjukkan beberapa perkembangan positif. Bilangan kes harian COVID-19 telah berada di bawah paras 12 kes bagi setiap 100 ribu penduduk di sembilan negeri dan hampir semua negeri setakat ini lebih 10 peratus penduduknya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

7. Mengambil kira situasi semasa terutamanya kemunculan varian baharu yang lebih ganas, Kerajaan sedar bahawa kapasiti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK perlu ditingkatkan supaya lebih ramai lagi boleh divaksin dengan segera. Sementara itu agenda prihatin dan keselamatan rakyat akan diteruskan, dan sektor perniagaan perlu terus disokong.

8. Yang saya boleh janjikan hari ini, biarpun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan saudara dan saudari semua. Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19. Hari ini, saya ingin menyampaikan beberapa pengumuman penting dan insha-Allah akan ada beberapa perkhabaran baik buat semua.

PAKEJ PERLINDUNGAN RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI - PEMULIH

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

9. Saya tahu dan saya faham bahawa ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan pada masa ini kerana kehilangan pekerjaan dan tidak dapat berniaga atau bekerja seperti biasa. Pengusaha kedai makan dan restoran menanggung rugi kerana ketiadaan pelanggan. Tukang rumah dan pekerja kontrak hilang pendapatan kerana sektor pembinaan bukan kritikal tidak dibenarkan beroperasi. Begitu juga pemilik kedai gunting rambut, kedai pakaian, pusat cuci kereta, peniaga pasar malam dan lain-lain yang tidak boleh menjalankan perniagaan. Banyak individu, syarikat dan perniagaan yang terjejas kerana sektor mereka tidak dibenarkan beroperasi.

10. Kerana itu, sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita, Kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah 380 bilion ringgit. Setakat ini, sebanyak lebih 200 bilion ringgit telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan. Belanjawan 2021 pula bernilai 322.5 bilion ringgit dan masih berbaki 100 bilion ringgit untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini.

11. Maka, pada hari ini pula, sukacita saya ingin umumkan pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau PEMULIH.

12. Nilai keseluruhan pakej PEMULIH berjumlah 150 bilion ringgit merangkumi suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak 10 bilion ringgit. PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

FOKUS PERTAMA: MENERUSKAN AGENDA PRIHATIN RAKYAT

Saudara dan saudari yang dikasihi,

13. Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, sukacita saya mengumumkan bahawa sehingga hujung tahun ini, Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah 10 bilion ringgit. Bantuan Tunai langsung ini merangkumi:

14. Pertama, Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. Semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, Kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga 500 ringgit pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun. Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara 100 hingga 1,400 ringgit akan dibayar pada bulan September nanti. Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR. Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah 4.9 bilion ringgit.

15. Kedua, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, sukacita saya umumkan, pemberian Bantuan Khas COVID-19 atau BKC dengan kadar dan kategori seperti berikut:

 Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos, 500 ringgit pada bulan November, dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan November;

 Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos; dan  Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak 250 ringgit, manakala bujang kategori M40 akan menerima 100 ringgit pada bulan Ogos nanti.

 Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.

16. Ketiganya ialah Bantuan Kehilangan Pendapatan. Pada bulan Oktober nanti, sebanyak 500 ringgit akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021. Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan 500 juta ringgit.

17. Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sewajarnya. Saya berharap bantuan tunai ini dapat membantu saudara dan saudari untuk meneruskan kelangsungan hidup pada bulan-bulan mendatang, insya-Allah.

18. Saya sedar kehidupan ramai di kalangan saudara-saudari yang terjejas teruk akibat lebih setahun berperang dengan pandemik COVID-19. Walaupun berjuta rakyat Malaysia telah menerima manfaat bantuan tunai dari Kerajaan sejak Mac 2020 dan ramai lagi menerima bantuan kerajaan dalam bentuk yang pelbagai, saya faham bantuan perlu terus dipertingkat selagi kemelut ini berlanjutan.

19. Ada yang terpaksa meminjam beras dari jiran, diusir dari rumah sewa, makan sekali sehari mengikat perut. Ada yang meminjam wang dari saudara mara dan sahabat yang lebih berkemampuan untuk membeli barangan dapur. Semuanya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga. Kerajaan mencuba sedaya upaya membantu meringankan beban yang dipikul saudara-saudari sekalian dan tidak pernah putus terus membantu sedaya mampu.

20. Seterusnya, Kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal. Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya 300 ringgit.

21. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan 125 juta ringgit melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan. Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30 ribu orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20 ribu pencari pekerja dalam ekonomi gig.

Saudara dan saudari,

22. Kerajaan sedar bahawa barangan keperluan asas amat penting bagi golongan yang memerlukan. Maka, sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak 300 ribu ringgit kepada setiap ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang, untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing. Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik. Baik Ahli Parlimen Kerajaan atau Pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan. Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing. Selain itu, 10 juta ringgit juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

23. Kerajaan komited untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup. Kita akan meneruskan dasar pengawalan harga barang perlu. Walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat, Kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang dijangka melibatkan subsidi melebihi enam bilion ringgit tahun ini. Seterusnya, untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram, Kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil. Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi 30 ringgit sebotol.

24. Selain itu, dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kilogram terjamin, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak satu bilion ringgit. Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga bersubsidi RM2.50.

25. Sejak dilanda pandemik ini, kita banyak mendengar mengenai masalah sosial. Antaranya termasuklah masalah tekanan mental dan emosi. Kerajaan akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih. Sebagai tambahan, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan 15 juta ringgit kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO dalam membantu Kerajaan menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Saudara dan saudari,

26. Bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara 5 hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan. Antaranya, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan. Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah 346 juta ringgit dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021.

27. Selain itu, bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021. Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, Kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak 1 bilion ringgit.

28. Selanjutnya berkaitan kesalinghubungan digital. Ketika ini kemudahan internet boleh dianggap utiliti keperluan asas bagi hampir semua aktiviti harian, termasuklah bagi pembelajaran, bekerja dari rumah, pembelian barangan secara dalam talian dan perkhidmatan Kerajaan serta swasta. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021. Kemudahan ini yang dianggarkan bernilai 500 juta ringgit bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara.

29. Selain itu, perkhidmatan bank bergerak telah dilancarkan pada bulan ini di Sarawak dan Bank Simpanan Nasional akan memulakan kemudahan tersebut di Sabah pada bulan Julai. Bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan, Kerajaan akan menawarkan peruntukan sebanyak 18 juta ringgit untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang bakal merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar. Melalui inisiatif ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun; penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang; pembayaran bil serta perbankan digital.

FOKUS KEDUA: MENYOKONG PERNIAGAAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

30. Fokus kedua dalam pakej PEMULIH ini ialah Menyokong Perniagaan. Kerajaan sedar, dalam fasa pertama dan kedua PPN, kebanyakan premis perniagaan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Oleh itu, Kerajaan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan dalam kedua-dua fasa-fasa ini. Melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

31. Pelaksanaan Geran Khas Prihatin atau GKP telah berjaya menyokong kelangsungan perniagaan atau business survival dalam kalangan peniaga kecil, terutamanya mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi. Secara keseluruhan Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 5.1 bilion ringgit melalui inisiatif GKP. Terkini, di bawah PEMERKASA Tambahan, penerima yang layak telahpun mendapat bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak 1 ribu ringgit kira-kira dua minggu lepas, dan bakal mendapat 500 ringgit lagi pada pertengahan bulan Julai nanti.

32. Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak 500 ringgit akan dibayar pada bulan September dan 500 ringgit lagi pada bulan November 2021.

33. Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira 1 juta usahawan PKS mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik workshop, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka, Insya-Allah. Apa yang penting, kepada usahawan mikro yang masih belum pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada pertengahan Julai nanti.

Saudara dan Saudari,

34. Sejak Program Subsidi Upah atau PSU diperkenalkan, Kerajaan telahpun membelanjakan lebih 15 bilion ringgit bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja. Memandangkan respon positif berhubung program ini, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak 3.8 bilion ringgit yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

35. Melalui inisiatif PSU 4.0, Kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak 600 ringgit setiap pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.

36. Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah 4 ribu ringgit, sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan. Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih 4 ribu ringgit.

37. Selanjutnya, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa PKP. Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini dianggarkan bernilai sebanyak 425 juta ringgit.

38. Seterusnya, saya ingin menyentuh mengenai penciptaan pekerjaan, penawaran latihan dan peningkatan pendapatan pekerja. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih 243 ribu peluang pekerjaan berjaya diwujudkan. Di bawah Majlis Pekerjaan Negara atau NEC, Kerajaan akan mencipta peluang-peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri.

39. Melalui program PenjanaKerjaya oleh PERKESO, Kerajaan telah menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan baharu. Sehingga kini, sebanyak 170 juta ringgit telah disalurkan yang telah dimanfaatkan lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja.

40. Memandangkan PenjanaKerjaya ini dijadual berakhir pada akhir Jun ini, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program ini dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan. Ini antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada 1,500 ringgit kepada 1,200 ringgit untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan. Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan.

Saudara dan saudari,

41. Seterusnya, program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej PENJANA tahun lalu telah berjaya membantu lebih 200 ribu usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-Dagang dengan nilai transaksi mencecah 1.8 bilion ringgit.

42. Sehubungan itu, bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, Kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan 200 juta ringgit untuk PMKS dan 100 juta ringgit untuk PKS.

Pertama: Meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai;

Kedua: Menambah peruntukan sebanyak 100 juta ringgit di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga 5 ribu ringgit untuk pembelian sistem atau langganan platform digital;

Ketiga: Menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM. Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital;

Keempat: Memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian. Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.

43. Saya juga mendengar keluhan golongan karyawan, artis, pemuzik, pelakon, penggiat teater, penulis dan krew produksi yang turut terkesan ekoran syarat PKP yang tidak membenarkan mereka terlibat dalam aktiviti seni dan persembahan ketika ini.

44. Maka, bagi membantu lebih 8 ribu penggiat seni dan terus menyokong industri seni dan kreatif tempatan, Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan. Peruntukan ini antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu.

45. Di samping itu, Kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula. Sehubungan itu, Kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah 3 ribu ringgit kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.

46. Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika.

47. Kerajaan juga mendengar suara pengusaha kantin di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan mereka hilang mata pencarian. Kerajaan bersetuju bantuan kewangan sebanyak 1 ribu ringgit diberikan kepada semua pengusaha kantin berdaftar.

48. Selanjutnya, Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada mereka.

49. Bagi membantu golongan kurang upaya yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan 500 ringgit seorang untuk tempoh tiga bulan. Untuk itu, 30 juta ringgit diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU.

50. Kerajaan juga akan melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum atau JITU bagi tujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan membimbing golongan OKU dan gelandangan dalam perniagaan. Sejumlah 20 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan ini dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 40 ribu individu.

Saudara dan Saudari,

51. Saya juga ingin memaklumkan di sini, Kerajaan akan memudah cara prosedur Perolehan Kerajaan seperti berikut:

Pertama: Membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan sehingga 31 Disember 2021;

Kedua: Membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta jadual kadar kerja elektrik;

Ketiga: Membenarkan lanjutan masa atau extension of contract (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada klausa kontrak.

52. Seterusnya kepada 9 ribu usahawan MARA yang turut terjejas akibat COVID-19, Kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka membuat permohonan penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.

53. MARA juga akan melanjutkan pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh lima bulan lagi iaitu sehingga Disember 2021. Lebih 5,700 penyewa dijangka memperoleh manfaat daripada inisiatif ini. Saya menyarankan agar lebih banyak badan berkanun, syarikat GLC dan PBT turut memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan.

54. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pemilik-pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus kepada peniaga dalam tempoh sehingga 31 Disember 2021 layak mendapat potongan khas cukai.

Saudara – saudari yang dikasihi,

55. Sebagai langkah berterusan untuk membantu sektor PKS kekal relevan dan berdaya saing, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad atau SJPP telahpun meningkatkan had siling pembiayaan skim jaminan kerajaan di bawah SJPP sebanyak 10 bilion ringgit bagi tahun 2021 kepada 36.5 bilion ringgit. Sehingga 24 Jun 2021, SJPP telah memberikan jaminan bagi pembiayaan bernilai 33.4 bilion ringgit kepada lebih 45 ribu buah syarikat.

56. Bagi terus menyokong sektor PKS mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan, Kerajaan akan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah SJPP sebanyak 20 bilion ringgit menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 56.5 bilion ringgit.

57. Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS. Sehingga kini, masih terdapat 6.6 bilion ringgit baki sedia ada daripada keseluruhan 25.1 bilion ringgit yang telah disediakan oleh BNM untuk manfaat pemohon baharu. Melalui pakej PEMULIH hari ini, BNM bersetuju untuk menambah dua bilion ringgit lagi menjadikan baki dana ini berjumlah 8.6 bilion ringgit. Diharapkan dana ini dapatlah memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka.

58. Bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga 1.1 bilion ringgit. Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah 500 juta ringgit, dan TEKUN sebanyak 100 juta ringgit. Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada untuk 2021 sebanyak 3 bilion ringgit dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro.

59. Institusi koperasi juga disokong dalam tempoh yang sukar ini melalui peruntukan 20 juta ringgit bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi. Program ini membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi, termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan pembelian barangan di kedai koperasi.

60. Di samping itu, sektor pelancongan merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. Sebagai pendorong atau kick-start, apabila negara beralih ke fasa ketiga PPN kelak, Kerajaan akan menyediakan bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar.

61. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini. Seterusnya, apabila negara beralih ke fasa keempat PPN, Kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiatkan semula aktiviti pelancongan.

Pelaksanaan i-Citra and Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Bank

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang dikasihi,

62. Kerajaan inilah yang mula-mula sekali mencadangkan pelaksanaan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19. Kita telah menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan inisiatif seumpama ini. Alhamdulillah, ia memberi kesan positif dan amat membantu aliran tunai rakyat sehingga kini.

63. Maka dengan itu, bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang terjejas akibat PKP, KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra. Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga 5 ribu ringgit dengan kadar bayaran tetap 1 ribu ringgit sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli. Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

64. Hakikatnya ini merupakan keputusan sukar kerana Kerajaan sedar, ini adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.

65. Selanjutnya, saya ingin mengumumkan beberapa inisiatif berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman yang boleh dimanfaatkan oleh semua dalam tempoh yang sukar ini.

66. Bagi membantu para peminjam pendidikan, sukacita saya umumkan bahawa beberapa agensi Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran antaranya:

Pertama: memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN;

Kedua: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan;

Ketiga: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah 100 ringgit selama 12 bulan;

Keempat: menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.

Nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah 400 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.

67. Selanjutnya, pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga. Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat daripada pelanjutan ini. Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan yang ditangguhkan dianggarkan sebanyak 2.6 bilion ringgit.

68. Akhir sekali, tentunya berhubung pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman bank. Semasa pengumuman pakej bantuan PEMERKASA Tambahan, Kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak bank telah melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar. Setakat ini, lebih daripada 250 ribu peminjam yang layak telah mendapat kelulusan secara automatik. Mereka hanya perlu memilih sama ada untuk mendapatkan moratorium selama 3 bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

69. Kerajaan faham keresahan rakyat pada masa ini. Ramai yang terjejas dan ini bukanlah melibatkan golongan B40 sahaja. Saya banyak mendengar dan membaca rintihan yang sama daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara mara yang terjejas akibat COVID-19.

70. Oleh itu, sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan. Anda Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.

71. Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini. Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain.

FOKUS KETIGA: MENINGKATKAN VAKSINASI

Saudara-saudari yang dikasihi,

72. Fokus ketiga kerajaan ini mempercepatkan program vaksinasi. Statistik sehingga 26 Jun 2021 menunjukkan, sejumlah 7 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi 5 juta orang. Sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir 2 juta orang atau 6 peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

73. Alhamdulillah, kita juga telah berjaya mengekalkan kadar pemberian vaksin secara purata melebihi 200 ribu sehari dalam tempoh 7 hari lalu. Selain itu, seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk mendapatkan bekalan vaksin setakat ini.

74. Melihat kepada pencapaian ini, Kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat. Sehubungan itu, bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK akan terus diperkasa.

75. Justeru, sukacita saya umumkan beberapa inisiatif tambahan yang akan dilaksanakan seperti berikut:

76. Pertama: Bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah 400 juta ringgit diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara. Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

77. Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun. Anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini akan diutamakan.

78. Saya juga ingin tegaskan, Kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus. Ia telah menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan.

79. Kedua: Sehingga hari ini, Kerajaan telah membuka sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan (8) PPV IPT. Bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, Kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home dengan peruntukan keseluruhan berjumlah 200 juta ringgit.

80. Sebagai contoh, saya telah mengunjungi program MyMedic @ Wilayah Mobile Vaccination di PPR Sri Johor, Kuala Lumpur yang menumpukan warga emas dan gelandangan serta penggunaan beberapa unit bas bergerak ke kawasan luar bandar yang melibatkan program imunisasi Orang Asli dan beberapa PPV pandu-lalu di IPTA. Baru-baru ini, saya juga berkesempatan mengunjungi PPV OKU-pandu lalu OKU Sentral di Ara Damansara, yang pertama seumpanya di dalam negara

.

81. Ketiga: Beberapa hari yang lalu, saya telah umumkan kenaikan bayaran sagu hati daripada 50 ringgit kepada 100 ringgit sehari bagi sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021. Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin. Saya juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat.

82. Sebagai tambahan, sukacita daya umumkan, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14 ribu barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada 200 ringgit kepada 600 ratus ringgit selama enam bulan bermula Julai 2021. Kedua-dua inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 200 juta ringgit. Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta.

83. Keempat: MITI telah menyelaras Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta atau PIKAS sebagai galakan kepada syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai PPV dan menjalankan program imunisasi kepada pekerja. Kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan. Kerjasama ini penting untuk membolehkan kita mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan berterusan di tempat-tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan lebih baik.

84. Sehubungan itu, bagi menggalakkan pelaksanaan PIKAS dan mengurangkan tanggungan syarikat, sejumlah 150 juta ringgit akan disediakan. Di bawah inisiatif ini, antara lainnya:

 Kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19;

 Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan. Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV; dan Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin.

85. Kelima: Bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan. Antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga 30 ringgit atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka.

86. Nilai keseluruhan bagi fokus ketiga ini berjumlah 1 bilion ringgit.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

87. Saya amat memahami keresahan yang dirasai oleh saudara dan saudari ketika ini. Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri sentiasa memikirkan keluh-kesah dan kesusahan yang dialami oleh anda semua dan mencari jalan untuk mengatasinya.

88. Kerajaan tetap terus bergerak, berjuang dan berusaha keras setiap masa, sekalipun dalam keterbatasan, untuk memastikan negara kekal berada pada landasan pemulihan yang tepat dan nasib anda semua terus terbela. Biarpun diuji setiap segi, Kerajaan berikrar akan terus cekal memberikan khidmat terbaik buat anda semua.

89. Saya ingin tegaskan, Kerajaan sentiasa mendengar dan menerima pandangan semua pihak dengan hati terbuka, memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, berusaha dan berikhtiar mencari jalan keluar dari kemelut pandemik ini. Percayalah, kerajaan akan terus membantu sedaya mampu supaya rakyat dan negara kita terus dilindungi.

90. Program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan kita melawan COVID-19. Bagi mereka yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, segeralah menunaikan kewajipan anda untuk kebaikan kita bersama. Berilah kerjasama penuh dan juga sedikit masa bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, supaya Pelan Pemulihan ini berjaya dilaksanakan. Lindung diri, lindung semua.

91. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Kepada-Mu jualah kami memohon pertolongan dan Engkau lah sebaik-baik pelindung.

Sumber : Berita Harian

 

Perbelanjaan dan hutang kerajaan masih terkawal

by

 

Peningkatan paras defisit serta pertambahan ambang hutang statutori kepada 60 peratus menunjukkan kerajaan bersedia berbelanja sebagai tindak balas terhadap krisis.

Dalam pada itu, kerajaan juga memastikan langkah yang dilaksanakan masih di paras yang bertanggungjawab, demikian kata Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, langkah itu dicerminkan oleh pengumuman firma penarafan kredit global, S&P Global Ratings (S&P) yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara dengan menyokong usaha yang dilaksanakan kerajaan masih dalam had dasar yang bertanggungjawab di samping pengukuhan ekonomi negara.

Katanya, walaupun agak terhad dalam ruang fiskal, kerajaan akan memastikan sokongan yang mencukupi dalam memastikan sistem kesihatan negara mempunyai kapasiti untuk bertindak balas terhadap krisis kesihatan semasa, memastikan rakyat yang terjejas mendapat bantuan dan memastikan kelangsungan perniagaan.

"Sememangnya (kita berada) dalam krisis. Kerajaan menunjukkan kesediaan secara bertanggungjawab dengan berbelanja lebih sebagai tindak balas kepada krisis dan pada masa sama mengekalkannya dalam paras yang bertanggungjawab," katanya dalam satu temubual bersama stesen radio perniagaan, BFM89.9 hari ini.

Kerajaan kekal komited terhadap konsolidasi fiskal jangka sederhana dalam memastikan kemapanan fiskal negara. Dalam tempoh sedekad yang lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.4 peratus pada 2019. 

Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, defisit fiskal 6.0 peratus yang disasarkan pada tahun ini diunjurkan berkurang kepada paras purata sekitar 4.5 peratus antara 2021 hingga 2023 dengan jangkaan harga minyak mentah yang lebih tinggi serta keperluan sokongan fiskal yang berkurangan seiring dengan pemulihan pandemik COVID-19.

Mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Johan berkata, kerajaan yakin pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat dalam beberapa fasa mengikut pelan pemulihan itu adalah lebih selamat dan stabil berbanding pembukaan sektor ekonomi secara meluas dan cepat, yang mana boleh menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.

Beliau berkata, langkah yang dilaksanakan dalam PPN menyaksikan usaha untuk keluar daripada sekatan pergerakan secara beransur-ansur berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan untuk beralih ke fasa selanjutnya.

Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PPN Negara yang menetapkan aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat di bawah fasa kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis sekiranya purata kes harian COVID-19 turun di bawah 4,000.

Seterusnya, Malaysia boleh beralih kepada fasa ketiga, dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos 2021, sekiranya berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian COVID-19 turun kepada paras di bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU kepada paras mencukupi serta 40 peratus populasi negara telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa keempat boleh digerakkan sekiranya nilai ambang tercapai iaitu purata kes harian berkurangan kepada paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada pada paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa keempat yang dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir Oktober 2021, mungkin boleh mengembalikan norma kehidupan seharian dengan semua sektor ekonomi dibuka, lebih banyak aktiviti sosial dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sumber : Berita Harian

 

 

27 Jun 2021

Makan di restoran dibenar pada fasa tiga PPN

by

 

Makan di restoran hanya dibenarkan ketika bermulanya fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika fasa itu juga, semua sektor pendidikan termasuk sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, institut latihan kemahiran (ILK) dan institusi pendidikan lain akan mula dibuka.

"Aktiviti sosial masih tidak dibenarkan pada fasa tiga. Bagaimanapun, kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang dalam satu masa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, aktiviti pelancongan turut dibenarkan pembukaannya pada fasa tiga kelak dengan syarat pelancongan dalam negeri saja dan industri kreatif seperti acara langsung tanpa penonton. 

Sementara itu, beliau berkata, semua prosedur operasi standard (SOP) fasa satu PPN yang sedang berkuat kuasa ketika ini menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih diguna pakai kepada semua aktiviti sosial dan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi.

Bagi fasa kedua, katanya, kebenaran operasi bagi sektor ekonomi pembuatan, perdagangan dan pengedaran akan mula diperluas membabitkan automotif, getah, seramik, besi dan keluli, simen, kilang perabot bagi tujuan eksport, kedai buku dan alat tulis, kedai cuci kereta, barangan elektrik, gunting rambut serta komputer dan telekomunikasi.

Sumber : Berita Harian

 

2 kembar terpisah 20 tahun lalu kerana tertukar bayi

by

 

Bagaikan kisah dalam sinetron, dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih memeritkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, 'kembarnya' Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, telah dewasa dan disahkan September tahun lepas selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Adryani Iwani berkata, kejadian itu mula terbongkar ketika dia berada di Tingkatan Empat sewaktu mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain yang mendakwa mukanya seiras dengan rakan sekolah mereka, Noratirah.

"Saya kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum dia berkongsi akaun Instagram Noratirah yang dikatakan, seiras dan sebaya dengan saya.

"Apabila saya maklumkan perkara itu kepada kakak, dia mengeyakan persamaan ketara wajah kami, namun mama (panggilan untuk ibu) berpandangan sebaliknya menyebabkan saya tidak ambil peduli selepas itu dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa," katanya.

Bagaimanapun, bagaikan telah ditakdirkan, mereka akhirnya bertemu buat kali pertama secara bersemuka di Karnival Jom Masuk U di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019 menyebabkan masing-masing terpana apabila melihat persamaan yang ketara dari segi wajah dan tubuh badan.

"Saya terkejut, sebelum ini hanya dengar daripada kawan kata, ada orang muka sama dengan saya, sekali tengok, eh…betullah ada orang muka serupa dengan saya. Belum pernah lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian," katanya.

Menurutnya, akibat terlalu terkejut masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa menyapa, namun perkara itu disedari oleh rakan yang lain.

Katanya, kejadian itu tidak berakhir di situ dan ia berlarutan hingga Ogos tahun lepas apabila seorang rakannya memaklumkan tarikh lahirnya sama dengan Noratirah iaitu pada 19 Ogos selepas dia memuat naik dalam media sosial gambar majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan di rumah.

Katanya, Noratirah kemudian menghubunginya melalui Instagram dan bertitik tolak daripada itu, banyak perkara dibincangkan dan mendapati terlalu banyak persamaan untuk disifatkan sebagai kebetulan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melakukan ujian DNA.

"Selepas berbincang, kedua-dua keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pertalian antara kami," katanya.

Pelajar Diploma Kejururawatan berkenaan menjelaskan, ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah membabitkan dirinya, ibunya Siti Aminah Ismail, 66, Adryana Iwani, Noratirah dan 'bapa' Noratirah, Husin Omar.

"Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis setelah mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.

"Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (telah meninggal dunia pada 2018) yang sebelum itu telah membesarkan Noratirah," katanya.

Sementara itu, kakak Adryani Iwani, Ayu Haryani, 42, pula berkata ibu mereka memaklumkan, doktor yang bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika itu adalah kembar seiras atau sebaliknya.

"Tetapi disebabkan tag nama di kaki kedua-dua mereka nama mama, jadi keluarga kami tidak pernah terfikir tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras," katanya.

Ayu Haryani berkata berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani pukul 1.27 pagi dan kemudian Adryani Iwani 1.34 pagi.

Menurutnya, apabila diketahui keputusan ujian DNA, ibu mereka tidak dapat menerimanya dan pada peringkat awal, perkara itu juga tidak didedahkan kepada sesiapa pun kerana risau ia memberi kesan psikologi terutama kepada Adryana Iwani.

Ayu Haryani berkata, walaupun keputusan ujian DNA sudah diketahui, keluarganya tetap menganggap Adryana Iwani sebahagian daripada sembilan adik-beradiknya dan akan memintanya untuk terus tinggal bersama memandangkan adik-beradik kandungnya yang lain semuanya sudah berkahwin.

"Ibu kandungnya pula sudah tiada manakala ayahnya meninggal dunia selepas dua bulan ujian DNA diketahui," katanya dan menambah mereka sekeluarga telah melantik peguam dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

Pada masa sama juga Noratirah yang sebelum ini tinggal bersama 'ayahnya' di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu telah berpindah tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung Langgar, Kota Bharu sejak Januari lepas.

Sumber : BERNAMA

 

Top Ad 728x90