19 Jun 2021

, ,

Berlian ketiga terbesar di dunia ditemui

Berlian terbesar

 

Sebutir berlian yang dipercayai ketiga terbesar di dunia ditemui di Botswana, lapor CNN kelmarin.

Berlian belum dicanai seberat berat 1,098 karat (219.6 gram) dan berukuran 7.6 sentimeter itu dianggarkan bernilai sekitar £40 juta (RM231 juta).

Ia ditemui di tapak perlombongan terkaya dunia di Jwaneng oleh syarikat Debswana Diamond Company (Debswana).

Pemangku Pengarah Urusan Debswana, Lynette Armstrong, berkata pihaknya percaya berlian itu adalah ketiga terbesar ditemui di dunia.

"Berlian yang jarang dan luar biasa itu amat bermakna buat Botswana, penemuannya membawa harapan kepada negara ini yang kini bergelut dengan krisis ekonomi semasa," katanya.

Berlian terbesar di dunia, Cullinan, ditemui di Afrika Selatan pada 1905 dengan berat 3,106 karat (621.2 gram), yang kemudian dipotong menjadi butiran lebih kecil termasuk beberapa yang kini dimiliki keluarga diraja Britain. 

Ini diikuti berlian Lesedi La Rona bersaiz 1,109 karat (221.8 gram) yang ditemui syarikat Kanada, Lucara Diamond di lombong Karowe, juga di Botswana pada 2015.

Menurut Armstrong, penemuan kali ini adalah berlian terbesar dalam sejarah 50 tahun syarikat Debswana.

Debswana adalah syarikat usaha sama antara kerajaan Botswana dan gergasi berlian global, De Beers.

"Pada masa ini, kami belum membuat keputusan sama ada mahu menjual berlian ini menerusi saluran jualan De Beers atau melalui syarikat milik kerajaan, Okavango Diamond Company," katanya.

Bagaimanapun, menurut seorang jurucakap Debswana, syarikat itu akan menjual berlian itu dengan cara yang akan memberikan manfaat maksimum kepada rakyat negara itu.

Pada Rabu lalu, berlian itu diserahkan kepada Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi, di ibu negara, Gaborone.

Sementara itu, Menteri Mineral Botswana, Lefoko Moagi, berkata penemuan berlian itu berlaku pada waktu yang tepat selepas pandemik COVID-19 memberi kesan buruk kepada jualan berlian negara itu tahun lalu.

Sumber : AGENSI

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90