19 Jun 2021

,

Azizan Osman muncul pemegang saham utama MPay

Azizan Osman pemegang saham mpay

 

Mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman kini antara pemegang saham utama ManagePay Systems Bhd (MPay) selepas memperolehi 5.762 peratus kepentingan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MPay berkata Azizan kini mempunyai pegangan langsung berjumlah 44 juta unit saham dalam syarikat itu.

Dalam masa sama, katanya, Macquarie Bank dari Australia menghantar Notis Langganan dan Jumlah Pembayaran bagi 10 juta unit saham pada harga 21.4 sen seunit semalam.

"Mpay memperuntukkan dan mengeluarkan penempatan saham bagi Macquarie Bank hari ini dan dijangka akan disenarai pada 22 Jun ini," katanya.

Azizan adalah seorang mentor usahawan yang mana hasil bimbingan dan latihan dijalankan bersama sekitar 700 usahawan pelbagai industri tahun lalu berjaya mencatatkan peningkatan jualan kepada RM2.2 bilion berbanding sekitar RM900 juta pada 2019.

Mpay pula adalah penyedia pembayaran elektronik 'end-to-end' bagi bank dan institusi kewangan, peruncit serta pemegang kad yang beroperasi di negara ini.

Syarikat ini berada dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran melebihi RM120 juta.

Pada Julai tahun lalu, Mpay dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memberitahu bahawa anak syarikatnya, ManagePay Services Sdn Bhd mengadakan usaha sama dengan syarikat khusus untuk menubuhkan sebuah syarikat yang akan menjadi bank digital dengan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

MPay bekerjasama dengan Passion Venture Capital Pte Ltd (PVC) yang berpangkalan di Singapura untuk memohon lesen dan mengendalikan perbankan digital di Malaysia.

Di bawah syarikat usaha sama itu, MPay akan memiliki 51 peratus kepentingan sementara 49 peratus selebihnya akan dipegang oleh PVC.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90