17 Jun 2021

, ,

108,820 akaun keldai direkod sejak 2018

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sejumlah 108,820 akaun bank dibuka 'keldai', digunakan sindiket pelbagai jenis penipuan dalam tempoh tiga tahun sejak 2018.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Kewangan, Perbankan, Koperasi dan Insurans Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata dalam tempoh tujuh bulan ini sahaja, sebanyak 25,000 akaun keldai sudah dikesan.

Katanya, peningkatan kes itu semakin membimbangkan kerana sindiket penipuan menggunakan pelbagai taktik dan modus operandi untuk memperdayakan mangsa.

"Dalam tempoh 41 bulan dari tahun 2018 hingga 31 Mei lalu, sebanyak 108,820 akaun bank direkodkan dan sejak tahun 2020 kita melihat penambahan yang ketara.

"Disebabkan itu, kita mahu setiap mangsa buat laporan kepada polis dengan segera bagi memastikan tindakan diambil.

"Setiap laporan yang dibuat, kita akan rekod data akaun yang terbabit serta melaporkan kepada bank perdagangan untuk memastikan tiada lagi mangsa lain tertipu dengan sindiket ini," katanya.

 

Menjelaskan demikian dalam bual bicara bertajuk 'Keldai Akaun Ancaman Keselamatan' yang dianjurkan Universiti Utara Malaysia (UUM) secara maya hari ini, Mazelan berkata, keldai akaun kini digerakkan dengan pelbagai modus operandi.

"Ini meskipun pihak berkuasa termasuk PDRM dan Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan. Ini terjadi kerana masih ada yang bekerjasama dengan sindiket, serahkan kad ATM sukarela kepada sindiket yang akan guna untuk lakukan pelbagai penipuan.

"Ada juga menyewakan kad ATM secara terang-terangan, iaitu dengan bayaran sekitar RM200 sahaja tanpa mengetahui implikasi yang akan menimpa mereka adalah lebih besar sekiranya dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pemilik akaun bank itu ditangkap, kemungkinan mereka tidak hanya dituduh bagi satu kesalahan jenayah, sebaliknya beberapa kesalahan lain kerana sindiket akan sedaya upaya mengoptimumkan penggunaan kad ATM terbabit.

"Bila ditangkap, mereka mungkin dituduh dari satu mahkamah ke mahkamah lain atas pelbagai kes. Malah, jika ada rekod kesalahan, pasti masa depan pemilik akaun itu sukar, terutama jika mahu mendapatkan pekerjaan atau mahu buka semula akaun bank kerana sudah disenarai hitam.

"Begitu juga ketika mahu mencari wang jaminan bagi kes mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pejabat BNM Pulau Pinang, Hasjun Hashim pula berkata, dalam isu keldai akaun, kebocoran data peribadi kepada sindiket bukan berlaku di pihak bank, sebaliknya tindakan mangsa sendiri yang membocorkan rahsia itu tanpa disedari.

"Tiga maklumat berharga diperlukan sindiket adalah nombor telefon, nombor kad pengenalan serta alamat rumah dan biasanya di mana kita membocorkan maklumat ini? Kita masuk pelbagai pertandingan atau kempen tertentu, sudah tentu maklumat ini akan diisi.

"Malah sekarang ada yang enggan mengimbas aplikasi MySejahtera, sebaliknya mengisi nama dan nombor telefon (pada buku rekod keluar masuk premis). Jika jatuh ke tangan sindiket, apa agaknya yang mereka lakukan," katanya.

Hasjun menjelaskan, desakan hidup ketika ini juga menyumbang kepada 'kerjasama' dengan sindiket, terutama di Lembah Klang yang membabitkan kumpulan miskin bandar.

"Kita kesan berlaku peningkatan keldai akaun di Selangor, Johor dan Sabah. Mereka biasanya golongan pekerja am, pekerja kilang, pelajar serta suri rumah. Kini trend memanipulasi penagih dadah juga ada," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90