2 Jun 2021

,

ECRL: Penembusan Terowong Dungun siap 6 bulan lebih awal

 

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan satu lagi pencapaian dengan penembusan Terowong Dungun sepanjang 871 meter di Terengganu, enam bulan lebih awal daripada jadual asal.

Kejayaan itu juga dilakar kurang dua bulan selepas penembusan terowong ECRL yang pertama di negeri itu, Terowong Paka sepanjang 1.1 kilometer (km) pada 9 April lalu.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata dengan penembusan itu kerja keseluruhan infrastruktur untuk Terowong Dungun dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun depan.

"Kerja keras warga ECRL, termasuk jurutera, perancang dan pekerja pembinaan di Terowong Dungun harus dipuji kerana kerja terowong yang sudah digali sedalam 98,111 meter padu tanah dan batuan itu berjaya dilakukan secara selamat dengan pergerakan tanah yang minimum," katanya.

Letupan terakhir di Terowong Dungun pada 29 Mei lalu menembusi halangan yang terletak 12 meter dari pintu masuk terowong selepas kira-kira 641,520 jam masa kerja membabitkan 100 kakitangan ECRL, menggunakan kaedah gerudi dan letupan menembusi batu luluhawa sederhana.

Kerja penggalian bagi Terowong Dungun mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus, sebelum aktiviti penembusan dilakukan sementara lapisan kekal terowong mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang.

Dengan ketinggian 11.8 meter dan lebar 12.9 meter, Terowong Dungun dibina bagi mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan Kuala Dungun.

Mohd Zuki berkata, projek ECRL mempunyai 58 terowong di sepanjang seksyen jajaran ECRL yang merangkumi jarak 665 km.

Katanya, kerjasama padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan melancarkan kerja penggalian terowong sekali gus memastikan prestasi kejuruteraan seperti yang dijadualkan atau lebih awal daripada jadual.

"Kami berasa bangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal daripada jadual iaitu 22.62 peratus pada bulan Mei 2021 walaupun pandemik COVID-19 mengurangkan waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan yang juga kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan projek (EPCC) yakin kakitangan ECRL dapat melakukan kerja dengan baik walaupun di bawah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kakitangan kami memberikan usaha berterusan terhadap kontraktor tempatan dan rakan kongsi projek Bumiputera bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja, bahan dan jentera binaan apabila diperlukan.

"Kami berterima kasih terhadap sokongan dan kerjasama diberikan subkontraktor serta kakitangan seksyen empat terhadap dua pencapaian yang amat membanggakan dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90